Ads Top

Azharina Akui Ada Kurang Senang Gelaran ‘Queen Of Soul’

Penyanyi Azharina Azhar mengakui ada segelintir yang kurang senang dengan gelaran ‘Queen Of Soul’ yang telah diberikan kepada dirinya.

Menurutnya, selama ini dia tidak pernah melabelkan dirinya dengan gelaran ‘Queen’ atau ‘Queen Of Soul’ dan pemberian gelaran tersebut adalah daripada peminatnya.

“Sehingga ke hari ini, siapa yang pernah kenal rapat dengan saya pun tahu saya tidak ada meletakkan gelaran tersebut kepada diri saya.

“Lagipun itu hak peminat untuk memberi apa saja gelaran kepada artis kesayangan mereka. Kalau ada yang nak pertikaikan, itu adalah hak individu,” ujarnya.

Penyanyi berkenaan berkata demikian ketika ditemui sewaktu acara akhir Look Of Plus Size (LOPS) yang berlangsung baru-baru ini.

Biarpun ada yang kurang menyenangi perkara tersebut, termasuk nama untuk konsertnya yang diberi nama Konsert Azharina Queen Of Soul, penyanyi itu menjelaskan bahawa jika dilihat daripada konteks lagu-lagu nyanyiannya, ternyata lagu-lagu nyanyiannya mempunyai eleman soul.

Ujarnya, dia juga mengakui nama konsert yang akan berlangsung pada 29 Jun di Teater Shah Alam itu juga nanti lebih kepada teknik pemasaran daripada pihak penganjur.

“Jadi, gelaran ini dilihat lebih kepada pemberian daripada para peminat. Cuma, saya sendiri memang kurang suka ada sebarang gelaran terhadap diri saya,” jelasnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai persiapan konsertnya yang akan berlangsung pada bulan hadapan, Azharina menyatakan setakat ini persiapan sudah menjangkau 70 peratus.

Bagaimanapun, apa yang cukup merisaukannya adalah daripada segi kesihatan, malah dia juga mempunyai doktor yang akan memantau tahap kesihatannya menjelang konsert.

“Tidak dinafikan yang saya juga berasa sedikit tekanan kerana terlalu memikirkan jangkaan dan harapan peminat untuk konsert itu.

“Biasanya untuk setiap persembahan yang dibuat, saya akan bersungguh dan memberikan komitmen 200 peratus kerana ingin memberikan kepuasan kepada mereka yang datang,” ujarnya. – KopiPlanet.com.

Kredit Foto: Instagram Azharina

The post Azharina Akui Ada Kurang Senang Gelaran ‘Queen Of Soul’ appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.