Ads Top

Warna-Warni Hari Raya Di Seluruh Dunia

Di Malaysia, selepas sebulan menunaikan ibadah puasa, Hari Raya Aidilfitri disambut oleh umat Islam dengan penuh kemeriahan dan keinsafan.

Sesuai dengan makna Aildilfitri itu sendiri iaitu kembali kepada fitrah, amalan sunat seperti mandi sunat, memakai pakaian yang cantik, bersarapan sebelum keluar menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri merupakan amalan biasa yang dilakukan bagi menyambut perayaan ini.

Bagaimana pula sambutan Hari Raya Aidilfitri di negara-negara lain di seluruh dunia? Adakah sama dengan amalan yang dilakukan oleh umat Islam di Malaysia atau ada ritual-ritual tertentu yang unik yang memperlihatkan identiti sesuatu bangsa di sesebuah negara? Mari kita terokai sambutan Hari Raya di seluruh dunia.

#1- London, Britain

Walaupun Hari Raya bukanlah cuti umum di London, perayaan ini sangat penting dan disambut secara besar-besaran oleh umat Islam di kota kosmopolitan ini.

Malah, pada Sabtu pertama setiap tahun dalam bulan Syawal, akan diadakan ‘Eid in the Square’ bertempat di Trafalgar Square, Westminster, London.

Pertama kali dirasmikan oleh Datuk Bandar London iaitu Ken Livingstone pada tahun 2006, sehingga kini acara ini telah berkembang menjadi salah satu acara kebudayaan yang penting dalam kalendar peristiwa London dan menyaksikan kehadiran pengunjung seramai 25, 000 orang.

Acara percuma ini terdiri daripada persembahan-persembahan yang berbeza yang mencerminkan kepelbagaian, budaya dan bahasa, komuniti umat Islam yang pelbagai di London.

Jemputan untuk acara ini terbuka khususnya kepada warga London sama ada Muslim dan bukan Islam untuk menghayati dan memahami seni dan warisan Islam.

#2- New York, United States

Populasi penduduk Islam di bandar New York yang semakin berkembang menyaksikan sekolah-sekolah awam di New York telah menambah Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha ke senarai rasmi cuti sekolah bandaraya tersebut.

Sambutan Aidilfitri dimulakan dengan solat sunat Hari Raya yang diadakan di Masjid Islamic Cultural Centre (ICC), masjid terbesar di New York yang boleh menempatkan sehingga 4000 orang jemaah.

Usai solat, pengunjung boleh menuju ke kedai roti dan kek, Shaheen Sweets di Jackson Heights untuk menikmati manisan tradisi dari Pakistan dan India.

Bagi pengunjung yang mahukan sesuatu yang lebih mengenyangkan, anda boleh mencuba Fatima’s Halal Kitchen yang terkenal dengan hidangan makanan halal yang lazat dan menyelerakan.

Perkhidmatan ‘Henna Tattoo’ (inai) juga disediakan untuk kanak-kanak dan juga orang dewasa bagi yang gemar memakai inai pada musim perayaan.

Pada sebelah malam, jangan ketinggalan menyaksikan mercu tanda utama di New York, Empire State Building yang disinari cahaya kehijauan menanadakan kedatangan musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

#3- Istanbul, Turki

Hari Raya dikenali sebagai “Seker Bayram” atau Perayaan Manisan di sini. Hal ini demikian kerana manisan seperti baklava akan menjadi juadah utama untuk para tetamu. Malah, hidangan manisan ini juga diambil sewaktu sarapan.

Menariknya di sini, Hari Raya disambut secara besar-besaran dan pejabat kerajaan, swasta dan sekolah ditutup selama tiga hari.

Sama seperti di Malaysia, selepas solat sunat Hari Raya ditunaikan, penduduk di sini akan saling ziarah-menziarahi sanak-saudara dan juga tanah perkuburan bagi mengingati yang sudah tiada.

Amalan menghormati orang yang lebih tua sangat diberi perhatian. Yang muda akan mencium tangan kanan orang yang lebih tua dan meletakkannya di dahi mereka. Mereka akan saling mengucapkan “Bayramınız Kutlu/Mübarek Olsun” yang bermaksud “Semoga Perayaan ini Diberkati”.

#4- Dubai, United Arab Emirates

Masa untuk bersama-sama yang tersayang dengan hidangan yang mewah merupakan agenda utama sambutan Hari Raya di sini.

Selepas solat sunat, jamuan makan akan diadakan bersama-sama keluarga terdekat diikuti oleh acara bertukar-tukar hadiah sesama ahli keluarga.

Kemudian, penduduk Dubai biasanya bersiar-siar di sekitar bandar, melawat Dubai Opera yang terkenal dengan hiburan dan hidangan yang lazat atau ke IMG Worlds Of Adventures, taman tema tertutup yang terbesar di Dubai. Pada musim perayaan, bandaraya Dubai sangat bercahaya dan dipenuhi dengan manusia.

#5- Arab Saudi

Sudah menjadi adat dan kebiasaan di sini, kaum keluarga akan berkumpul di rumah saudara lelaki yang paling tua setelah menunaikan solat sunat Hari Raya.

Sama seperti di Malaysia, kanak-kanak dengan pakaian serba baharu akan berkumpul di hadapan yang lebih dewasa untuk mendapatkan duit raya.

Para pelancong yang mahukan pengalaman bagaimana sambutan Hari Raya dibuat pada zaman terdahulu bolehlah mengambil bahagian dalam Historic Jeddah Festival yang diadakan di pusat bandar, Balad.

#6- Srinagar, Kashmir

Pada sebelah pagi, penduduk di sini akan bersarapan dengan hidangan manis seperti buah kurma atau seviyan, sejenis puding beras yang dihidangkan bersama-sama susu, air dan kekacang.

Kahwah, sejenis teh tempatan daripada daun teh hijau istimewa dan saffron dari Kashmir juga akan dihidangkan.
Perhimpunan besar-besaran akan diadakan di Hazratbal, sebuah masjid yang dikatakan terdapat beberapa helaian rambut Nabi Muhammad S.A.W.

Begitulah serba ringkas gambaran sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung di seluruh dunia. Diharapkan dengan paparan ini, kita akan lebih menghargai dan memahami kepelbagaian bangsa dan budaya umat Islam di seluruh dunia sesuai dengan firman Allah S.W.T:

وَمِنْ آيَاتِهِ خَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوَانِكُمْ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِّلْعَالِمِينَ

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikan itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.”Surah Ar-Rum 30:22

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin.




No comments:

Powered by Blogger.