Marah Itu Mudah Tetapi Sabar Lebih Indah
(Perkongsian dalam video di atas telah disampaikan oleh Habib Ali Zaenal Abidin , dibawakan oleh Cocombee)
Allah telah berfirman,
“Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; (Surah Ali Imran 3:133)
Siapakah orang yang bertakwa yang disebutkan dalam ayat ini?
“Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;” (Surah Ali-Imran 3:134)
Maka terdapat tiga ciri istimewa orang bertakwa yang mendapat ganjaran seluas langit dan bumi, yang disebutkan dalam ayat di atas iaitu:
#1- Orang Yang Mendermakan Harta Dalam Keadaan Senang Dan Susah
Mungkin mudah untuk kita memberi dalam keadaan kita mempunyai harta, namun yang benar-benar dipuji oleh Allah adalah orang yang tetap memberi walaupun dalam keadaan sulit dan sukar.
#2- Orang Yang Menahan Marah
Ada beza antara orang yang memang kurang/tidak mempunyai sifat marah berbanding orang yang mempunyai sifat marah. Pasti golongan yang kedua lebih teruji imannya, namun jika mereka tetap mampu bertahan, ganjaran besar menanti dari Allah.
#3- Orang Yang Memaafkan Kesalahan Orang Lain
Kita insan yang ada ego masing-masing. Kadang kala jika kesalahan yang dilakukan kepada diri kita menjentik ego, atau mencabar harga diri, pasti lebih sukar untuk memaafi. Kerana ia suatu yang sukar lah maka Allah menyediakan ganjaran syurga buat mereka yang mampu melakukan ketiga-tiga perkara yang telah disebutkan termasuk memaafkan kesalahan orang.
Jika kita berfikir bahawa ketiga-tiga perkara ini dapat dilakukan hanya dengan kudrat diri sendiri, maka sudah pasti ia lebih sukar untuk dilakukan. Namun, Allah lebih berkuasa menjadikan kita mampu jika kita sendiri mahu. Syaratnya keinginan yang tinggi untuk berubah dan berdoa dengan penuh tabah.
No comments: