Ads Top

Hazama Tidak Rasa Tertekan Sering Diajukan Soal Cahaya Mata

Selepas dua tahun mendirikan rumah tangga, penyanyi Hazama Azmi mengakui dia tidak tertekan dengan persoalan mengenai anak yang sering diajukan kepada dirinya.

Menurut Hazama, 35, dia menyerahkan hal berkenaan cahaya mata kepada rezeki Allah SWT selain menganggap ada hikmah, di mana dia dan isteri, pemuzik Genervie Kam dapat menghabiskan masa berdua-duaan sepuas-puasnya sebelum kehadiran anak.

“Doktor pernah beritahu peluang isteri untuk hamil tipis, namun saya percaya kalau Tuhan nak bagi, akan ada juga nanti. Saya dan isteri tidak tertekan langsung kerana yang kecoh-kecoh ini sebenarnya orang luar, sedangkan kami gembira dengan kehidupan kami.

“Sebenarnya banyak juga kelebihan kami yang tidak mempunyai anak, antaranya saya ada lebih banyak masa untuk diluangkan dengan isteri tanpa fikir mengenai ada anak kecil. Hal anak ini berbalik kepada rezeki, sama macam ajal yang kita pun tak tahu bila kita akan mati,” katanya.

Hazama berkata demikian kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pengenalan filem Marabahaya Underground yang berlangsung di Malaysia Animation Park Studios (MAPS), Ipoh, Perak baru-baru ini.

Selain itu, Hazama turut mengatakan dia menginginkan zuriat bukan kerana mahu mengikut ‘trend’ atau menjadikan anaknya sebagai ‘content’ (bahan tayangan) di laman Instagram seperti yang sering kali dilakukan kebanyakan selebriti.

“Saya bukan nak ada anak sebab nak ikut ‘trend’ bila kawan dah ada anak-anak, kita pun nak juga dan saya bukan jenis yang begitu. Selain itu, saya juga tidak mahu bila ada anak nanti jadikan dia sebagai ‘content’ di Instagram. Saya mahu jadi macam Datuk Rosyam Nor, sampai sekarang kita tak tahu isteri dan anak-anak beliau. Biarlah diri saya sahaja yang ditampilkan kepada umum.

“Saya tahu ramai selebriti jadikan anak mereka sebagai ‘content’, tetapi itu terpulang pada mereka sebab benda ini ada kebaikan dan keburukannya juga. Saya nak ada anak bukan sebab nak buka instagram dia. Kalau saya ada anak saya tak nak terlalu gembar-gemburkan tentang dia di media sosial. Itu pendirian saya buat masa sekarang, tak tahulah kalau saya berubah fikiran pula lepas dah ada anak nanti,” ujarnya lagi. – KopiPlanet.com

The post Hazama Tidak Rasa Tertekan Sering Diajukan Soal Cahaya Mata appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.