Adakah Istilah Ibu Bapa Derhaka?
Dalam kamus masyarakat kita, status ‘derhaka’ itu hanyalah layak diberikan kepada anak sahaja sehinggakan menjadi batu si anak yang derhaka disumpah ibunya.
Sebagai ibu bapa, kita mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak setiap anak ketika mereka membesar. Anak-anak bergantung harap kepada ibu bapa mereka sepenuhnya.
Adalah menjadi hak anak untuk mendapat keperluan asas seperti makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal, rehat dan keselamatan.
Selain itu anak juga mempunyai hak untuk mendapat didikan dan bimbingan yang sepatutnya daripada ibu bapa agar anak membesar menjadi seorang individu yang bermanfaat kepada dirinya, keluarga dan masyarakat secara keseluruhannya.
ibu bapa derhaka adalah ibu bapa yang tidak menunaikan tanggungjawab untuk mendidik anak dengan nilai dan bimbingan yang sepatutnya.
ibu bapa ini juga tidak berlaku adil dalam pemberian hak kepada anak-anak, baik dari segi material ataupun tumpuan dan perhatian kerana ibu bapa ini membanding-bandingkan anak-anak.
Sikap sebegini akan merenggangkan hubungan anak dengan ibu bapa dan boleh juga merenggangkan hubungan antara adik beradik yang terasa hati dan mungkin cemburu dengan adik beradik yang menjadi pilihan ibu bapa. Berhati-hatilah.
Derhaka bukanlah status yang layak diberikan kepada anak-anak sahaja. Ibu bapa juga boleh menjadi ibu bapa yang derhaka.
Sedih lagi apabila membaca berita, pasti tersaji kes bapa merogol anak, ibu dera anak sehingga mati, ibu buang anak di tandas. Adakah ini dinamakan ibu bapa yang suci? Inilah yang dikatakan ibu bapa yang zalim bahkan derhaka dengan amanah Allah S.W.T.
No comments: