Ads Top

Kecaman Dan Fitnah – Lemas Atau Terus Berenang Ke Tepian?

Pasti anda pernah mendengar kisah Luqman al-Hakim dan anaknya bersama seekor keldai yang berjalan di pasar.

Pada awalnya, Luqman al-Hakim menunggang kuda tersebut sambil anaknya berjalan menuruti belakang mereka.

Namun, tidak lama selepas itu, mereka mendengar desas-desus dan ucapan orang-orang di pasar dengan kata-kata yang telah mempengaruhi mereka – “Tengoklah lelaki tua itu, dia membiarkan sahaja anaknya berjalan dalam kepanasan sedangkan dia seronok menunggang keldai.”

Disebabkan oleh kata-kata tersebut, Luqman al-Hakim terus menyuruh anaknya untuk naik menunggang keldai bersamanya.

Tidak lama kemudian, terdengar lagi kata-kata yang mengatakan bahawa – “Tengoklah mereka berdua, kasihan unta tersebut terpaksa menanggung beban mereka berdua.”

Pernah kan kisah ini bermain di cuping telinga anda sejak dari kecil, sama ada ketika belajar kelas tambahan agama atau pengajian-pengajian sirah oleh ibu bapa anda sebagai bed time story.

Sewaktu ustazah saya menceritakan kisah ini, ibrah yang beliau sampaikan di sebalik kisah ini ialah, kita tidak akan memuaskan hati semua orang. Oleh itu, berbuat baiklah setiap masa tanpa menghiraukan apa pandangan manusia.

Didiklah Anak Anda Sesuai Dengan Zamannya

Jika kita amati dunia pada hari ini, terlalu banyak fitnah yang melanda, baik kepada lelaki mahupun perempuan atau terhadap orang yang baik dan alim ulama’ mahupun tidak.

Fitnah yang paling besar sering berlaku di media sosial. Setiap apa yang dipertontonkan, pasti akan dijadikan ‘modal’ sama ada sebagai kecaman atau pujian.

Berbuat kebaikan dianggap kesalahan, berbuat keburukan malah diberi pujian dan disanjung tinggi. Pelik, tapi itulah hakikatnya.

Bahkan, jika sesebuah posting itu penuh dengan pujian, pasti akan wujud juga kecaman oleh golongan yang tidak puas hati dan cuba mencari kesalahan kita.

Sampaikan pada satu tahap, saya pernah terbaca komen yang mengatakan bahawa – “Jika takut kecaman dan terlalu kemaruk pujian, tutup sahaja akaun media sosial. Itukan lebih baik dan lebih tenang.”

Ya, betul. Itu adalah keputusan yang terbaik. Dengan menutup berbuat demikian, hidup akan lebih tenang tanpa prasangka buruk dan kecaman. Namun, bukankah ia dianggap sebagai lari dari masalah?

Saya pernah terfikir, mengapa peratusan penyakit mental seperti kemurungan semakin hari semakin meningkat? Bahkan, jika dilihat beberapa tahun kebelakang, penyakit mental bukanlah suatu isu yang serius dan tidak menjadi kerisauan serta isu utama.

Sekarang, penyakit mental dikatakan merupakan antara penyakit utama terutamanya dalam kalangan anak muda dan remaja. Ia juga disifatkan amat berbahaya seperti penyakit kanser.

Mengapa ia terjadi?

Kita ambil satu perbezaan – Maklumat pada zaman dulu dikongsi menerusi surat khabar dan masing-masing akan berbahas di kedai kopi atau restoran-restoran sebagai topik untuk hari itu.

Usai perbahasan tersebut, masing-masing akan kembali fokus kepada pekerjaan yang dilakukan. Paling tidak pun, perbincangan tersebut akan berterusan sehingga ke tiga atau empat hari dan kemudian ia akan berlalu ibarat dibawa angin.

Sekarang? Menuju kepada kemodenan, kita lebih kepada gajet dan teknologi. Sudah jarang di antara kita yang membaca surat khabar, melainkan warga tua dan golongan pencen.

Anak-anak kita hari ini mendapat maklumat dan informasi melalui gajet, baik telefon mahupun komputer riba.

Perbincangan berlaku adalah melalui ruangan komen dan ia kekal di situ. Itulah yang akan menjadi bahan untuk berita-berita selanjutnya.

Inilah yang dinamakan fitnah dunia.

Kadang-kadang, niat kita untuk memberi pendapat, mungkin berdasarkan pengalaman atau pengajaran yang pernah dituntut, namun disalah tafsirkan disebabkan komunikasi yang tidak berlaku secara langsung.

Lantas, adakah ia suatu yang baik atau buruk? Besar padahnya yang kita lihat dan dapat memberi pengaruh kepada semua orang.

Disebabkan itulah, munculnya penyakit-penyakit yang membahayakan mental serta fitnah dan salah anggap oleh orang lain.

Bimbang bukan membayangkan situasi kita pada hari ini sebegini rupa? Lantas, bagaimana nasib generasi kita lagi 10 atau 20 tahun akan datang?

Semakin maju dengan arus kemodenan dan teknologi yang canggih pasti semakin sukar dan bimbang untuk mendidik mereka.

Disebabkan itulah, Saidina Umar pernah berpesan;

“Didiklah anakmu sesuai dengan zamannya.”

Lantas, apa perkaitan dengan cerita Luqman al-Hakim dengan penceritaan di atas?

Penulis melihat satu lagi hikmah di sebalik kisah tersebut, iaitu berbuatlah kebaikan walau kita dianggap asing. Buatlah apa yang dirasakan betul dari sudut Islam, walau kita dikecam dengan teruk, kerana itulah sebetul-betulnya fitnah dunia.

Jangan jadikan kata-kata dan kecaman manusia sekeliling sebagai pengaruh kepada setiap langkah dan keputusan hidup ini. Namun, jadikan ia sebagai pembakar semangat agar kita mampu berjaya dengan kata-kata mereka.

Jika kita terlalu memikirkan apa kata orang, percayalah hidup kita akan penuh dengan rasa ragu-ragu dan was-was. Kita akan kurang keyakinan diri dan akhirnya kita akan terikut-ikut dengan pendapat dan kepuasan orang lain, bukannya untuk diri kita sendiri.

Di sinilah pentingnya peranan ilmu. Ilmu akan menjaga kita, ilmu juga yang akan memandu jalan hidup kita. Berlaku adillah dengan diri kita sendiri. Jangan tenggelam dengan kata-kata negatif manusia terlalu cepat sehinggakan kita lemas.

Banyak contoh dan kisah yang telah dibawakan oleh mereka yang telah berjaya menempa kejayaan. Walau terpaksa menempuh pelbagai kecaman dan kepayahan yang diibaratkan seperti lautan yang bergelora dan angin kencang, namun itu semua tidak dihiraukan. Yang paling penting, mereka tidak tenggelam dan mampu sampai ke destinasi dengan selamat berbekalkan ilmu.

Contoh yang paling dekat dapat kita lihat ialah melalui kisah Dr Amalina Bakri. Beliau telah dipandang sebagai salah satu sumber motivasi untuk berjaya walau kita tahu beliau pernah menerima kecaman yang hebat suatu ketika dahulu.

Kecaman dan perkara-perkara yang tidak enak didengar pasti sentiasa anda. Terpulang kepada kita bagaimana untuk menanganinya.

Kesimpulan

Hidup perlu didasari ilmu dan keimanan yang kukuh agar tidak mudah lemas dengan kata-kata dan hasutan. Kadang-kadang, kita terlebih mudah dihasut oleh manusia yang langsung tidak mengenali kita.

Mereka hanya reti menghukum dan memberi pendapat berdasarkan apa yang dilihat melalui mata kasar, namun di sebaliknya, hanya kita yang mengenali diri kita dan mengetahui sesuatu perkara itu.

Oleh itu, jadikan kata-kata dan kecaman sebagai pemangkin semangat dan rujukan terhadap apa yang perlu dibaiki, bukan sebagai pemusnah kepada mental dan emosi kita.

Nikmati sahaja perjalanan anda untuk sampai ke tepian walau penuh dengan ombak dan liku yang merbahaya.

يَا بُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنكَرِ وَاصْبِرْ عَلَىٰ مَا أَصَابَكَ ۖ إِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ

“Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.” (Surah Luqman, 31:17)




No comments:

Powered by Blogger.