Ads Top

Rasulullah Berpoligami Setelah Wafatnya Khadijah

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Mafhum: “Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (Surah Ar-Rum, 30:21)

Setiap yang diciptakan di muka bumi ini adalah secara berpasangan. Pemadam diciptakan untuk pensil, siang untuk malam, begitu juga lelaki yang diciptakan untuk wanita. Perkahwinan merupakan sebuah ibadah. Ia sangat dituntut dalam Islam dan diangkat sebagai sunnah.

Oleh itu, simpanlah niat untuk mengikut jejak dan sunnah Rasulullah SAW. Jika sudah ada niat, namun tidak berkesempatan untuk melaksanakannya seperti maut yang menjemput terlebih dahulu atau tidak ditemui jodoh yang sesuai, maka jumhur ulama’ berpendapat bahawa Allah telah memberikan pahala yang melimpah-ruah sesuai dengan niatnya itu.

Kahwinilah Perempuan Yang Subur

Sebagai manusia, kita sentiasa beranggapan bahawa jika ingin melakukan sesuatu, maka hendaklah berdasarkan minat yang ada. Begitu juga perkahwinan. Jika ingin menikah, maka selalunya manusia akan berkahwin dengan pasangan yang dicintai dan pilihannya sendiri.

Kita hidup pada zaman dan era moden yang sudah jarang-jarang lagi ditemui mereka yang berkahwin atas alasan dan pilihan keluarga. Kalau ada pun, mungkin dalam drama cinta atau filem sahaja.

Jika dilihat dari zaman nenek atau moyang kita pun, kebanyakannya akan berkahwin dengan orang yang mereka suka setelah mendapatkan restu daripada keluarga.

Kisah nenek moyang kita yang berkahwin atas alasan keluarga, mungkin pernah didengar. Ia juga terjadi disebabkan oleh faktor tertentu seperti perempuan yang jarang keluar rumah sekali gus membataskan pergaulan mereka. Oleh itu, kebiasannya perkahwinan akan diatur oleh ibu bapa.

Namun, kita sudah jarang mendengar cerita begini pada zaman ini. Anak-anak sudah pandai untuk bersosial malah jika dilihat, kebanyakan mereka akan memberontak jika ibu bapa cuba mencampuri urusan perhubungan mereka.

Walau bagaimanapun, jika ingin membantah keputusan ibu bapa, maka haruslah dilakukan dengan penuh hormat dan menyatakan alasan yang munasabah agar tidak menyinggung perasaan orang tua. Hal ini bimbang jika akan terjadinya sebagai anak derhaka.

Dalam Islam, kita digalakkan untuk menikah bagi membuat baginda suka dan bangga kerana dengan perkahwinan, kita boleh menambahkan umat Baginda SAW.

Terdapat sebuah hadis yang menasihati kaum lelaki agar memilih perempuan yang boleh melahirkan zuriat agar boleh mengembangkan umatnya.

إِنِّي أَصَبْتُ امْرَأَةً ذَاتَ حَسَبٍ وَجَمَالٍ، وَإِنَّهَا لَا تَلِدُ، أَفَأَتَزَوَّجُهَا، قَالَ: “لَا.” ثُمَّ أَتَاهُ الثَّانِيَةَ فَنَهَاهُ، ثُمَّ أَتَاهُ الثَّالِثَةَ، فَقَالَ: “تَزَوَّجُوا الْوَدُودَ الْوَلُودَ فَإِنِّي مُكَاثِرٌ بِكُمُ الْأُمَمَ.”

“Sesungguhnya aku telah bertemu dengan seorang wanita yang mempunyai kedudukan dan cantik, tetapi dia seorang yang tidak boleh melahirkan anak. Maka apakah aku boleh menikahinya?” Rasulullah SAW menjawab: “Jangan”. Kemudian lelaki itu datang buat kali kedua maka Baginda juga melarangnya. Lalu, lelaki itu datang buat kali ketiga, maka Baginda SAW bersabda: “Kahwinilah kamu akan wanita yang penyayang, subur kerana aku merasa bangga dengan memiliki umat yang banyak.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Bagaimana jika perempuan tersebut tidak boleh melahirkan zuriat?

Melalui hadis di atas, Rasulullah SAW menggalakkan supaya memilih wanita yang penyayang dan boleh melahirkan anak. Sikap penyayangnya boleh membuat kita merasa bahagia dan rumah tangga yang dibina akan harmoni dengan cinta mereka.

Wanita yang penyayang dikatakan juga merupakan seorang yang mudah bertolak-ansur dan boleh menghormati keluarga dengan baik. Kajian juga membuktikan bahawa, mereka dikatakan boleh mengawal rumah tangga dengan baik dan mendidik anak-anak dengan penuh sabar dan elok.

Namun, jika diri sendiri ingin berkahwin juga dengan wanita pilihannya walaupun tidak subur, maka ia adalah dibolehkan. Hal ini kerana, Islam tidak melarang perkahwinan, malah ia adalah keputusan yang baik untuk membantu golongan wanita yang tidak mampu.

Rasulullah SAW juga pernah berkahwin dengan niat untuk membantu wanita sama ada yang kematian suami dari perang atau untuk mengangkat darjat mereka disebabkan oleh perkara-perkara yang berlaku dan juga untuk membebaskan tawanan.

Umum mengetahui, hanya isteri pertama baginda sahaja yang melahirkan zuriat baginda, iaitu Siti Khadijah binti Khuwailid. Ia juga membuktikan bahawa tingginya darjat isteri pertama baginda yang telah banyak membantu baginda di sepanjang susah senang baginda berdakwah.

Poligami Dalam Islam

Selalunya, pasangan yang berkahwin dan diberikan ujian dengan tidak dikurniakan cahaya mata akan mengambil inisiatif lain sama ada dengan mengambil anak angkat atau berusaha dengan melakukan ujian IVF dan sebagainya.

Kita berada dalam era yang segalanya boleh dilakukan jika punya usaha. Dalam erti kata lain, tiada yang mustahil dalam hidup ini.

Namun, ada juga pasangan yang memilih untuk menambah ahli baru dalam keluarga, iaitu dengan berpoligami.

Menurut pendapat ulama’, poligami boleh dilakukan jika mampu dan tanpa mengabaikan tanggungjawab dan kasih sayang terhadap kedua-dua isteri dan keluarga mereka.

Namun, jika sehingga mengabaikan salah satu di antara mereka, maka ia adalah tidak digalakkan kerana boleh menimbulkan kerosakan dalam sesebuah rumah tangga.

Bagaimana pula jika saja-saja ingin berpoligami walaupun isteri sudah cukup syarat serta boleh melahirkan anak?

Poligami tidak salah dan tidak pula diharamkan dalam Islam. Malah, sunnah juga mengamalkan poligami.

Namun, jika diamati semula sirah hidup baginda, Rasulullah berkahwin dengan Siti Khadijah sehinggalah beliau meninggal dunia. Selepas itu, Rasulullah mengambil masa yang agak lama untuk menghilangkan kesedihan baginda sebelum berkahwin dengan Siti Aisyah dan isteri yang lain.

Ini membuktikan bahawa baginda tidak pernah menduakan Siti Khadijah di sepanjang hidupnya. Malah, menurut pembahasan ulama’, tujuan baginda berpoligami hanya untuk membantu golongan wanita dan agama sahaja selepas terjadinya beberapa perkara seperti perang dan sebagainya.

Malah, melalui perkahwinan itu, baginda mampu menyampaikan ajaran Islam dengan lebih dekat.

Kesimpulan

Hal yang demikian bukanlah bermaksud penulis mengharamkan poligami dan bukan juga menggalakkan. Namun, jika diamati, poligami bukanlah sesuatu yang mudah malah penuh dengan tanggungjawab. Ia juga memerlukan toleransi dan tolak-ansur antara kedua pihak.

Jika kedua-dua mampu, maka tiada masalah. Namun, jika tidak, maka perlulah berfikir sehingga banyak kali.

Kadang-kadang melalui poligamilah banyaknya terjadi penceraian. Sikap isteri pertama yang tidak ingin dimadukan dan sikap suami yang berkeras untuk berkahwin lain.

Seeloknya diamalkan komunikasi yang berkesan dan baik dalam sesebuah rumah tangga bagi mengelakkan terjadinya perkara yang disukai syaitan dan puaknya.

Al-Munawi menjelaskan mengenai perkara ini, iaitu:

إن هذا تهويل عظيم في ذم التفريق حيث كان أعظم مقاصد اللعين لما فيه من انقطاع النسل وانصرام بني آدم وتوقع وقوع الزنا الذي هو أعظم الكبائر

Maksud: “Ia merupakan peringatan yang sangat menakutkan tentang celaan terhadap penceraian. Hal ini merupakan tujuan terbesar (iblis) yang terlaknat kerana penceraian mengakibatkan terputusnya keturunan. Bersendiriannya (tiada pasangan) anak keturunan Nabi Adam akan menjerumuskan kepada perbuatan zina yang termasuk dosa-dosa besar yang paling besar dan boleh menimbulkan kerosakan dan yang paling berat.” (Kitab Faidhul Qadiir, 2/408)

Rujukan: Mufti Wilayah




No comments:

Powered by Blogger.