Ads Top

Mengapa Bilal Bin Rabah Dipilih Muazin Pertama

Azan merupakan panggilan yang dilaungkan kepada umat Islam menandakan masuknya waktu solat. Apabila azan, berusahalah untuk menghentikan kerja yang sedang dilakukan dan bersegeralah untuk menunaikan kewajipan yang ditetapkan.

Azan pertama yang telah dilaungkan dalam Islam ialah pada tahun pertama Hijiriah oleh Bilal bin Rabah. Beliau merupakan muazin pertama yang melaungkan azan setelah diajar lafaz dan kalimatnya oleh Abdullah bin Zaid.

Sebelum turunnya syariat azan, para Muslimin pada waktu itu mula memikirkan cara yang efisien dan tidak menyerupai kaum lain dalam panggilan solat. Jika menggunakan loceng sebagai panggilan solat, maka ia sama dengan kaum Nasrani dan jika digunakan tiupan seperti terompet, ia akan sama seperti kaum Yahudi.

Akhirnya, Abdullah bin Zaid telah didatangi seorang lelaki di dalam mimpinya untuk diajar kalimat azan. Beliau telah menceritakan mimpi tersebut kepada Baginda SAW, lalu Baginda menyuruh untuk mengajarkan kepada Bilal.

Apabila Saidina Umar Al-Khattab mendengar laungan azan tersebut, beliau juga telah menceritakan kalimat yang sama yang telah diajar melalui mimpinya.

Ia kemudiannya menjadi syariat dan penentuan cara untuk memanggil umat Islam solat sehingga ke hari ini.

Mengapa Bilal Dipilih Muazin Pertama

Mungkin ramai yang tertanya dan berfikir, mengapa Bilal bin Rabah telah dipilih sebagai muazin yang pertama, sedangkan ramai lagi para sahabat pada waktu itu yang mempunyai kelayakan.

Bahkan, ada yang mengemukakan soalan, mengapa tugas sebagai muazin itu tidak diberikan kepada Abdullah bin Zaid, orang yang telah bermimpi kalimat azan itu atau digalas oleh Baginda SAW sendiri?

Rasulullah SAW merupakan seorang pemimpin dan Rasul yang memahami umatnya dengan baik. Baginda mempunyai alasan tersendiri dalam setiap pemilihan dan keputusan yang berlaku, terutamanya apabila melibatkan urusan-urusan rasmi dan hal ehwal agama.

Melalui Kitab Ash-Shuffah yang telah dikarang oleh Yakhsyallah Mansur (2015), terdapat beberapa faktor yang menjadikan Bilal bin Rabah sebagai muazin pertama.

#1 – Berani

Bilal bin Rabah diceritakan sebagai seorang yang berani dan lantang bersuara. Jika dilihat sejarah dari awal pengislamannya, beliau diceritakan sebagai seorang yang berpegang teguh dengan keimanannya dan tidak gentar walau diseksa hidup-hidup di tengah panas terik.

Islam pada waktu itu sedang mula mekar di tanah Yathrib (Madinah). Oleh hal demikian, Rasulullah menitikberatkan keselamatan para sahabat dalam melindungi diri dan agama.

#2 – Suara Lantang

Bilal juga dikatakan mempunyai suara yang lantang dan boleh didengar dengan jelas. Hal ini dapat dilihat sewaktu beliau diseksa oleh tuannya, kalimah ‘Ahad, Ahad’ yang disebutnya didengar dengan jelas dan lantang walaupun pada waktu tersebut beliau sedang menahan kesakitan yang melampau.

Walaupun suaranya diriwayatkan sebagai biasa dan tidak diceritakan terlalu merdu, namun setiap yang mendegar laungan azan beliau akan merasa gentar dan mula meninggalkan kerja yang dilakukan untuk menghadap Ilahi.

#3 – Berdisiplin

Azan perlu dilaungkan sebanyak lima kali sehari bagi setiap kali lima waktu yang ditetapkan. Oleh itu, umat Islam memerlukan insan yang berdisiplin dan menepati waktu dalam memberi peringatan.

Bilal dikatakan sebagai seorang yang sentiasa menepati janji dan berdisiplin dalam setiap perkara yang dilakukan. Beliau disenangi kerana sikapnya yang memudahkan urusan orang lain. Disebabkan itu, beliau dipilih oleh Rasulullah sebagai contoh untuk menjadi muazin yang baik.

لَوْ كُنْتُ أُطِيقُ الأَذَانَ مَعَ الْخِلافَةِ لأَذَّنْتُ

“Sekiranya aku mampu untuk (melakukan kerja) melaungkan azan dalam masa yang sama (melakukan tugas) khilafah, akan aku azan.” (Hadis Riwayat Baihaqi, no 1858)

Imam Izzuddin Abdul Salam ketika membahaskan mengenai perihal ini mengatakan bahawa, Rasulullah merupakan seorang yang istiqamah dalam melakukan sesuatu.

Baginda bimbang tidak akan istiqamah dalam urusan melaungkan azan kerana terlalu sibuk dengan urusan umat dan hal ehwal agama Islam.

Disebabkan itulah, Baginda tidak melaungkan azan. Malah, dalam beberapa riwayat juga ada menceritakan bahawa ulama’ serta khalifah terdahulu tidak melaungkan azan.

Untuk menjadi muazin, ia merupakan tugas dan amanah yang tidak boleh dipandang rendah. Tugasnya kelihatan ringan pada mata kasar, namun sebenarnya berat dan besar nilainya pada ‘mata’ Allah.

Muslimin yang ingin menjadi muazin juga perlu mendidik diri dengan nilai dan contoh yang telah dibawa oleh Bilal. Hati yang kental dan berani, lantang serta berdisplin merupakan nilai yang penting dan perlu ditekankan.

Tidak mengapa jika suara yang dilaungkan tidak merdu, paling penting ialah niat yang betul dan ikhlas. Kita diajar untuk melaungkan azan supaya memperingati umat Islam agar menunaikan solat dan bukan untuk menunjuk bakat serta suara yang ada.

Bolehkah Perempuan Melaungkan Azan

Menurut kitab Al Majmu’, syarh Muhadzab, karya besar Imam Nawawi, menyebut:

“Dimakruhkan bagi wanita mengumandangkan azan. Namun, disunatkan untuk mengumandangkan iqamat untuk sesama jemaah wanita. Makruh dilaungkan azan kerana ia perlu dilakukan dengan suara yang keras (bukan lembut dan mendayu seperti suara wanita), sedangkan iqamat tidak demikian. Tidak sah bagi wanita mengumandangkan azan untuk jemaah lelaki kerana wanita tidak boleh mengimami lelaki.

Tidak sah jika wanita mengumandangkan azan untuk lelaki. Namun, kalau iqamat, ia adalah disunatkan sesama jemaah wannita sahaja dan bukan untuk azan.” (Al-Majmu’ 3:75 – 76)

Manakala, menurut pendapat ulama’ lain menyebut bahawa, tidak ada dalil sahih yang mengharamkan azan dilaungkan oleh wanita dan tiada pula dalil sahih yang membolehkannya.

Namun, pada zaman Rasulullah SAW, tidak ada penceritaan azan yang dilaungkan oleh wanita. Disebabkan itu, wanita dimakruhkan untuk melaungkan azan selain daripada bimbang suaranya akan mendatangkan fitnah.

Walau bagaimanapun, untuk melaungkan iqamah adalah disunatkan jika wanita sesama wanita. Iqamat perlu dilakukan dengan suara yang kuat sekadar didengari jemaah yang ada.

Di dalam Mazhab Syafi’e, hukum melaungkan iqamat adalah sama dengan azan, iaitu sunat muakad. Solat seseorang itu masih sah jika tidak dilaungkan azan mahupun iqamat.

أَتَيْنَا عَبْدَ اللَّهِ بْنَ مَسْعُودٍ فِي دَارِهِ فَقَالَ أَصَلَّى هَؤُلاَءِ خَلْفَكُمْ فَقُلْنَا لاَ ‏.‏ قَالَ فَقُومُوا فَصَلُّوا ‏.‏ فَلَمْ يَأْمُرْنَا بِأَذَانٍ وَلاَ إِقَامَةٍ

Maksud: “Kami berdua pergi bertemu Abdullah bin Mas’ud di rumahnya lalu beliau berkata: “Aapakah mereka itu solat di belakang kamu?” Lalu kami menjawab: “Tidak.” Beliau berkata: “Bangunlah kamu dan tunaikanlah solat.” Dan beliau tidak menyuruh kami untuk melaungkan azan serta iqamat.” (Hadis Riwayat Muslim, no 534)

Hukum Menjawab Azan

Sama juga dengan melaungkan azan, hukum bagi menjawabnya ialah sunat muakkad, iaitu sunat yang dituntut. Ia merupakan suatu bentuk penghormatan kepada azan agar ketika ia dilaungkan, kita tidak leka.

Tidak ada dalil bercakap semasa azan diharamkan, namun adalah lebih baik meninggalkannya jika ia mengganggu muazin yang sedang melaungkan azan atau muslimin yang lain dalam menjawab azan.

Ia juga dikira sebagai tujuan menghormati laungan azan dan kalimah memuji kebesaran Tuhan.

إِذَا سَمِعْتُمُ النِّدَاءَ، فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ المُؤَذِّنُ

“Apabila kalian mendengar azan, maka ucapkanlah seperti yang sedang diucapkan muadzin.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Jika anda seorang yang tidak berdekatan dengan masjid atau kawasan-kawasan yang mudah didengar azan, pasti anda akan mendengar azan yang dilaungkan serentak atau hampir sama masanya.

Ia sekali gus akan menimbulkan kekeliruan kepada diri sendiri, azan mana yang perlu dijawab dan dibacakan doa selepasnya, bukan?

Menurut permasalahan ini, Imam Syafi’e ada menyebut bahawa, azan yang pertama didengar itu adalah lebih baik dijawab dan dibacakan doa. Namun, jika ingin menjawab bagi kedua-duanya juga, adalah tidak mengapa.

Kesimpulan

Bilal bin Rabah, sehingga hari ini dikenali dan digelar sebagai muazin kerana kehebatannya dalam melaungkan azan dan setia dengan perjuangan Islam. Malah, selain muazin, gelaran bilal juga turut digelar oleh masyarakat sebagi suatu bentuk penghormatan dan penghargaan.

Azan merupakan kalimah yang memuji kebesaran Tuhan sekali gus memberi peringatan kepada kaum muslim untuk menunaikan solat. Ia juga merupakan antara waktu mustajab berdoa kerana pada waktu ini dikatakan malaikat mendengar azan dan doa yang disebut.

Oleh itu, hargailah azan selagi ia masih berkumandang di telinga anda. Saudara kita yang mengalami perang di negara sana pasti merindui azan untuk dikumandangkan di telinga dan hati mereka.

Sumber: Muslim.Or.Id & Mufti Wilayah




No comments:

Powered by Blogger.