Dikecam Cium Anak, Norman Hakim Enggan Kongsi Lagi Gambar ‘Mesra’
Baru-baru ini nama Norman Hakim, 43, teruk dikecam selepas dia berkongsi video bercium dengan anak perempuannya, Maria Danisha Hakim, 11, di laman Instagram miliknya.
Menyedari tindakannya itu dikritik hebat sebahagian warganet, Norman kini mengambil pendekatan tidak akan lagi berkongsi foto mahupun video menunjukkan aksi mesranya bersama anak-anak.
“Saya tahu perkara itu jadi viral, saya minta maaf kadang-kala kita memang terlepas pandang. Sudah menjadi rutin saya, baik terhadap anak lelaki mahupun anak perempuan, memang saya layan seolah-olah mereka masih lagi baby.
“Bagaimanapun, perkara ini telah menjadi satu pengajaran berguna buat saya dan selepas ini saya dah tidak boleh post lagi foto-foto atau video macam itu untuk menjaga sensitiviti. Saya belajar benda itu yang mana saya harus ‘keep it personal’ dan jangan kongsikan kepada masyarakat,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Norman ditemui pada majlis pelancaran produk kosmetik ASL Cosmetics yang berlangsung di Glam Hall, Damansara Perdana baru-baru ini.
Menurut suami kepada Memey Suhaiza ini, sudah menjadi tradisi dan kebiasaan dalam keluarganya untuk mencium dan memeluk anak-anak tidak kira sama ada yang masih kecil ataupun sudah meningkat remaja.
Tidak mempunyai sebarang niat lain, Norman berkata dia berkongsikan video itu kerana ingin memaparkan kemesraan serta kehidupan penuh kasih sayang yang dilalui mereka sekeluarga.
“Niat saya adalah semata-mata untuk menyebarkan kasih sayang kami sekeluarga kepada orang luar. Bukan niat saya nak ‘show off’. Kalau nak tahu setiap hari sudah menjadi rutin saya untuk memeluk dan mencium isteri serta anak-anak.
“Malah, sampai sekarang pun saya masih tidur peluk anak-anak. Semua anak memang manja dengan saya. Ia sudah jadi tradisi kami untuk mencium dari dahi, pipi dan bibir anak-anak sejak mereka kecil lagi. Lainlah kalau anak dah besar, anda baharu nak cium mereka macam itu, memang peliklah anak itu nanti,” ujarnya lagi.
Pengacara program Mingguan Wanita ini dikurniakan tiga cahaya mata hasil perkahwinan dengan Memey iaitu Muhammad Darwisz Hakim, 6, Muhammad Dikrhiz Hakim, 4, dan Mikayla Delisha Hakim, 1.
Manakala tiga lagi anak adalah hasil perkahwinan terdahulu dengan Abby Abadi iaitu Mohamed Danish Hakim, 16, Marissa Dania Hakim, 14 dan Maria Danisha Hakim, 11. – KopiPlanet.com
The post Dikecam Cium Anak, Norman Hakim Enggan Kongsi Lagi Gambar ‘Mesra’ appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: