“Terlalu Viral Sangat Pun Buat Saya Rasa Tidak Selesa” – Mira Filzah
Pelakon Mira Filzah mengakui kadang kala dia berasa tidak selesa apabila dirinya sering kali menjadi perhatian disebabkan perkara viral yang dikaitkan dengan dirinya.
Bagaimanapun, Mira menyatakan sesuatu perkara tular yang berkaitan dengan dirinya itu adalah di luar kawalan dan bukan kehendak dirinya.
“Sebagai contoh, macam ungkapan ‘baby sayang’ itu, saya hanya menjawab persoalan peminat sahaja tapi bila orang potong video itu, ia jadi sesuatu. Apa yang boleh saya buat sekarang ialah berhati-hati dengan apa yang ingin saya buat dan kongsikan di media sosial.
“Bagi saya, kalau lagi ramai yang suka kita pastinya akan ada ramai juga yang tidak sukakan kita. Ini semua persepsi bermacam-macam orang. Terlalu viral sangat pun buat saya rasa tidak selesa, tetapi saya tidak boleh nak kawal setiap orang kan,” katanya.
Mira ditemui pada majlis pelancaran filem terbaharu lakonannya, Sangkar yang berlangsung di Battle Arena, Jaya Shopping Centre, Petaling Jaya baru-baru ini.
Baru-baru ini, nama pelakon berkenaan menjadi tumpuan apabila dia dikatakan merupakan tanda aras kepada kecantikan dan kesopanan yang ada pada gadis melayu sehinggakan Mira digelar Perempuan Melayu Terakhir generasi baharu.
Walaupun ramai bersetuju dengan pernyataan itu, namun ada juga yang kurang bersetuju gelaran itu diberikan kepada gadis berusia 26 tahun itu.
Sementara itu, menerusi filem arahan Kabir Bhatia itu, Mira membawakan watak sebagai seorang jururawat. Ia mengisahkan tentang sukan mixed martial arts (MMA) dengan menggandingkan dua hero tampan, Remy Ishak dan Zul Ariffin yang bertarung di pentas pertarungan MMA.
Mengulas mengenai filem aksi tersebut, Mira berkata dia teruja dengan penghasilan Sangkar yang mengetengahkan sukan MMA yang jarang-jarang sekali dipertontonkan di kaca televisyen dan filem tempatan.
“Dalam filem saya lebih banyak bermain dengan emosi tapi kalau diberi kesempatan melakukan watak aksi, saya tidak menolak sebab saya sebenarnya seorang yang lasak.
“Saya tak takut air, tak takut tinggi dan kalau nak tahu masa sekolah dulu saya pernah wakil sekolah dalam sukan hoki. Cumanya kalau ditawarkan watak-watak aksi, saya kena tengok dulu kesesuaian sesuatu karakter itu dengan imej saya,” katanya.
Sangkar yang diterbitkan Primeworks Studios, Infinitus Gold, Astro Shaw dan MM2 Entertaintment bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 29 Ogos ini. – KopiPlanet.com
Kredit foto: Instagram Mira Filzah
The post “Terlalu Viral Sangat Pun Buat Saya Rasa Tidak Selesa” – Mira Filzah appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: