Ads Top

Ikut Jejak Bapa Dalam Perniagaan, PU Riz Kendalikan Food Station

Setelah berhadapan dengan isu panas sebelum ini, pendakwah bebas yang juga seorang pelakon, Riz Ismail atau PU Riz kini bangkit dengan semangat baru.

PU Riz yang mula dikenali menerusi program realiti, Pencetus Ummah (PU) musim keempat ini memilih untuk mengendalikan dan mempromosikan restoran miliknya, Food Station yang beroperasi di Jalan Tun Sambanthan, KL (berhadapan dengan NU Sentral) yang sudah sudah beroperasi sejak lapan bulan lalu.

Hakikatnya, pemilik nama sebenar Muhammad Haris Mohd. Ismail ini meneruskan legasi bapanya yang lebih dahulu menceburi dunia perniagaan.

“Bapa menjadi mentor saya dalam apa yang dilakukan, termasuklah selok-belok dunia perniagaan. Saya percaya dalam hidup ini, kita perlu lakukan sesuatu yang dapat memberi jaminan masa depan. Sekurang-kurangnya ada juga pendapatan tetap saya setiap bulan.

“Namun begitu, dunia seni masih saya cintai dan berjalan macam biasa. Cuma saya melihat prospek perniagaan makanan ini khususnya boleh dikembangkan dengan baik. Kalau sebut tentang makan, semua orang perlukan makanan. Pilihan makanan di luar sana memang macam-macam,” ujarnya.

Menurut PU Riz, dia merasakan sudah tiba masanya untuk restorannya itu dipromosikan dengan lebih meluas, biarpun turut sibuk sebagai pelajar undang-undang di sebuah universiti.

Dalam pada itu, bergelar seorang pelakon, pelajar dan peniaga dalam satu masa ternyata menuntut dirinya untuk bijak membahagikan masa dengan sebaik mungkin.

“Kalau diikutkan ketika membulatkan hati menyambung pengajian, tawaran berlakon memang datang dengan banyak dan sangat menguji saya kerana perlu pilih apa yang perlu diutamakan.

“Macam sekarang ini pun untuk terima tawaran berlakon saya kena pilih yang tidak memakan masa panjang dan mengganggu jadual kuliah. Pada masa sama, saya juga kena utamakan tanggungjawab untuk perniagaan restoran yang diuruskan,” jelasnya.

Bercerita lanjut mengenai restoran miliknya, premis makanan yang diusahakannya itu menyediakan lebih 500 jenis lauk-pauk Melayu, Thailand dan masakan Barat.

“Sejak awal lagi saya memang tidak lepas tangan menguruskannya. Sesibuk mana sekalipun saya akan cuba bahagi masa untuk restoran ini. Bermula ketika mendaftar perniagaan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sehinggalah beroperasi sampai sekarang, saya akan ambil bahagian.

“Saya turut berusaha mencari tukang masak terbaik sampai pergi ke Kelantan. Banyak juga kos yang dilaburkan, termasuk mengubah suai semula restoran ini kerana ia diambil dari sebuah kedai lama yang diuruskan pihak lain,” katanya.

Malah, PU Riz turut menganjurkan ceramah agama di premis berkenaan dalam menyuntik elemen kerohanian sambil pelanggan menjamu selera. – KopiPlanet.com

The post Ikut Jejak Bapa Dalam Perniagaan, PU Riz Kendalikan Food Station appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.