Ads Top

Adakah LGBT Adalah Hak Asasi Manusia?

Mutakhir ini, ada kedengaran beberapa suara yang tidak ‘enak’ yang sudah berani meminta supaya LGBT diiktiraf sebagai satu hak asasi manusia.

Benarkah LGBT adalah hak asasi manusia seperti yang dilaungkan itu? Atau sekadar ingin memuaskan nafsu semata?

Sebelum kita lebih lanjut membincangkan mengenai kenyataan LGBT adalah hak asasi manusia, eloklah kiranya kita mengenali dahulu singkatan dan siapakah LGBT ini. Semoga kita lebih memahami isu yang sedang hangat dibincangkan di akhir-akhir ini.

Siapakah LGBT?

LGBT ialah satu singkatan iaitu:
L- Lesbian
G- Gay
B- Biseksual
T- Transgender

#1- Lesbian
Lesbian adalah wanita yang mempunyai nafsu atau tarikan seksual kepada sesama wanita. Tidak menyukai lelaki tetapi menyukai sesama jenis.

#2- Gay
Gay pula adalah lelaki yang mempunyai nafsu atau tarikan seksual kepada sesama jenis. Tidak mempunyai tarikan kepada wanita.

#3- Biseksual
Seseorang yang mempunyai tarikan kepada dua jantina sekaligus. Mempunyai keinginan kepada lelaki dan juga wanita.

#4- Transgender
Transgender adalah seseorang yang mengubah penampilan yang bertentangan dengan jantina asalnya. Contohnya lelaki berpakaian wanita, membuang halkum dan mengikut karakter seorang wanita.

Hak Asasi Manusia Yang Sebenar

Menurut Barat, hak asasi seorang manusia adalah hak yang mutlak bagi dirinya. Pemikir Barat lebih cenderung mengaitkan hak asasi manusia dengan kedaulatan dan kebebasan individu semata-mata.

Bagi golongan ini,  hak asasi manusia dan kebebasan individu adalah bersifat mutlak dan kepentingan individu lazimnya mengatasi kepentingan manusia sejagat.

Berbeza pula dengan Islam. Hak asasi manusia menurut Islam adalah bersifat tidak mutlak dan bermatlamatkan melindungi maruah dan karamah insan yang membezakan antara manusia dari makhluk Tuhan yang lain.

Menurut Dr. Wahbah Al-Zuhaili, Islam sebagai agama yang bersumberkan wahyu dari Allah S.W.T, Islam adalah agama yang mula-mula memperakui dan mendaulatkan hak-hak asasi manusia.

Contoh yang boleh kita lihat iaitu di zaman jahiliyiah wanita-wanita dan bayi perempuan dizalimi dan dibunuh kerana jantina mereka. Lalu Islam membawa satu sinar baru mengangkat martabat wanita.

Islam sangat menjaga hak wanita dan sama sekali tidak menganiaya dan menzalimi golongan ini. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”Surah Al-Hujurat 49:13

Hak bagi seorang manusia seharusnya dapat memartabatkan kemuliaan dirinya sebagai makhluk di sisi Pencipta dan juga mendatangkan manfaat kepada manusia sejagat.

Hak asasi manusia bukan bererti menjatuhkan maruah diri dan kemuliaan diri dengan perbuatan yang bertentangan dengan fitrah dan dapat membinasakan diri sendiri serta manusia lain.

LGBT Adalah Hak Asasi Manusia?

Menjadi persoalan utama dalam artikel ini adalah benarkah LGBT adalah hak asasi manusia? Adakah ia boleh diterima sebagai amalan biasa? Adakah boleh diamalkan dan bebas dilakukan?

Segalanya telah jelas seperti yang terakam pada tajuk kecil di atas mengenai hak asasi manusia yang sebenar. Apa kebaikan LGBT yang boleh kita peroleh? Hakikatnya ia menambah dan membiakkan masalah.

Banyak kesan yang akan berlaku jika LGBT diangkat dan diiktiraf seperti turunnya jumlah kelahiran di sesebuah negara, rumah tangga menjadi porak peranda, tercetusnya kebimbangan masyarakat, timbulnya penyakit berbahaya dan pelbagai lagi.

Bahkan sesama lelaki pun turut tidak selamat jika serumah. Nauzubillah minzalik. Ia bakal mendatangkan ‘bencana’ yang bisa memutarbalikkan segalanya.

Oleh itu, relevankah LGBT dianggap sebagai hak asasi manusia? Atau sekadar untuk memuaskan nafsu songsang semata? Tanya iman pasti ada jawapannya.

Kesimpulannya, hak asasi manusia juga memerlukan batasannya. Allah S.W.T sudah meletakkan peraturan kepada hambaNya supaya tidak terbabas dan terlalu bebas hingga menghancurkan diri sendiri. Batasan ini menjadikan diri kita lebih teratur dan tidak terlalu memuja nafsu semata.

LGBT bukan satu hak tetapi satu kemahuan nafsu yang memuncak yang disalurkan melalui cara dan jalan yang salah. Ia tidak boleh dianggap satu hak asasi kerana ia bukan fitrah sebenar manusia dan ia bertentangan jika difikir dengan akal yang waras pasti turut tidak bersetuju dengan amalan LGBT.

Kembalilah kepada fitrah. Penulis juga turut menulis artikel 5 Tips Kepada Sesiapa Yang Telah Terjebak Dengan LGBT.

Semoga ia dapat membantu kita sedikit sebanyak untuk menuju keredhaan Allah dan tidak mudah tertipu dengan ilusi nafsu yang bertunjangkan keseronokan yang sementara.

Semoga bermanfaat. Waallahu a’lam.

Rujukan:

1. Majalah Solusi Isu 119 (Isu: LGBT-Fitrah atau Serakah?)
2. Hadis-Hadis Sahih Berkaitan Perlakuan LGBT
3. Hak Asasi Manusia Menurut Islam




No comments:

Powered by Blogger.