Ads Top

Kisah Haji Pertama Dan Terakhir Rasulullah Pada Bulan Zulkaedah

Mungkin anda pernah mendengar mengenai bulan-bulan haram yang telah diharamkan di dalamnya berlaku peperangan. Maka, pada bulan ini, orang Arab Jahiliah serta kaum Muslim menahan diri mereka daripada melakukan peperangan.

Walaupun ada diceritakan sejarah perang yang berlaku pada bulan haram tersebut seperti Perang Bani Quraizah, namun peristiwa tersebut hakikatnya ia dimulakan oleh kaum kafir Quraisy. Maka untuk mempertahankan diri dan kesucian agama, umat Islam terpaksa berperang.

Bulan-bulan ini diharamkan berperang kerana dianggap sebagai bulan yang suci. Selain itu, orang Arab akan menumpukan kepada kerja-kerja yang khusus pada bulan haram tersebut. Sebagai contoh, pada bulan Rejab, orang Arab akan menumpukan kepada tanaman kurma mereka agar menjadi lebih kuat, subur dan mengeluarkan buah yang lebih segar.

Bulan haram sendiri telah disebut di dalam Al-Quran sebagai perintah daripada Allah untuk mengharamkan diri mereka menghampiri peperangan.

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّـهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّـهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ

Mafhum: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa.” (Surah At-Tawba, 9:36)

Salah satu daripada empat bulan haram yang disebut ialah Bulan Zulkaedah. Pada bulan ini, negeri Arab akan dilanda musim sejuk. Oleh itu, mereka akan duduk berehat sahaja di rumah tanpa melakukan apa-apa aktiviti yang boleh memudaratkan.

Dalam Islam, ia merupakan bulan haram kerana ia dekat dengan musim haji. Malah, permulaan haji berlaku pada bulan ini. Oleh itu, ia untuk mempersiapkan diri bagi menunaikan haji dan memperbanyakkan ibadah kepada Allah.

Kisah Hajjatul Wada’ Rasulullah SAW

Selain daripada permulaan musim haji buat umat Islam, namun sedarkah kita bahawa sebenarnya Haji Wida’ Rasulullah SAW juga berlaku pada bulan ini, iaitu haji yang terakhir buat Baginda SAW. Ia dikhabarkan sebagai haji yang pertama sekali gus yang terakhir yang dilakukan oleh baginda sebelum wafat.

Ia dinamakan sebagai Haji Wida’ kerana ia bermaksud Haji Perpisahan. Perkataan wida’ (وداع) yang berasal daripada Bahasa Arab bermaksud berpisah atau perpisahan.

Peristiwa ini telah diriwayatkan berlaku pada tahun ke 10 Hijrah bersempena dengan pembukaan kota Mekah selepas 10 tahun mereka berhijrah ke Madinah. Umat Islam berasa sangat gembira kerana boleh pulang ke tanah kelahiran mereka, iaitu Mekah tanpa sebarang peperangan dan tentangan daripada kaum kafir Quraisy lagi.

Tanggal 25 Zulkaedah bersamaan dengan 22 Februari 632 Masihi, iaitu pada hari Sabtu, Rasulullah telah menaiki untanya dan memakai ihram untuk melaksanakan hajinya yang pertama.

Menurut beberapa riwayat, Haji Wida’ ini telah disertai seramai 10,000 muslimin, manakala menurut riwayat yang lain, seramai 144,000 muslim yang turut serta bersama nabi dalam haji ini. Ada juga riwayat yang menganggarkan seramai 24,000 orang muslimin yang turut serta.

Antara para sahabat dan ahli keluarga baginda yang turut serta dalam haji ini ialah Abu Bakar as Siddiq, Aisyah binti Abu Bakar, Asma binti Abu Bakar dan Muawiyah bin Abi Sufian. Isteri Abu Bakar turut serta dalam haji ini dan diceritakan isteri beliau telah melahirkan seorang putera yang diberi nama Muhammad bin Abu Bakar. Bayi tersebut merupakan antara yang paling muda yang telah mengerjakan haji.

Usai mengerjakan haji, Rasulullah telah berdiri di Wadi Uranah bagi menyampaikan khutbahnya yang terakhir. Para sahabat, ahli keluarga dan semua muslimin telah menjadi saksi akan peristiwa dan khutbah yang disampaikannya.

Antara isi khutbah yang baginda sampaikan ialah:

“Wahai seluruh manusia, dengarlah apa yang hendak aku katakan ini, kerana aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kalian semua selepas tahun ini di tempat wukuf ini…”

#1 – Larangan membunuh jiwa dan mengambil harta orang lain tanpa alasan yang hak.

#2 – Kewajipan meninggalkan tradisi dan amalan jahiliah – pembunuhan dan riba.

#3 – Berwaspada dengan gangguan syaitan dan kewajipan menjaga agama.

#4 – Larangan mengharamkan apa yang dihalalkan dan sebaliknya.

#5- Kewajipan memuliakan wanita (isteri).

#6 – Kewajipan berpegang teguh kepada Al-Quran dan An-Nas.

#7 – Kewajipan taat kepada pemimpin, siapa pun dia selama masih berpegang teguh kepada Al-Quran.

#8 – Kewajipan berbuat baik kepada hamba sahaya.

#9 – Umat Islam adalah bersaudara antara satu sama lain.

#10 – Kewajipan menyampaikan khutbah Rasulullah SAW kepada yang lain(Hadis Riwayat Sunan Ibn Majah, no 3074)

Saidina Abu Bakar yang menyedari bahawa haji tersebut merupakan haji terakhir Baginda kerana isi khutbah yang disampaikannya sangat menyentuh hati dan perasaan semua umat Islam. Haji itu juga berlaku selepas sempurna wahyu dan ajaran yang disampaikan kepada umat Islam.

Sama seperti ketika beliau sedar akan wahyu terakhir yang telah diturunkan, iaitu:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

Mafhum: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama kamu.” (Surah Al-Maidah, 5:3)

Kesimpulan

Haji Wida’ merupakan salah satu peristiwa sedih yang telah menimpa umat Islam sebelum kewafatan Baginda. Banyak pesanan yang telah disampaikan oleh Baginda dan telah disebarkan sehingga ke hari ini untuk kita mengambil pengajaran dan iktibar darinya. Wallahu a’lam.

Rujukan: Ustaz Ali Habib Zainal Abidin – Haji Wida’




No comments:

Powered by Blogger.