Bagaimana Jika Masbuk Solat Sunat Hari Raya
Hari Raya Aidilfitri disambut setiap 1 Syawal manakala Aidiladha pada 10 dan 11 Zulhijjah setiap tahun. Antara ibadah utama yang dilakukan pada kedua-dua hari raya ini ialah mendirikan solat sunat hari raya.
Solat sunat hari raya merupakan sunat muakkad. Ia tergolong dalam sembahyang an-nafl, iaitu amalan sunat yang lebih afdal daripada solat sunat lain. Mengikut Kitab Tuhfah oleh Ibnu Hajar, solat sunat yang jatuh hukum sunat muakkad ialah solat sunat hari raya adha, hari raya fitri, gerhana matahari, gerhana bulan dan istisqa’ (meminta hujan).
Menurut beberapa riwayat, hari raya merupakan anugerah dan syariat terbesar yang dikurniakan Allah kepada hambaNya. Berdasarkan Anas RA, beliau berkata:
نَّ اللهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ
“Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menukarkan kepada kamu dua hari tersebut (Nairuz dan Mihrajan) kepada hari yang lebih baik, iaitu hari raya adha dan hari raya fitrah.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan An-Nasa’i)
Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan dua solat sunat hari raya ini sejak ia mula disyariatkan sehinggalah Baginda wafat. Berdasarkan Abi Sa’id al-khudri, solat ini disyariatkan kepada semua mukallaf sama ada lelaki, perempuan, bermukim, musafir, orang merdeka atau hamba.
Walau bagaimanapun, ia tidak disunatkan kepada perempuan yang berhias sehingga boleh mendatangkan fitnah.
Walaupun Baginda tidak pernah meninggalkannya sehingga wafat, namun ia tidak diwajibkan untuk dilakukan. Ini adalah berdasarkan sebuah hadis yang pernah diriwayatkan, iaitu:
خَمْسُ صَلَوَاتٍ فِي الْيَوْمِ وَاللَّيْلَةِ. فَقَالَ: هَلْ عَلَىَّ غَيْرُهَا؟ قَالَ: لا، إِلاَّ أَنْ تَطَوَّعَ
Maksud: “Lima solat sehari semalam. Baginda ditanya lagi: “Adakah wajib atasku selain daripada itu?” Baginda menjawab: “Tidak, kecuali jika engkau ingin mengerjakan solat sunat.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Cara Mengerjakan Solat
Solat sunat ini dilakukan bermula terbit matahari sehingga tergelincirnya matahari. Namun, ia lebih afdal jika dilewatkan sedikit solat sehingga naik matahari dengan kadar yang tinggi sedikit kira-kira tujuh hasta pada pandangan mata kasar.
Lafaz niat solat sunat hari raya ini dibaca seperti berikut:
أُصَلِّي سُنَّةَ عِيدِ لأضحى رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى
Maksud: “Sahaja aku sembahyang sunat hari raya adha dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”
Solat sunat ini dilakukan dengan dua rakaat bersama-sama dengan takbir. Takbir tersebut disunatkan dibaca tujuh kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat kedua selepas dibaca doa iftitah.
Takbir tujuh kali ini termasuk dalam kategori sunat hai’ah. Ini bermaksud, jika tertinggal, tidak cukup bilangan atau masbuq, maka ia adalah dimaafkan dan tidak perlu diganti, berbeza dengan sunat ab’ad.
Oleh itu, muslim tidak perlu risau jika terlambat datang solat sunat hari raya sehingga jatuh makmum masbuq. Muslim yang masbuk perlu mengikut imam. Jika imam sudah mengangkat takbir yang ketujuh, maka dia perlu membaca takbir yang ketujuh sahaja tanpa mengganti takbir tersebut sendiri.
Selepas bertakbir, barulah imam akan membacakan at-ta’awwuz, iaitu lafaz ﺍﻋﻮﺬ ﺑﺎﻟﻠﻪ ﻣﻦ الشيطان ﺍﻟﺮﺟﻴﻢ seterusnya bacaan al-Fatihah dan mana-mana surah lain di dalam Al-Quran.
Disunatkan dibaca surah Qaf atau al-A’ala pada rakaat pertama dan surah al-Qamar atau al-Ghaasyiyah pada rakaat kedua.
Bagaimana Jika Masbuk Solat Hari Raya
Melalui kenyataan di atas, jika tidak sempat bertakbir pada rakaat pertama bersama imam (dengan lengkap), maka ia adalah dimaafkan dan tidak perlu dilakukan sujud sahwi.
Namun, bagaimana dengan persoalan jika seseorang muslim itu terlewat mengerjakan solat sunat hari raya sehingga tertinggal rakaatnya?
Dalam situasi ini, terdapat dua situasi yang perlu diambil kira, iaitu:
#1 – Dapat Rakaat Pertama Tanpa Takbir
Mengikut Mazbah Syafi’e, seseorang yang berada dalam situasi ini boleh menjalankan solatnya seperti biasa tanpa perlu mengqada takbirnya. Ini adalah bersandarkan kepada sebuah riwayat yang berbunyi:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِذَا جِئْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ وَنَحْنُ سُجُودٌ فَاسْجُدُوا، وَلَا تَعُدُّوهَا شَيْئًا، وَمَنْ أَدْرَكَ الرَّكْعَةَ، فَقَدْ أَدْرَكَ الصَّلَاةَ
Maksud: “Sesungguhnya Nabi SAW bersabda: “Apabila kalian datang melakukan solat dalam keadaan kami sedang bersujud, maka sujudlah dan janganlah kalian hitung itu sebagai rakaat. Barangsiapa menjadikan ruku’ bererti dia telah mendapatkan satu rakaat.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Sebagai contoh, Ahmad terlambat ke masjid semasa solat hari raya sehinggakan imam telah selesai bertakbir rakaat pertama dan sedang membacakan al-Fatihah, maka Ahmad boleh mengikut imam seperti biasa.
Ini juga bermaksud, dia tidak perlu menggantikan takbirnya kerana rakaat pertamanya telah sempurna. Jumhur ulama’ juga berpendapat bahawa sah solatnya.
#2 – Masbuk Satu Rakaat
Berdasarkan pendapat beberapa jumhur ulama’ dan Mazhab Syafi’e, Muslim tersebut perlu menggantikan rakaatnya kerana solatnya belum sempurna.
Pendapat ini adalah berdasarkan riwayat yang berbunyi:
إِذَا سَمِعْتُمْ الْإِقَامَةَ فَامْشُوا إِلَى الصَّلَاةِ وَعَلَيْكُمْ بِالسَّكِينَةِ وَالْوَقَارِ ، وَلَا تُسْرِعُوا ، فَمَا أَدْرَكْتُمْ فَصَلُّوا ، وَمَا فَاتَكُمْ فَأَتِمُّوا
Maksud: “Jika kalian mendengarkan iqamah, maka berangkatlah untuk melaksanakan solat. Ia perlu dilakukan dalam keadaan tenang dan khusyuk. Apa yang kalian sempat, maka solatlah. Dan apa yang kalian terlewat (tertinggal) maka sempurnakanlah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sebagai contoh, apabila Ahmad sampai di masjid, Imam telah membaca surah al-Fatihah dalam rakaat kedua. Maka, apa yang perlu dilakukannya adalah dengan mengikut imam pada rakaat kedua tersebut. Apabila imam telah memberi salam, maka dia hendaklah bangun untuk menyempurnakan satu lagi rakaatnya.
Bagaimana pula dengan bilangan takbir? Ia ada disebut berdasarkan hadis Abu Hurairah RA:
وَمَنْ أَدْرَكَ الرَّكْعَةَ، فَقَدْ أَدْرَكَ الصَّلَاةَ
Maksud: “Barangsiapa yang mendapatkan ruku’, maka dia telah mendapatkan satu rakaat.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Jumhur ulama’ berpegang bahawa seseorang itu tidak sempurna solatnya jika dia tidak bangun untuk menyempurnakan rakaatnya sekiranya terlewat.
Ini bermaksud, walaupun Ahmad telah bersama Imam dalam rakaat keduanya, namun ia dianggap sebagai satu rakaat atau rakaat yang pertama.
Jadi, dia perlu menyelesaikan rakaatnya yang kedua seperti biasa.
Kes ini sama sahaja jika seseorang itu masbuk satu rakaat ketika solat Subuh. Maka, dia perlu menyambung solatnya dengan menyempurnakan doa qunutnya sekali lagi walaupun telah dibaca bersama imam.
Wanita Dan Solat Hari Raya
Kaum wanita telah diajar dengan hukum tidak disunatkan untuk ke masjid, bimbang jika jatuh fitnah, terjadi perkara yang tidak diingini dan sebagainya.
Namun, selagi mana perempuan itu tidak berbuat kemungkaran, maka dibolehkan untuk ke masjid. Malah, pada zaman Rasulullah SAW diceritakan bahawa golongan wanita turut berjemaah pada setiap solat Isyak dan Subuh.
Berdasarkan pendapat Imam Nawawi dalam Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim:
Maksud: “Hadis-hadis yang seumpama dalam bab ini zahirnya menunjukkan tidak boleh melarang (kaum wanita) daripada pergi ke masjid dengan syarat-syarat yang telah disebutkan oleh para ulama’ yang diambil daripada hadis lain, iaitu tidak boleh memakai wangian, tidak boleh berhias-hias, tidak memakai gelang kaki yang bunyinya dapat didengari, tidak memakai pakaian yang indah (menjolok mata), tidak bercampur dengan lelaki dan bukan pula gadis-gadis yang dijangka boleh menimbulkan fitnah serta tiada perkara yang berbahaya kepadanya sepanjang perjalanan. Larangan daripada menghalang mereka (ke masjid ini) merupakan larangan yang makruh apabila si perempuan mempunyai mahram (suami atau saudaranya) dan dibenarkan oleh mereka (mahram). Seandainya dia tiada suami atau tuan, maka haram menghalangnya apabila dia telah memenuhi segala syarat.”
Pendapat Imam Nawawi ini adalah sama dengan solat sunat hari raya. Malah, kaum wanita digalakkan untuk turut serta berjemaah bagi meraikan hari kemenangan.
Namun, ada di kalangan wanita yang mengatakan bahawa, “kami kaum wanita perlu duduk di rumah sahaja untuk menyempurnakan apa yang patut” atau ada juga kaum lelaki yang beranggapan dengan “perempuan tak perlulah pergi masjid. Hari raya ni perlu jaga rumah” malah berbagai lagi alasan yang dilemparkan kepada kaum wanita.
Jadi, adakah betul wanita digalakkan untuk ke masjid pada hari raya? Berdasarkan sebuah hadis yang berbunyi:
كُنَّا نُوْمَرُ أَنْ نَخْرُجَ يَوْمَ الْعِيدِ، حَتَّى نُخْرِجَ الْبِكْرَ مِنْ خِدْرِهَا، حَتىَّ نُخْرِجَ الْحُيِّضَ فَيَكُنَّ خَلْفَ النَّاسِ، فَيُكَبِّرْنَ بِتَكْبِيْرِهِمْ، وَيَدْعُوْنَ بِدُعَائِهِمْ يَرْجُونَ بَرَكَةَ ذَلِكَ الْيَوْمِ وَطُهْرَتَهُ. وَفِي رِوَايَةٍ قَالَتْ امْرَأَةٌ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِحدَانَا لمَ ْيَكُنْ لَهَا جِلْبَابٌ؟ فَقَالَ: لِتُلْبِسْهَا صَاحِبَتُهَا مِنْ جِلْبَابِهَا
“Kami disuruh keluar pada hari raya dan membawa gadis-gadis keluar dari bilik-bilik pingitan mereka bersama-sama haid, kesemuanya berada di belakang jemaah lelaki. Mereka bertakbir dan berdoa bersama-sama memohon keberkatan dan kesucian hari tersebut. Sementara dalam riwayat yang lain pula, seorang perempuan berkata: “Wahai Rasulullah, seorang daripada kami tidak mempunyai baju labuh (jilbab).” Baginda menjawab: “Rakannya hendaklah meminjamkan kepadanya.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, kaum lelaki seperti suami dan saudara perlu sama-sama mengajak golongan wanita untuk ke masjid bagi meraikan hari raya itu.
Namun, jika berlakunya keadaan yang tidak mengizinkan mereka ke masjid seperti mempunyai anak kecil sehingga bimbang boleh menimbulkan kekacauan atau keuzuran lain, maka tidak mengapa.
Kesimpulan
Natijah yang kita dapat lihat ialah, solat sunat hari raya merupakan antara solat yang digalakkan untuk dilakukan sama ada lelaki atau wanita untuk meraikan hari terbesar dalam Islam.
Melalui solat ini juga kita dapat berkumpul untuk mendengar peringatan dan bersua dengan saudara-mara yang telah lama tiada di hadapan mata.
Maka, rebutlah peluang sekali setiap tahun ini agar kita mampu menjadi orang-orang yang bersyukur.
Sumber:
Mufti Wilayah
Masbuk Solat Hari Raya
No comments: