Ads Top

Kitaran Berantai Tidak Paksa Didik Anak Anda Bersolat

“Masa cuti sekolah lepas aku buat kerja sambilan di sebuah lapangan terbang. Setiap kali masuk waktu zohor, aku akan curi masa solat beralaskan plastik hitam dalam stor barang kerana pihak majikan tidak menyediakan ruang solat khas. Lantas aku dianggap paling warak dan alim kerana rajin solat. Dalam kelompok perkerja yang rata-ratanya Melayu Muslim, hanya aku seorang sahaja yang menunaikan solat. Pekerja lain, baik tua atau muda semuanya seakan tak pernah dilihat solat.”

Segar lagi dalam ingatan cerita kawan kami yang sama-sama belajar dalam Tingkatan Lima di Sekolah Agama Arab Ma’ahad Muhammadi Lelaki, Kota Bharu Kelantan.

Kami yang dengar ceritanya tersenyum lebar kerana tahu kawan kami ini masih tebal selaput nakalnya dan bukanlah seorang yang “warak atau alim” bagai dipuji orang di tempat kerjanya.

Namun kini, apabila semakin dewasa dan banyak melihat ragam manusia baru saya akui Musim yang tidak tinggal solat sebenarnya sangat istimewa. Istimewa kerana kenal diri dan kenal tuhannya.

Sepanjang pemerhatian, saya dapati ramai orang yang tidak solat, baik remaja, orang dewasa dan warga emas berpunca daripada kepincangan didikan. Mungkin mereka ini tidak dipaksa-didik oleh ibu bapa mereka.

Ibu bapa mereka dahulu pun mungkin turut tidak dipaksa-didik oleh generasi lampau. Orang yang tak dipaksa-didik untuk solat akan jadi orang dewasa yang tidak pula memaksa-didik anak mereka. Lalu kitaran tidak paksa-didik ini akan terus berhubung dan berantai merentas generasi.

Setelah melihat kecacatan kitaran paksa-didik ini, barulah saya faham mengapa nabi Ibrahim A.S berdoa agar ibadat solat mendasar masuk ke dalam jiwa keturunannya:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
“Wahai Tuhanku! Jadikan daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonankuIbrahim 14:40

Rasulullah S.A.W mengetahui benar solat yang konsisten sukar dilaksanakan jika tidak dilatih semenjak muda merah. Ini sebabnya baginda menyuruh agar solat diisipadu ke dalam jiwa anak-anak seawal 7 tahun.

Setelah usia si anak mencecah 10 tahun, lanjutan didikan solat itu perlu disulam dengan didik-pukul (tanpa dera) agar tiang solat benar-benar bertapak kemas ke dalam jiwa si anak. Sabda Rasulullah S.A.W:

مُرُوا أَوْلَادَكُمْ بِالصَّلَاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ
Suruhlah anak-anakmu solat apabila usia mereka mencecah 7 tahun (agar ia biasa melakukannya setelah dewasa) dan jika mereka enggan solat setelah usia mereka mencecah 10 tahun, pukullah mereka (dengan pukulan kasih sayang yang tidak menyakitkan). Juga asingkan juga tempat tidur antara merekaSunan Abu Dawud

Jangan pula anda salah faham tentang maksud pukul dalam hadith ini. Ia cuma pukulan didik yang ringan seperti jentik bahu atau pulas telinga dan bukannya pukulan kasar yang meninggalkan parut fizikal atau emosi. Batas pukulan ini dijelaskan dalam sebuah hadith lain:

لَا يُجْلَدُ فَوْقَ عَشْرِ جَلَدَاتٍ إِلَّا فِي حَدٍّ مِنْ حُدُودِ اللَّهِ
Janganlah dipukul (seseorang itu) melebihi 10 sebatan, kecuali ketika melaksanakan satu hukuman yang ditetapkan Allah (seperti 80 sebat bagi penuduh tanpa bukti dan 100 sebat bagi penzina yang belum berkahwian) Sahih a-Bukhari

Pernahkah kita terfikir mengapa kata ganti nama doa dalam ayat 6 surah al-Fatihah yang menjadi rukun solat didatangkan Allah dengan lafaz jamak (plural) atau ramai? Mengapa Allah sebut “tunjuki kami jalan yang lurus” dan bukannya lafaz individu “ tunjuki aku jalan yang lurus?”

Antara signifikannya ia adalah suatu ingatan kepada kita agar turut mendoakan semua Muslim dilimpahi petunjuk daripada Allah dan antara petunjuk terbaik adalah kesedaran untuk mengiktiraf Allah sebagai Tuhan dengan melaksanakan rukun kedua Islam ini.

Selain itu, solat adalah warisan para nabi dan orang soleh. Jika kita telusuri dalam al-Quran, para nabi digambarkan Allah sebagai hamba yang bernafas dengan “oksigen” solat:
– Nabi Ibrahim (Surah Ibrahim 14:37 & 40)
– Nabi Musa (Surah Taha [20:13]). 
– Nabi Isa (Surah Maryam 19:30-31). 
– Nabi Zakariyya (Surah Ali ‘Imran 3:39).
– Maryam (Surah Ali ‘Imran 3:43).
– Nabi Syu’aib (Surah Hud 11:87). 
– Nabi Ismail (Surah Maryam 19:54).
– Nabi Muhammad S.A.W (Surah Taha 20:132)

Percayalah! Apabila Allah sudah hilang daripada jiwa dalam kitaran 5 waktu sehari, nafsu dan syaitan akan mengisi kekosongan itu:

فَخَلَفَ مِنْ بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ ۖ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا
Kemudian mereka diganti oleh keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka) Surah Maryam 19:59

Jika orang yang kekal solat pun masih terdedah kepada dosa, bayangkan orang yang tidak kenal solat? Orang yang solat adalah orang yang kenal Tuhan mereka.

Mereka sedar kekurangan dan kelemahan diri apabila melakukan dosa kerana mereka masih dalam kitaran penyembahan kepada Allah 5 kali sehari. Lambat laun solatnya yang bergerak bersama nafasnya 5 kali sehari akan membersihkan jiwanya sebagaimana firman Allah ini:

اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ
Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan Surah al-Ankabut 29:45

Bagi orang yang tidak solat, tiada apa lagi peringatan harian yang boleh mengingatkannya betapa alam ini ada Tuhan, ada dosa pahala dan balasan akhirat.

Kesimpulannya, paksa-didiklah diri kita dan anak keturunan kita untuk konsisten bersolat dan mengenal Allah! Jangan hanya solat sendiri, rangkumkan bersama anak keturunan kita agar kebahagiaan keluarga disuburkan dengan perlaksanaan arahan Allah:

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا ۖ لَا نَسْأَلُكَ رِزْقًا ۖ نَحْنُ نَرْزُقُكَ ۗ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَىٰ
Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertaqwaSurah Taha 20:132




No comments:

Powered by Blogger.