Apa Tujuan Anda Bersolat?
Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud;
“Islam didirikan atas 5 perkara : Mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat 5 waktu, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan mengerjakan haji (jika berkemampuan).”HR Bukhari Dan Muslim
<//small>
Pasti anak kecil anda pernah bertanya;
“Wahai ibu, mengapa kita perlu solat? Bukankah dengan hanya ada iman dalam hati yang meyakini bahawa Allah itu wujud pun sudah memadai?”
Kebanyakan pasti menjawab,
“Kita perlu solat sebab kita orang Islam.”
“Kita wajib solat sebab Allah suruh.”
Ya benar! Jawapan itu tepat. Sangat mudah untuk fahamkan anak-anak. Namun, cuba selidik kembali dalam hati kita. Soalkan pada diri, “mengapa orang Islam perlu solat? Dan mengapa Allah mewajibkan solat keatas hambaNYA.”
Solat Merupakan Tiang Agama
Pernah dengarkan para asatizah mengungkapkan ayat ini,
“Solat merupakan tiang agama. Diibaratkan jika sebuah rumah didirikan tanpa tiang maka sudah pasti akan robohlah rumah tersebut.”
Nah! Begitulah juga dengan solat. Allah mewajibkan solat dengan tujuan kita menjaga agama kita daripada roboh dan menjaga hubungan seorang manusia dengan TuhanNYA.
Lihatlah agama lain. mereka juga solat, namun caranya jauh berbeza dengan kita. Ada sesetengah agama yang hanya solat 1 kali saja seminggu. Ada agama lain yang memerintahkan solat setiap hari rabu. Manakala orang Islam pula diwajibkan solat pada setiap 5 kali sehari.
Betapa bertuahnya kita dilahirkan sebagai seorang Islam. 5 waktu sehari bertemu dan berkomunikasi dengan Tuhan kita. Walau bukan secara bersemuka, namun hanya dengan solat itu mampu menghubung doa kita kepada DIA.
MasyaAllah! Maha Suci Allah! Ingatlah juga besarnya solat itu sehinggakan apabila kita meninggal dunia pun, yang pertama akan disoal oleh malaikat Mungkar dan Nakir adalah berkenaan solat terlebih dahulu.
Solat juga merupakan amalan pertama dihitung apabila kita dihisab oleh Allah. Buktinya, Nabi S.A.W pernah bersabda,
“Sesungguhnya amal seseorang yang mula-mula dihisab pada hari kiamat adalah solatnya, jika solatnya baik (diterima) maka beruntung dan berbahagialah dia. Jika solatnya rosak (tidak diterima) maka kecewa dan rugilah dia.” Hadis Riwayat Tirmizi
Solat Tanda Kita Beriman Kepada Allah
Bayangkanlah, 5 kali sehari kita berhubungan dengan Allah S.W.T. Kita sujud sembah mohon keampunan daripadaNYA. Kita yakin bahawa Allah sentiasa melihat dan mendengar rayuan kita.
Kita berharap, memohon segala keinginan dan impian kita kepadaNYA dan yang paling utama, 5 kali sehari kita memperbaharui syahadah kita.
“Asyhadu Alla ilahaillallah Waasyhadu Anna Muhammadan Rasulullah”
Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.
Tahukah anda, kita kadangkala termasuk dalam kalangan orang yang kufur? Kufur nikmat terutamanya. Tidak bersyukur dengan rezeki yang Allah tentukan malah mempersoalkan setiap takdir yang Allah tetapkan.
Oleh sebab itu, Allah mensyariatkan bacaan kalimah syahadah dalam solat ketika duduk tahiyat awal dan akhir. Kerana Allah Maha mengetahui setiap perilaku hambaNYA yang kadangkala tidak sengaja dan tanpa sedar berbuat kufur terhadapNYA. Subahanallah! Maha baiknya Allah!
Solat Tanda Hamba Ingat Kepada Penciptanya
Allah berfirman didalam Al Quran yang bermaksud:
“Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tidak ada Tuhan selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingatiKu.” Surah Taha : 14
Tanda seseorang cinta pada kekasih adalah dengan sentiasa mengingati dan menyebut namanya. Begitu juga tanda hamba mencintai Tuhan.
Dia akan selalu memuja dan mengingati Tuhan yang mencipta kejadian tubuh badannya, menjadikan dia dapat bernafas, mendengar, melihat dan berbicara dengan lancar.
Alangkah baiknya jika manusia itu sentiasa bersyukur akan segala nikmat yang dikurniakan padanya. Kerana dengan itu, dia mampu menyerahkan seluruh jiwa raga kepada Allah yang Maha Esa. Mampu beribadah tanpa mengira pahala, mampu mengucapkan cinta tatkala gembira atau berdukacita.
Manusia itu sememangnya istimewa. Manakan tidak, iblis yang diperbuat daripada api dan malaikat yang diperbuat daripada cahaya itu pun disuruh sujud kepada manusia. lantas, nikmat apa lagi yang hendak kita dustakan?
Adakah cara lain yang lebih agung untuk mengucapkan cinta kepada Allah selain daripada sembah dan sujud mengingatiNya?
Maka dengan itu, solatlah! Kerana kita diciptakan untuk beribadah kepadaNya. Berhubung akrablah dengan Allah.
Jadikan solat itu teman yang paling setia. Mudah-mudahan, saya dan anda semua mampu menghidupkan solat dengan anggota dan hati yang dekat padaNYA!
No comments: