Ads Top

Apa Yang Hati Kita Doakan Setiap Hari

Tidak beberapa lama sebelum Rasulullah SAW meninggal dunia , baginda meninggalkan pesanan bermakna agar setiap umat Islam benar-benar bersangka baik dengan Allah.

Kita sering mendengar bahawa Allah menurut sangkaan hamba-hambaNya. Allah akan mengabulkan doa buat mereka yang meminta tetapi jauh di sudut hati – mengapa untuk percaya itu terasa begitu sukar?

Seseorang pernah berpesan kepada saya. Katanya ramai orang yang tenggelam dalam masalah yang menimpa mereka hari ini kerana mereka terlalu bergantung hanya kepada kudrat sendiri untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Kita tidak percaya kepada Allah kerana kita merancang menggunakan akal kita yang terhad semata-mata. Kita melakukan tindakan berdasarkan kudrat fizikal kita yang terbatas. Lalu kita mengabaikan kudrat dan kemampuan Allah yang jauh lebih berkuasa menjangkau kemampuan kecil kita sebagai hamba, yang mampu membantu kita menyelesaikan masalah tersebut.

Di akhirnya, kita berasa lelah dan penat menghadapi dugaan demi dugaan, cubaan demi cubaan.

Namun adakah kita terlupa bahawa Allah pernah berkuasa mencipta nyawa yang baru dari rahim seorang Maryam yang tidak disentuh lelaki. Allah pernah menyelamatkan Nabi Nuh dari dalam perut ikan Nun. Allah pernah menyelamatkan Nabi Yusuf yang dianiaya oleh saudaranya, menyelamatkannya lalu akhirnya mengangkatnya di mata manusia. Malah Allah pernah memperjalankan Rasulullah SAW ke langit hanya dalam tempoh satu malam sahaja!

Banyak kisah yang telah diceritakan yang membuktikan bahawa Allah itu Maha Berkuasa dan Maha Mampu. Mustahil bagi kita tetapi tidak mustahil bagi Allah.

Soalnya, saat mulut kita sedang meminta doa, apa yang sedang berlaku jauh di dalam hati kita? Adakah hati kita selari dengan apa yang diucapkan atau hati kita sedang memikirkan perkara lain? Adakah hati kita sedang takut, tidak percaya, dan masih bimbang?

Lalu hal-hal di hati itulah yang Allah kabulkan. Disebabkan itu kita mendengar ramai yang pernah berkata bahawa – mereka telah meminta dengan sesungguhnya namun tetap tidak dikabulkan. Allah memandang hati dan mengabulkan apa yang ada di hati.

Perhatilah apa yang ‘hati kita doakan’ setiap hari. Hiduplah seolah-olah kita telah memiliki segenap nikmat yang telah disediakan oleh Allah kepada kita. Itulah tanda syukur yang sebenar. Bahagia dengan segala apa yang telah ada.




No comments:

Powered by Blogger.