Ketahui Khasiat Disebalik Sunnah Meminum Susu
Sewaktu saya kecil, saya sering melihat iklan di televisyen berkenaan anak-anak kecil yang diberi minum susu sama ada Dutch Lady atau Marigold. Seiring dengan zaman, semakin banyak jenama susu yang dikeluarkan dari haiwan ternakan seperti lembu mahupun kambing.
Malah, antara minuman yang terkenal dan sering dihidangkan di sekolah ialah susu selain daripada Milo yang sehingga kini menjadi pujaan ramai.
Sedangkan, jika dilihat pada anak-anak kecil ini, mereka cenderung untuk meminum susu hanya pada awal tumbesaran, iaitu dari umur satu bulan sehingga ke lima tahun sahaja.
Tidak ramai yang menggemari susu apatah lagi susu kambing mungkin kerana rasanya yang kurang memuaskan berbanding dengan minuman lain seperti milo, vitagen dan yogurt.
Apabila disebut sahaja susu, kita pasti akan membayangkan kebaikan untuk tulang kerana ia sinonim dengan tumbesaran. Untuk menjaga tulang, adalah lebih baik kita meminum susu. Ia juga dikatakan bagus untuk tumbesaran kanak-kanak dan untuk menguatkan tulang atuk serta nenek kita yang sudah dimamah usia.
Susu juga dikatakan merupakan salah satu minuman sunnah yang sering diamalkan selain daripada meminum air zam zam dan air putih.
Pada zaman Rasulullah, Baginda akan meminum susu kambing atau susu unta sebagai manisan. Selalunya Baginda akan meminumnya sebelum tidur.
Walau bagaimanapun, disebalik sunnah ini, apa sebenarnya hikmah yang tersimpan? Mengapa susu dikatakan sebagai salah satu minuman yang boleh menguatkan badan dan mempunyai seribu satu khasiat serta bagaimana pula cara pemakanan Rasulullah dengan susu?
Susu Merupakan Minuman Sunnah
Menurut beberapa riwayat menceritakan bahawa Baginda akan menjadikan susu sebagai minuman sebelum tidur.
Baginda juga tidak meminum susu dengan campuran makanan lain seperti buah, daging dan juga ikan. Disebabkan itulah, kita tidak digalakkan untuk minum koktail, iaitu campuran buah dan susu.
وَإِنَّ لَكُمْ فِي الْأَنْعَامِ لَعِبْرَةً ۖ نُّسْقِيكُم مِّمَّا فِي بُطُونِهِ مِن بَيْنِ فَرْثٍ وَدَمٍ لَّبَنًا خَالِصًا سَائِغًا لِّلشَّارِبِينَ
“Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari antara hempas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.” (Surah An-nahl, 16:66)
Melalui riwayat yang diceritakan oleh Abu Bakar dan Aisyah, haiwan yang dimaksudkan dengan ayat di atas ialah lembu, kambing dan juga unta (mamalia yang menghasilkan susu).
Syaikh Abu Abdillah Al-Maqdisi ada menyebutkan di dalam kitabnya, iaitu Ar-Ri’ayah bahawa, sunnah Rasulullah selepas meminum susu ialah dengan berkumur dengan air kerana baginda pernah bersabda yang bermaksud:
“Dari Ibnu Abbas, sesungguhnya Rasulullah SAW setelah meminum susu, Baginda akan berkumur. Baginda bersabda: “Sesungguhnya susu itu mengandungi lemak.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Menurut beberapa riwayat yang mengatakan bahawa Rasulullah akan berkumur setelah meminum susu kerana padanya mengandungi lemak. Malah, ada riwayat lain juga menyebut bahawa Rasulullah pernah mengatakan bahawa, bimbang ia akan meninggalkan bau mulut yang masam.
Besarnya khasiat susu sehinggakan Baginda dikatakan akan berdoa setiap kali selepas meminum susu. Doa yang Baginda anjurkan ialah:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَزِدْنَا مِنْهُ
Maksud: “Ya Allah, berkatilah kami padanya dan tambahkanlah darinya.”
Doa ini juga ada disebut melalui riwayat dan hadis hasan oleh Baginda SAW, iaitu:
مَنْ أَطْعَمَهُ اللَّهُ الطَّعَامَ فَلْيَقُلِ اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَأَطْعِمْنَا خَيْرًا مِنْهُ. وَمَنْ سَقَاهُ اللَّهُ لَبَنًا فَلْيَقُلِ اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَزِدْنَا مِنْهُ
“Barangsiapa yang Allah beri makan hendaknya ia berdoa: “Allahumma bariiklana fiihi wa ath’imnaa khoiron minhu.” (Ya Allah, berkatilah kami padanya dan berilah kami makan yang lebih baik dari dirinya). Barangsiapa yang Allah beri minum susu maka hendaknya ia berdoa: “Allahumma baariklanaa fiihi wa zidnaa minhu.” (Ya Allah, berkatilah kami padanya dan tambahkanlah darinya). Rasulullah SAW berkata lagi: “Tidak ada sesuatu yang boleh menggantikan makan dan minum selain susu.” (Hadis Riwayat Tirmizi no 3455, Abu Daud no 3730 dan Ibnu Majah no 3322)
Khasiat Susu Untuk Kesihatan
Setiap perbuatan Baginda pasti punya sebab dan hikmah yang besar. Mengapa Baginda suka untuk minum susu? Pasti ada hikmah yang tersembunyi dari amalan ini.
Menurut pakar-pakar kesihatan dan juga pemakanan, ramai yang telah membuktikan bahawa susu mempunyai khasiatnya yang tersendiri.
Mereka mengatakan bahawa susu daripada mamalia yang mempunyai kelenjar susu termasuklah manusia, lembu, kambing, unta, biri-biri dan kerbau mempunyai laktosa, lemak dan protein yang lebih kurang sama.
Bezanya ialah saiz lemak dan pecahan asid amino (protein) yang terdapat dalam zat susu-susu tersebut. Susu biri-biri dan kerbau mengandungi kandungan protein dan lemak yang lebih tinggi berbanding susu lembu dan kambing.
Antara nutrisi yang terdapat dalam susu ialah kalsium, Vitamin D, karbohidrat, protein dan lemak serta zat besi. Nutrisi-nutrisi ini dikatakan mampu membantu mengawal tekanan darah serta mencantikkan rambut dan kulit.
Selain itu, ia boleh membantu menguatkan imunisasi badan, melancarkan proses penghadaman, memberikan tumbesaran yang sihat serta ketahanan tulang dan juga gigi.
Ada yang mengatakan bahawa lemak susu boleh menggemukkan. Itu dijadikan sebagai salah satu alasan untuk menafikan khasiat susu. Namun, pakar pemakanan juga telah mengulas bahawa lemak susu sebenarnya tidak membuatkan gemuk sebaliknya amalan pemakanan yang tidak seimbang boleh mengundang ke arah kegemukan.
Lemak susu sendiri berfungsi untuk membantu lemak-lemak di dalam badan manusia agar tidak mengakibatkan kepada penyakit yang berbahaya.
Malah, khasiat meminum susu panas sebelum tidur dikatakan dapat melonggarkan otot-otot tegang dan menenangkan saraf sekali gus memberi peluang kepada tubuh badan kita setelah seharian penat bekerja.
Walau bagaimanapun, jika diambil susu secara berlebihan, bimbang ia akan mendatangkan kesan yang negatif seperti hyper-active dan memudaratkan hati.
Menurut pakar nutrisi Dutch Lady Milk, beliau telah mengulas bahawa susu merupakan sumber diet yang penting dalam kalangan kanak-kanak. Walau bagaimanapun, ia perlu diambil dalam kadar yang sederhana.
Jika diambil secara berlebihan, bimbang badan akan menerima terlalu banyak tenaga serta mengakibatkan kecelaruan sistem badan. Anak-anak ini digalakkan untuk bersenam bagi membebaskan tenaga yang berlebihan itu. Satu hingga tiga gelas sehari sudah memadai untuk diambil.
Menurut pakar pemakanan UiTM Private Specialist Centre, iaitu Dr Nadhirah Mohd Khid mengulas bahawa bagi peminum susu yang menghidap masalah buah pinggang adalah tidak digalakkan untuk mengambilnya secara berlebihan.
Ia adalah kerana, kandungan susu dan penyakit itu berkait rapat dengan hiperpotasium, hiperfosfat dan hipercalcium yang boleh memudaratkan lagi kesihatan.
Zat besi yang berlebihan dalam badan juga akan menyebabkan hati membengkak dan boleh mengundang kepada cirrhosis, iaitu masalah hati.
Menurut kajian yang dilakukan oleh beliau dan beberapa kajian lain lagi menunjukkan bahawa campuran di antara susu dan bahan lain seperti buah-buahan, teh dan kopi adalah tidak digalakkan.
Hal ini kerana, campuran tersebut boleh mengurangkan kandungan antioksida. Ia akan menyebabkan sebanyak 30 peratus antioksida terganggu dan akan mengurangkan khasiat susu yang akan disalurkan oleh badan.
Walau bagaimanapun, menerusi kajian lanjutan yang telah dilakukan, sebanyak 70 peratus lagi kandungan antioksida masih ada dan boleh diserap oleh badan.
Oleh itu, boleh untuk mencampurkan buahan dan kopi tersebut, dengan syarat kandungan gula di dalam kedua-dua makanan tersebut terkawal.
Ia adalah sama sahaja dengan campuran antara susu dan ikan, daging atau ayam.
Kesimpulan
Banyak khasiat dan kebaikan susu yang boleh didapati oleh setiap peminumnya. Jika anda bukan seorang penggemar susu, mungkin anda boleh bermula dari sekarang dengan meminum susu kotak daripada pelbagai jemana yang ada.
Selain daripada ia adalah minuman sunnah dan diyakini halal, ia juga boleh membantu memberikan kesihatan yang baik kepada diri sendiri baik luaran mahupun dalaman.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّـهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ
Mafhum: “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya.” (Surah Al-Baqara, 2:172)
Rujukan:
Kebaikan Susu Unta
Yusuf Al-Qardawi – Kebaikan Susu
No comments: