Bagaimana Menjadikan Tidur Anda Sebagai Ibadah
Setiap perbuatan kita, jika dimulakan dengan niat kerana Allah dan disertai dengan namaNya, maka ia akan dikira ibadat. Sebagai contoh, jika kita masuk tandas dan dimulai dengan doa serta mengikuti sunnah Baginda, secara tidak langsung, ia akan dikira ibadat. Begitu juga dengan amal dan perbuatan (makruf) lain.
Malah, umat Islam dianjurkan untuk sentiasa mengingat penciptaNya walau dalam apa jua keadaan. Jika sedang bekerja, maka bekerjalah keranaNya. Jika sedang makan, maka makanlah keranaNya dan jika ingin tidur, maka tidurlah keranaNya.
Apa yang dimaksudkan ‘keranaNya?’ Ia sebenarnya membawa maksud bahawa setiap perbuatan kita adalah untukNya. Kita makan untuk memberi kesihatan dan tenaga yang cukup kepada tubuh badan sendiri.
Ini sekali gus telah menjadikan kita seorang manusia yang melaksanakan tanggungjawab kepada tubuh badan yang merupakan pinjaman dari Tuhan. Di samping itu, kita juga dapat beribadah kepadaNya tanpa sebarang halangan seperti masalah kesihatan.
Begitu juga apabila kita tidur. Kita tidur keranaNya untuk membantu organ dalaman ‘mengecas’ semula tenaga yang diperlukan setelah penat seharian bekerja untuk kita. Jika kita tidur keranaNya, setiap nafas kita semasa dalam tidur pun akan dikira sebagai ibadat dan dicatat oleh malaikat penjaga amal kita.
Tidur merupakan suatu kematian kecil yang dialami oleh setiap insan sebelum menghadapi kematian yang sebenar.
اللَّـهُ يَتَوَفَّى الْأَنفُسَ حِينَ مَوْتِهَا وَالَّتِي لَمْ تَمُتْ فِي مَنَامِهَا ۖ فَيُمْسِكُ الَّتِي قَضَىٰ عَلَيْهَا الْمَوْتَ وَيُرْسِلُ الْأُخْرَىٰ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Mafhum: “Allah (Yang Menguasai segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya).” (Surah Az-Zumar, 39:42)
Malah, ada dalam masyarakat kita yang mengatakan bahawa, roh akan tercabut keluar dari badan kita semasa tidur. Oleh itu, kita perlu bersedia jika kematian akan datang menjengah dalam tidur.
Walau bagaimanapun, tiada dinyatakan dalil yang sahih berkenaan ke mana roh kita akan pergi saat tidur atau apa sebenarnya yang roh kita lakukan saat kita sedang tidur. Malah, para ulama’ juga berpesan supaya kita tidak terlalu pening untuk memikirkan soal roh, kerana ia adalah urusan dan rahsia yang disimpan oleh Allah.
وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ ۖ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُم مِّنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلً
Mafhum: “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: “Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.” (Surah Al-Isra’ 17:85)
Bagaimana Menjadikan ‘Mati Sebentar’ Itu Sebagai Ibadah
Jika di atas tadi penulis menggambarkan tidur sebagai kematian kecil, serta dalam tempoh sekejap yang akan dialami oleh setiap manusia, lantas bagaimana untuk menjadikan ‘kematian’ itu sebagai sesuatu yang diredai Allah? Bagaimana untuk menjadikan tidur itu sebagai sebuah ibadah dan diniatkan keranaNya?
Jika kita berbalik kepada sunnah, banyak perkara yang ditinggalkan Baginda untuk diamalkan oleh umatnya sehingga ke hari ini. Hebatnya sunnah, dari sekecil-kecil perkara seperti tidur juga mempunyai aturan yang tersendiri supaya setiap perbuatan kita akan mendapat berkat olehNya kerana kita tidak mengetahui amalan mana yang akan memandu kita untuk ke syurgaNya.
Antara sunnah yang ditinggalkan oleh Baginda sebagai persiapan untuk menghadapi kematian yang sebentar ini ialah:
#1 – Berwudhu’
Berwudhu’ atau membasuh kaki merupakan amalan rutin dalam kehidupan Baginda SAW. Hatta sebelum tidur, Baginda akan memastikan untuk tidur dalam keadaan suci dan ada wudhu’. Ini diceritakan melalui sebuah hadis sahih oleh Al Baro’ bin Azib, Baginda SAW bersabda:
إِذَا أَتَيْتَ مَضْجَعَكَ فَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلاَةِ ، ثُمَّ اضْطَجِعْ عَلَى شِقِّكَ الأَيْمَنِ
Mafhumnya: Jika kamu mendatangi tempat tidurmu, maka wudhulah seperti wudhu untuk solat, lalu baringlah pada sisi kanan badanmu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Jika anda terlalu penat untuk berwudhu’, sekurang-kurangnya basuhlah kaki. Petua orang tua-tua selalu berpesan, basuhlah kaki sebelum tidur supaya tidak mimpi yang menakutkan.
Tahukah anda, sebenarnya basuh kaki sebelum tidur boleh menyebabkan gelombang otak diturunkan menjadi gelombang yang rendah dan dapat menjadikan keadaan seseorang lebih relaks dan tenang sebelum tidur.
Berdasarkan kajian saintifik yang telah dijelaskan oleh Dr Azhar Sarip, pengasas Spiritual NLP Training, iaitu apabila titik pusat urat saraf itu dibasuh dan digosok atau lebih baik direndam, maka gelombang akan cepat turun.
Petua orang tua-tua sebenarnya banyak manfaatnya. Namun, adalah lebih baik untuk kita mengamalkan sunnah. Ikutilah sekadar kemampuanmu.
#2 – Membersihkan Tempat Tidur
Jika anda tidur dalam keadaan kotor, ia sebenarnya boleh menggangu sistem pernafasan disebabkan oleh debu dan hama yang ada setelah seharian kita meninggalkan katil.
Perkara ini merupakan sunnah Baginda SAW dan ada disebut dalam hadis yang bermaksud:
“Apabila seseorang dari kamu akan tidur pada tempat tidurnya, maka hendaklah mengibaskan kainnya pada tempat tidurnya itu terlebih dahulu, kerana ia tidak tahu apa yang ada di atasnya …” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim, no.3410)
Oleh itu, tepuklah bantal dan bersihkanlah tempat tidur anda untuk menghindarkan diri daripada sebarang jangkitan kuman atau penyakit.
#3 – Berdoa
Doa merupakan salah satu ibadah dan perbuatan utama yang dilakukan oleh Baginda dalam setiap amalan. Malah, Baginda juga ada meninggalkan doa sebelum masuk tidur untuk menjaga kita dari setiap sesuatu sama ada yang ghaib atau tidak.
بِاسْمِكَ اللّهُمَّ أَحْيَاوَأَمُوتُ
bismikallahumma ahya wa amuutMafhumnya: “Dengan nama-Mu ya Allah, aku hidup dan mati.”
Dalam sebuah hadis sahih daripada Hudzaifah, ia berkata:
كَانَ النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – إِذَا أَرَادَ أَنْ يَنَامَ قَالَ « بِاسْمِكَ اللَّهُمَّ أَمُوتُ وَأَحْيَا » . وَإِذَا اسْتَيْقَظَ مِنْ مَنَامِهِ قَالَ « الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِى أَحْيَانَا بَعْدَ مَا أَمَاتَنَا ، وَإِلَيْهِ النُّشُورُ
“Apabila Nabi SAW hendak tidur, Baginda mengucapkan: ‘Bismika allahumma amuutu wa ahya (Dengan nama-Mu, ya Allah aku mati dan aku hidup).’ Dan apabila bangun tidur, beliau mengucapkan: “Alhamdulillahilladzi ahyaana ba’da maa amatana wailaihi nusyur (segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah mematikan kami, dan kepadaNya lah tempat kami kembali)” (Hadis riwayat Bukhari)
#4 – Meletakkan Tangan Kanan Di Pipi Kanan
Antara sunnah tidur yang lain ialah, Baginda SAW tidur dalam posisi mengiring ke kanan dan meletakkan tangan kanannya di pipi kanan. Perkara ini telah diceritakan dalam sebuah hadis yang membawa maksud:
“Rasulullah SAW apabila tidur akan meletakkan tangan kanannya di bawah pipi kanannya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, Ibn Majah dan Ibn Hibban).
Mengapa Baginda tidur dalam keadaan sedemikian? Kadang-kadang, ibu bapa melarang kita untuk tidur dalam keadaan yang tidak elok seperti kaki yang terlentang atau dalam keadaan meniarap? Pernah atau tidak kita berfikir, mengapa?
Terdapat sebuah kajian saitifik yang telah dilakukan mengenai cara tidur Baginda SAW dan telah diceritakan dalam buku yang telah ditulis oleh Dr Danial yang bertajuk, ‘Islam Kontemporari Lagi Unggul’ mengatakan bahawa apabila kita tidur dalam posisi mengiring ke kanan, ia dapat menjaga kesihatan tulang leher dan boleh mencegah tulang leher daripada terseliuh.
Manakala, jika anda tidur dalam posisi meniarap, ia boleh menimbulkan tekanan ke atas belakang dan leher sehingga boleh menyebabkan serangan sakit urat saraf dan otot.
Oleh itu, tidurlah dalam keadaan baik dan betul mengikut sunnah kerana tiada perlakuan yang baginda lakukan sia-sia, setiap darinya pasti punya hikmah yang tersembunyi.
#4 – Muhasabah
Menerusi kalam Allah yang berbunyi:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّـهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍ ۖ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Mafhumnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kpada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan); bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.” (Surah al-Hashr, 59:18)
Untuk setiap perkara yang telah terjadi pada hari itu, lakukanlah muhasabah. Adakah ia sebuah perkara dan nikmat terbaik yang anda lalui? Jika ya, maka bersyukurlah.
Namun, jika ia merupakan sebuah hari yang penuh dengan ujian dan air mata, maka ucaplah syukur juga kerana ia bukti Tuhan masih ingat kepada anda. Tetapkanlah dalam hati bahawa ada hikmah di setiap perkara yang terjadi.
Jika ada orang yang telah menyakiti hati anda dalam keadaan sedar atau tidak, maafkanlah mereka. Bukankah elok untuk saling bermaafan supaya hidup anda setiasa dalam keadaan tenang dan harmoni tanpa perlu kusut memikirkan masalah itu? Jika anda punya kesalahan dengan seseorang, segeralah meminta maaf supaya dosa itu tidak terus mengalir dengan menyakiti insan tersebut.
Jika ada hutang yang belum dilangsaikan, maka niatkanlah dalam hati untuk berusaha membayarnya.
Jika anda punya dosa dengan Tuhan, mintalah ampun dengan segera kerana Allah itu Maha Pengampun. Istighfarlah sehingga anda tertidur. Semoga tidur anda itu dikira sebagai ibadah untuk berehat agar dapat melaksanakan ibadah lain pada keesokan harinya.
Semoga dengan tidur mampu menjadikan kita sebagai mukmin yang sentiasa dalam jagaanNya dan dinilai sebagai pahala di sisiNya.
Wallahu a’lam.
No comments: