Ads Top

Umat Islam Menyembah Kaabah?

“Kenapa umat Islam menghadap Kaabah ketika solat?”

“Kata sembah Allah tetapi kenapa nak menghadap Kaabah untuk solat? Maknanya kita sembah Kaabahlah?!”

“Kenapa orang Islam menghadap kotak hitam tu? Kata sembah Allah?”

Mungkin ini adalah persoalan yang ditanya oleh orang bukan Islam kepada kita dan mungkin kita dengar daripada orang lain. Tidak kiralah siapapun yang bertanya. Bahkan orang Islam sendiri pun turut musykil dan tidak mampu menjawab pertanyaan tersebut setelah berpuluh tahun solat menghadap Kaabah.

Pasti hati membuak-buak untuk menjawab, tetapi apakah jawapan yang tepat dan sahih untuk menjawab persoalan itu? Mari sama-sama kita cari tahu jawapannya.

Semoga tidak menjadi keraguan dalam kehidupan kita setelah berpuluh-puluh tahun menunaikan solat menghadap kiblat (ke arah Kaabah). Islam menjawab salah faham sembah Kaabah

#1- Kerana Perintah Allah S.W.T

Allah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.”Surah Al-Baqarah 2:144

Menghadap ke arah Kaabah adalah perintah yang diturunkan daripada Allah S.W.T. Ia telah tercatat kukuh dan jelas di dalam ayat al-Quran di atas. Menghadap Kaabah bukan satu ciptaan atau rekaan Nabi Muhammad S.A.W tetapi ia jelas daripada Allah S.W.T.

Tetapi kenapa? Itu hanya Allah S.W.T yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Kita sebagai hambaNya perlulah mematuhi perintahNya. Kerana dek akal kita yang terbatas kita tidak mampu berfikir lebih mendalam lagi. Itulah menunjukkan bahawa kita bersifat lemah dan ada hadnya.

Kita diberi kesedaran bahawa tidak semua perkara boleh dilakukan serta tidak semua masalah dapat diberi jawapan dan penyelesaian kecuali atas keizinan Allah S.W.T. Dan segalanya menunjukkan bahawa betapa Maha Hebatnya Allah S.W.T.

#2- Bukan Menyembah Tetapi Menghadap Ke Arahnya

Jangan tersilap sangka, umat Islam tidak sama sekali menyembah Kaabah tetapi menghadap ke arahnya. Ini bermakna, Kaabah adalah untuk memudahkan kita menghadap ke arah kiblat.

Dalam sejarah pembukaan Kota Mekah, Rasulullah S.A.W bukan hanya memusnahkan berhala yang ada di sekitar Kaabah, bahkan baginda menyuruh Bilal bin Rabbah untuk melaungkan azan di atas Kaabah.

Kisah ini menurut Hannan Aminuddin, pendakwah Yayasan Hidayah Centre (HC), ia memberi gambaran bahawa Bilal yang berkulit hitam dan bekas hamba abdi memanggil umat Islam untuk menunaikan solat, tetapi pastinya tidak masuk akal untuk kita pijak jika Kaabah suatu benda sembahan.

Malah tambahnya lagi, ada seorang sahabat Rasulullah S.A.W iaitu Sayidina Umar al-Khattab pernah menyebut bahawa jika Rasulullah S.A.W tidak mencium batu hajarul aswad, maka dia tidak akan sesekali melakukannya. Hal ini menunjukkan bahawa Kaabah bukan berhala dan bukan perkara yang perlu disembah.

“Kalau sebagai bahan sembahan sepatutnya, ia disanjung dan dimuliakan, tetapi apa yang berlaku sebaliknya dan antara contoh, kita sendiri pun banyak kali memijak dan melangkaui Kaabah ketika merapatkan saf untuk menunaikan solat berjemaah.”

Kesimpulan

Firman Allah S.W.T di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan sesungguhnya perintah berkiblat ke Kaabah itu adalah benar dari Tuhanmu. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan.”Surah Al-Baqarah 2:149

Perintah Allah pasti ada kebaikannya. Dengan berpandukan ke arah kiblat, kita semua seperti diajak untuk bersatu. Bersatu ke arah yang sama. Bersama menuju ke arah yang satu.

Tidak ada dua atau tiga arah. Semuanya ke arah Kaabah. Ia menjadi simbolik bahawa Islam agama perpaduan dan bukan mengajak perpecahan. Semoga bermanfaat hendaknya. Waallahua’lam.

Rujukan:

1. Menghadap Kaabah Tetapi Tuhan Ada Di Mana-Mana?
2. Muslim Sembah Kaabah




No comments:

Powered by Blogger.