Ads Top

Baca Ini Jika Anda Masih Keliru Tentang Hubungan

Saya teringat semasa membaca buku RnR Hati yang ditulis oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi, beliau mengulas isu berkenaan mendapatkan calon pasangan yang sesuai.

Beliau mengatakan, kalau sekiranya kita gunakan cerminan material maka yang datang itulah yang sukakan harta benda, kalau kita guna cerminan agama yang datang nanti orang yang ada agama. Lalu bagaimana cara kita mengadakan hubungan dengan orang sekeliling pada hari ini? Sama ada hubungan persahabatan atau cinta, adakah kita sudah betulkan niat kita?

Bila bicara pasal niat dalam mewujudkan hubungan sesama manusia saya teringat satu artikel yang ditulis oleh Suzie Pileggi Pawelski, ahli psikologi, pernah mengungkapkan falsafah Aristotle berkenaan niat dalam perhubungan. Aristotle pernah membahagikan tiga jenis utama niat dalam perhubungan iaitu:

#1-Friendships of Utility

Hubungan jenis ini bertunjangkan objektif dalam mengejar kejayaan dan keputusan yang memberi nilai tinggi seperti rakan perniagaan, pelaburan, ahli politik dan ruang lingkup berkaitan kerjaya.

#2-Friendships of Pleasure

Hubungan jenis ini pula ialah berasaskan kepuasan dan kegembiraan semata-mata seperti berkawan sebab hobi yang sama, minat dalam sesuatu permainan atau sukakan melancong.

#3-Friendships of The Good

Hubungan inilah yang paling ramai orang idamkan iaitu kesemuanya berasaskan kebaikan-kebaikan, nilai moral etika, agama, dan penghormatan. Seperti persahabatan tokoh perjuangan, ulama’ dan mereka yang mencintai kerana Allah SWT dan Rasul.

Nabi ada bersabda:

المرء على دين خليله فلينظر أحدكم من يخالل

“Agama seseorang sesuai dengan agama sahabat baiknya. Hendaklah kalian melihat siapakah yang menjadi sahabat baiknya.”
(Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

وقد قال صلى الله عليه وسلم: ” إذا جاءكم من ترضون دينه وخلقه فزوجوه إلا تفعلوه تكن فتنة في الأرض وفساد كبير” رواه الترمذي وغيره.

“Apabila datang kepada kalian seorang pemuda yang kalian redha agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia dengan anak perempuan kalian. Kalau tidak, akan terjadi fitnah (bencana) dan kerosakan yang besar di muka bumi“.
(Riwayat Tirmizi)

Begitu banyak lagi dalil-dalil gesaan daripada agama supaya kita semua sebelum menjalinkan apa-apa hubungan sama ada berasaskan persahabatan atau perkahwinan mestilah dibetulkan kembali niat hubungan itu supaya didasari agama dan akhlak.

Kerana hubungan yang ada asas jelas sebegini biasanya bertahan lebih lama. Sifatnya lebih berpanjangan berbanding dua perkara di atas tadi iaitu berasaskan material dan keseronokan semata-mata.

Kalau mahu meletakkan hubungan material dalam budaya kerja itu bagus cuma yang tidak enaknya apabila kita tersalah letak dalam hubungan perkahwinan semasa mencari jodoh. Mencari jodoh tidak boleh sama seperti mencari pekerjaan yang mana kalau kita hadiri sebuah temuduga kita akan lebih ekspresikan soal perkara yang melibatkan ketangkasan bekerja yang boleh hasilkan manfaat kewangan kepada syarikat.

Dalam perhubungan kita tidak memandang ‘first date’ sebagai temuduga kerja yang sifatnya kejayaan dan pencapaian semata-mata. Mungkin contoh boleh kita lihat pada pasangan yang hebat seperti Barrack Obama dan Michelle Obama yang mana dahulu bermula dengan orang biasa kemudian jadi hebat seperti Presiden Amerika ke-44.

Jalinan hubungan perkahwinan perlu dinilai dari sudut yang lebih bersifat panjang seperti komitmen, kejujuran, matlamat dan pandangan kehidupan yang sama supaya kedua-duanya bertahan hingga akhir nyawa.

Maka nilaikan semula perhubungan apakah yang sedang kita jalinkan bersama si dia? Dimana posisi niat si dia letak pada kita. Persoalkan kembali ketika kita bersendirian, benarkah niatnya bersama kita itu selari dengan kita niatkan kerana dikhuatiri kita bakal dimanipulasi atau membazirkan masa berpenat lelah dengan orang yang salah.

Bila kita sedar tentang niat-niat manusia melalui tindakan dan gerak geri mereka semasa berhubung dengan kita semakin mudahlah kerja kita untuk menapis orang yang salah dan menemukan calon pasangan yang lebih sesuai berdasarkan niat hati kita.

Kekeliruan Mendapatkan Perhatian

Acapkali apabila kita layari media sosial kita akan nampak satu budaya yang tidak begitu baik untuk dijadikan contoh seperti gemar lakukan ‘test market’ dalam masa yang sama suka menggambarkan bahawa seolah-olah single itu adalah fasa yang teruk dan begitu menyedihkan.

Contohnya apabila tiba setiap kali musim perayaan kita perhatikan anak muda suka menaikkan satu gambar diri dia bersama tiang, kereta, atau apa sahaja dan menulis status yang menggambarkan diri dia seorang yang kesunyian dan tidak berteman. Tatkala orang datang menjengah dan menegur di bahagian mesej untuk berkenalan, malah mereka menolak mentah-mentah.

Sekadar suka-suka katanya walhal ini memberi kesan yang tidak baik iaitu budaya suka menguji orang lain – menarik orang mendekati, memikat diri dan bermain tarik tali atau ‘jual mahal’ . Inilah budaya yang tidak matang yang selalu berlegar di sekeliling kita. Budaya ini mula dilakukan oleh ramai orang kerana lemahnya mereka tentang kepentingan menghargai diri sendiri.

Bagi sebahagian masyarakat, fasa single adalah fasa yang teruk dan begitu sunyi walhal inilah peluang untuk kita menyusun jadual kehidupan yang lebih kemas dan teratur. Sebab masa kita sebenarnya banyak tentang diri kita semata-mata maka sudah tentulah masa tersebut boleh digunakan sebaiknya untuk melakukan pelaburan diri dari sudut ilmu, kesihatan dan kemandirian diri.

Pada hemat penulis, budaya ini menjadi kebiasaan kerana kita begitu melayan ayat-ayat tular di media sosial seperti contoh #ForeverAlone dan seumpamanya.

Isu-isu berkenaan penyakit depresi kita dapati bukan masalah ‘in relationship or not’ namun masalah yang ketara ialah bila orang dan suasana di sekeliling tidak membantu diri untuk mengurus emosi yang celaru. Ia terjadi apabila kita gagal mengurus stress, gagal mengurus kegagalan dalam hidup dan seumpamanya. Semua itu soal bagaimana kita mengurus emosi, bukan soal ada hubungan ataupun tidak.

Beza Antara Seorang Diri & Kesunyian

Menurut seorang ahli Klinikal Psikologi bernama Ben Martin dalam satu artikel beliau di laman sesawang PsychCentral bahawa seorang yang berseorangan tidak semestinya dia kesunyian. Contohnya orang yang single menggunakan masa yang terluang untuk menguruskan haiwan peliharaannya, bersenam, menulis, serta melakukan hobi dalam hidup dengan cukup menggembirakan dan produktif.

Ada juga kes – orang yang sudah berkahwin namun sering dirudung masalah kesunyian kerana ketidakmampuan dirinya mengurus perhubungan dengan manusia lain. Konflik emosi ini sering berlaku bila kita gagal belajar bagaimana hendak sesuaikan diri dengan orang lain atau bersama dengan orang yang benar-benar berkualiti, bersama dengan orang yang memahami aspirasi hidup kita dan kita berasa dipenuhi dari segenap aspek.

Masyarakat kebanyakannya kurang terdedah dengan kajian personaliti dan lebih sukakan ayat tular yang toksik sifatnya seperti #ForeverAlone. Mengapa kita tidak tukar sahaja kepada #SingleBerkualiti? Bukankah lebih membantu orang single ini semua memanfaatkan waktunya yang sementara ini.

Kadang-kadang ada juga yang beranggapan seorang yang berwatak introvert itu sunyi tetapi menurut ilmu kajian personaliti manusia ini kebanyakannya akan ada tiga watak iaitu ambivert, ekstrovert dan introvert.

Ambivert: Boleh bergaul dengan ramai orang dalam suasana hiruk pikuk dan boleh jadi seorang yang perlukan ‘me time’ iaitu berseorangan.

Ekstrovert: Seorang yang gemar berada dalam lingkungan ramai orang. Dia sukar biasakan diri bila seorang diri.

Introvert: Seorang yang banyak bergerak solo dan agak janggal untuk sesuaikan diri di dalam satu suasana ramai orang.

Sekalipun seseorang itu berwatak introvert tidaklah bermaksud dia seorang yang sunyi, dia hanya kurang progresif dalam berkomunikasi namun dia masih lagi boleh untuk menjadi ‘pseudo extrovert’ berdasarkan kajian Susan Cain di dalam syarahan beliau di majlis ucapan awam TED Talk.

Islam juga ada menjelaskan tentang peribadi seseorang individu berdasarkan akhlak dan juga peribadi. Mari kita lihat beberapa hadis di bawah:

قال رجلٌ : أيُّ الناسِ أفضلُ ؟ يا رسولَ اللهِ ! قال ( مؤمنٌ يجاهد بنفسِه ومالِه في سبيلِ اللهِ ) قال : ثم من ؟ قال ( ثم رجلٌ مُعتزلٌ في شِعبٍ من الشِّعابِ . يعبد ربَّه ويدَعُ الناسَ من شرِّه

“Seseorang bertanya kepada Nabi: ‘siapakah manusia yang paling baik wahai Rasulullah?’ Nabi menjawab: ‘Orang yang berjihad dengan jiwanya dan hartanya di jalan Allah’. Lelaki tadi bertanya lagi: ‘kemudian siapa?’ Nabi menjawab: ‘Kemudian orang yang mengasingkan diri di lembah-lembah demi untuk menyembah Rabb-nya dan menjauhkan diri dari kerosakan masyarakat”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

خَيْرُ الناسِ في الفِتَنِ رجلٌ آخِذٌ بِعِنانِ فَرَسِه أوْ قال بِرَسَنِ فَرَسِه خلفَ أَعْدَاءِ اللهِ يُخِيفُهُمْ و يُخِيفُونَهُ ، أوْ رجلٌ مُعْتَزِلٌ في بادِيَتِه ، يُؤَدِّي حقَّ اللهِ تَعالَى الذي عليهِ

“Sebaik-baik manusia ketika berhadapan dengan hal yang merosakkan diri (fitnah) adalah orang yang memegang tali kudanya menghadapi musuh-musuh Allah. Dia menakutkan mereka, dan mereka pun menakutkan kembali. Atau seseorang yang mengasingkan diri ke lereng-lereng gunung, demi menunaikan apa yang menjadi hak Allah”
(Riwayat al-Hakim)

Kata Imam al-Nawawi:

“Yang lebih rajah (pendapat terpilih) adalah menjelaskan lebih dalam isu bergaul dengan masyarakat yang teruk, bagi orang yang menyangka dengan kuat bahawa dia tidak akan ikut terjerumus dalam maksiat. Bagi orang yang ragu dia akan ikut bermaksiat atau tidak, maka yang lebih utama baginya adalah uzlah. Sebahagian ulama mengatakan, keputusannya bergantung pada keadaan tertentu”
(Syarah Sahih Muslim)

Kadang-kadang ada baiknya menjadi single berkualiti daripada kita terus terjerumus ke dalam lembah kemaksiatan bersama orang yang bersifat toksik dan menjauhkan kita dari nilai kebaikan moral dan agama. Kita jangan mudah terikutkan budaya social validation yang bakal memberi nilai harga diri yang murah di mata orang lain.

Jadilah seorang yang single bergaya, berkualiti dan memberi manfaat kepada orang lain. Bukannya merengek kerana kononnya seorang diri ini begitu sedih. Percayalah, selagi kita belum benar-benar kenal diri dan hargai diri kita tidak akan merasai bahagia dari dalam hati kerana kebahagiaan kita bergantung pada kewujudan orang luar.

Perkara yang amat lucu untuk difikirkan ialah apabila kita cuba mendapatkan bahagia dari manusia lain. Tahukah pembaca sekalian, dalam hidup ini ada perkara yang kita tidak mampu kawal iaitu manusia. Kita tidak boleh ubah sesiapa pun atas muka bumi ini melainkan Allah yang mengubah hatinya.

Kita hanya boleh kawal reaksi kita, komunikasi kita, bahasa tubuh kita dan seumpamanya. Kita tidak akan boleh mengawal orang lain. Justeru, kita perlu ubah diri kita dahulu sebelum kita disayangi oleh sesiapa pun.




No comments:

Powered by Blogger.