Ads Top

Anak Mula Tunjuk Minat Menyanyi, Ziana Zain Tidak Terlalu Beri Galakkan

Jarang-jarang bercerita mengenai anak-anaknya kepada pihak media, penyanyi popular, Ziana Zain berkata dia selesa dengan pendekatan sebegitu kerana tidak mahu anak-anak dilimpahi sinar glamor.

Namun begitu, Ziana atau nama sebenarnya, Siti Roziana Zin, 51, tidak keberatan bercerita mengenai anak perempuannya, Siti Nur Kaseh, 10, yang kini sudah mula menunjukkan minat terhadap bidang nyanyian.

“Sejak dahulu saya memang tidak ‘expose’ sangat anak-anak, kasihan nanti mereka akan jadi tumpuan. Saya lebih selesa begini, biar saya sahaja yang ke hadapan. Cuma sekarang saya tengok anak perempuan saya, Kaseh dah mula tunjuk minat terhadap bidang seni tapi saya tidak galakkan sangat. Menerusi pemerhatian saya dia suka menari dan menyanyi.

“Cikgu dia pernah cerita dengan saya, semasa dia tanya Kaseh apa cita-citanya, dia cakap nak jadi penyanyi macam ibu dia. Lepas dengar cikgu dia cakap macam itu, balik rumah terus saya terangkan pada Kaseh yang seni ini ada banyak cabang. Melukis pun satu seni dan saya pun nampak bakatnya lebih ke arah itu juga.

“Saya kalau boleh tak nak nampak macam menghalang kalau dia minat menyanyi, sebab orang cakap kalau terlampau halang nanti lagi mereka nak mencuba. Bagi saya, kalau menyanyi sekadar jadi hobi dia sahaja, itu tidak mengapa,” katanya.

Ziana berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun pertama program digital dBilique yang berlangsung di Taman Tun Dr. Ismail, Damansara baru-baru ini.

Dalam majlis itu, Ziana dan Datin Alyah diundang menjadi tetamu dBilique, program digital yang dikelolakan Faizal Ismail dan Fara Fauzana.

Ziana berkahwin dengan Armin Zaharin Ahmad Zambri pada 9 Mei 1998 namun mahligai dibina tidak berpanjangan apabila pasangan itu disahkan bercerai talak satu pada 12 Julai tahun lalu.

Hasil perkahwinan selama 20 tahun, mereka dikurniakan empat cahaya mata, Muhammad Aiman, 19, Muhammad Ammar, 15, dan pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 10. – KopiPlanet.com

The post Anak Mula Tunjuk Minat Menyanyi, Ziana Zain Tidak Terlalu Beri Galakkan appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.