Salahkah Kami Melepak?
Masyarakat Malaysia pasti mengetahui dan terbiasa melihat ada sebahagian anak-anak muda yang suka melepak di tepi rumah, di pusat beli-belah, di tepi jalan raya dan dimana-mana sahaja.
Tidak dilupakan juga pada kaum yang lebih berumur dan sudah tidak bekerja, tempat melepak mereka adalah di warung kecil dan restoran-restoran yang sedia dibuka sepanjang 24 jam.
Fenomena ini kita lihat ada banyak kesan baik dan buruknya. Namun, kesan buruk agak ketara kelihatannya berbanding kesan baik. Tetapi, apakah kesan baiknya yang boleh kita lihat?
Secara tidak langsung ia memberi ketakutan kepada pihak penjenayah untuk tidak melakukan rompakan.
Tetapi kesan buruk pula berganda-ganda jika budaya melepak diamalkan sentiasa. Kesan buruknya seperti, membuang masa, tertangguh atau tertinggal solat fardu, berlakunya pergaduhan, terdedah dengan pergaulan bebas dan menganggu ketenteraman awam.
Aktiviti melepak ini tidak boleh dipukul rata. Tidak semuanya negatif. Adakalanya menjadi positif. Ada sebahagian yang melakukan perbincangan untuk kebaikan kampung atau bandar, berbual mengenai masalah yang dihadapi, bertemu dengan rakan yang telah lama tidak berjumpa dan membuat mesyuarat ringkas untuk mendapatkan persetujuan bersama.
Namun, aktiviti melepak ini sering ditenggelami dengan aktiviti berbual kosong dan kebanyakkannya membuang masa.
Oleh itu, persoalannya adakah melepak ini salah? Mari lanjutkan pada topik kecil yang seterusnya. Semoga artikel ini dapat memberi secebis kebaikan dan manfaat walaupun sedikit. Insha Allah.
Jalan Pun Ada Haknya
Abu Said al-Khudri R.A. meriwayatkan;
Pada satu hari, Rasulullah S.A.W melihat sekumpulan sahabat duduk di pinggir jalan. Lalu baginda menegur “Janganlah kamu duduk di pinggir jalan.” Para sahabat Nabi menjawab, “Ya Rasulullah, ini sudah menjadi kebiasaan kami kerana ia menjadi tempat kami berbual-bual.” Lalu Rasulullah S.A.W bersabda, “Jika kamu tidak mahu meninggalkan majlis tersebut, maka tunaikanlah hak jalan tersebut.” Mereka bertanya, “Apakah haknya, Ya Rasulullah?” Baginda menjawab, “Tundukkan pandangan, membuang halangan, menjawab salam, dan menyuruh ke arah kebaikan dan melarang kemungkaran.”Hadis Riwayat Bukhari
Hadis di atas memberitahu mengenai hak jalan yang perlu kita pelihara dan patuhi bersama. Pesanan ini bukan sekadar khusus kepada para sahabat sahaja. Tetapi ia merangkumi kepada kita semua.
Hadis ini juga memberikan beberapa syarat yang perlu dijaga jika kita melepak dan berada di satu tempat awam.
#1- Tundukkan Pandangan
Tidak salah melepak selagi mana kita menundukkan pandangan daripada melihat perkara yang haram. Jauhilah daripada melihat perkara yang menyebabkan kita mendapat dosa dan menyebabkan aktiviti ‘melepak’ kita menjadi rosak. Rasulullah S.A.W pernah berpesan kepada Sayidina Ali bin Abu Talib R.A.;
“Wahai Ali, janganlah kamu mengikut pandangan pertama dengan pandangan berikutnya kerana yang pertama untuk kamu dan yang kedua bukan lagi untuk kamu.”Hadis Riwayat Tirmizi
Pada hadis yang lain, diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah R.A.,
“Aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W tentang penglihatan yang tidak disengajakan (melihat perkara terlarang). Lalu baginda memerintahkan aku memalingkan pandangan.”Hadis Riwayat Muslim
#2- Membuang Halangan
Jika sedang melepak di suatu tempat janganlah pula kita menghalang jalan daripada dilalui orang ramai. Kenderaan seperti kereta, motosikal haruslah diletakkan pada tempat yang sepatutnya. Janganlah pula menyebabkan masalah kepada orang lain.
Selain itu, jika ada ranting atau apa-apa sahaja benda yang menghalang jalan, alangkah baiknya buanglah dan letakkan pada tempat yang sepatutnya
Jadilah jiran dan masyarakat yang prihatin dan bukan hanya mementingkan diri sendiri sahaja. Daripada Abu Hurairah R.A., Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
“Sedekah itu harus diberikan pada setiap sendi manusia (sebagai tanda kesyukuran kepada Allah) setiap kali matahari terbit. Berlaku adil pada dua orang lelaki itu ialah sedekah. Membantu seseorang itu menaiki binatang tunggangannya atau menaikkan barang muatan pada binatang tersebut ialah sedekah. Berkata perkataan baik ialah sedekah dan setiap langkah yang diambil seseorang ke masjid untuk menunaikan solat fardu ialah sedekah. Dan membuang perkara merbahaya dari jalanan juga adalah satu sedekah.”Riwayat Bukhari
#3- Menjawab Salam
Jika ada yang memberi salam, ewajiblah kita menjawab salam mereka. Janganlah hanya mendiamkan diri dan tidak mengendahkan salam mereka.
Hadis ini turut memberi pengajaran kepada kita supaya melayani manusia lain dengan baik. Tidak kira orang muda atau tua, masing-masing mempunyai perasaan dan hati.
Jauhi berkata yang tidak elok dan biasakan dengan perkataan yang membawa kebaikan seperti memberi dan menjawab salam.
#4- Menyuruh Kebaikan Dan Mencegah Kemungkaran
Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”Surah At-Tawbah 9:71
Dalam melepak janganlah lupa mana yang baik dan mana yang buruk. Mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran turut menjadi keperluan dalam aktiviti yang kita lakukan. Jika ada yang kurang baik, tegurlah dengan sebaiknya dan ada adabnya.
Jagalah Adab Ketika Melepak
Jangan terus terbuai dengan keasyikan berbual dan bersembang sehingga terlupa dan terleka jauh. Antara adab lain dan perkara yang harus dijaga semasa melepak. Mari kita ambil ingat bersama.
1. Berpakaian sopan dan menutup aurat
2. Tidak membuang masa
3. Menjaga perkataan jangan dicemari dengan kata kesat dan mengundang dosa
4. Tidak membuat bising sehingga menganggu orang lain
5. Jangan membuang sampah dan mengotori jalan
6. Jangan dicemari dengan pergaulan bebas yang hanya berbual hal yang sia-sia
7. Jangan terlalai daripada menunaikan solat fardu
Kesimpulan
Sedarlah kita melepak itu tidak salah apabila kita menjaga adab-adab seperti yang diberitahu di atas. Yang menjadi salahnya apabila tidak mengikuti adab-adab dan hanya bersuka-ria hingga melalaikan diri.
Setiap kita mempunyai tanggungjawab masing-masing. Janganlah dihabiskan masa yang sementara ini hanya dengan melepak semata. Melepak boleh tetapi ada had dan ada sebabnya.
Janganlah setiap hari mahu melepak sahaja. Sehingga terlupa kerja yang lebih utama. Semoga bermanfaat. Waallahu a’lam.
Rujukan:
1. Bolehkah Kira Melepak
2. Al-Quran Dan Rerjemahan
No comments: