Bagaimana Islam Menilai Pekerjaan Sebagai Seorang Guru
وَمِنْ آدَابِهِمْ: أَنْ يَقْصِدُوا وَجْهَ اللَّهِ بِتَعْلِيمِ مَنْ عَلَّمُوا وَيَطْلُبُوا ثَوَابَهُ بِإِرْشَادِ مَنْ أَرْشَدُوا، مِنْ غَيْرِ أَنْ يَعْتَاضُوا عَلَيْهِ عِوَضًا، وَلَا يَلْتَمِسُوا عَلَيْهِ رِزْقًا
“Antara adab mereka (guru) adalah menjadikan matlamat mendapat keredaan Allah dengan mengajar sesiapa yang mereka ajar, mengharapkan ganjaran Allah SWT dengan memberi tunjuk ajar kepada mereka yang diberi tunjuk ajar kepada mereka yang diberi tunjuk ajar tanpa mengharapkan gantian dan tanpa mengharapkan rezeki daripadanya.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Selamat Hari Guru diucapkan kepada semua insan yang bergelar guru. Hari guru biasanya disambut pada tiap tahun, pada 16 Mei. Ia disambut bagi memberi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua guru.
Menjadi seorang guru sebenarnya pekerjaan yang sangat mulia kerana tugasnya adalah untuk mendidik pelajarnya, bukan sekadar mengajar.
Perkataan guru, atau dalam bahasa Arabnya ialah المُعَلِّم muallim, iaitu orang yang mengajarkan – mereka yang mempunyai ilmu yang tinggi dan boleh mengajar.
Dalam Islam, Allah memberi ganjaran dan pahala yang melimpah ruah kepada golongan ini walaupun kadang-kadang tugas guru dipandang remeh oleh sesetengah orang.
Malah, ada masyarakat yang mengatakan bahawa guru ini kerjanya mudah sahaja. Hanya perlu mengajar, apabila cukup bulan gaji akan masuk.
Namun, tahukah anda, tugas guru merupakan tugas yang sangat mencabar. Hal ini kerana, mereka bukan sahaja perlu menyampaikan ilmu malah perlu mendidik jiwa supaya menjadi insan yang berguna kelak. Ditambah lagi dengan tuntutan sistem pendidikan yang pelbagai, kerenah anak murid yang perlu dilayan, pasti ianya sangat memenatkan.
Ramai yang menyalahkan guru apabila timbulnya masalah remaja yang kurang akhlak, terlibat dengan masalah disiplin, atau yang tidak dapat mencapai keputusan yang cemerlang.
Tapi, pernahkah sejenak kita berfikir bahawa bukan seratus peratus tugas ini jatuh ke tangan guru. Kita semua perlu mengambil tugas ini untuk menjadi ‘guru’ atau contoh teladan yang baik kepada setiap orang di sekeliling kita.
Maksud: “Sampaikanlah dariku walau satu ayat.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Banyak kelebihan yang diperoleh jika kita berusaha untuk menyampaikan ilmu. Allah akan melimpahkan rahmat yang tinggi kepada umatNya, antaranya:
#1 – Seperti Bulan Dan Bintang
وَإِنَّ فَضْلَ العَالِمِ عَلَى العَابِدِ كَفَضْلِ القَمَرِ لَيْلَةَ البَدْرِ عَلَى سَائِرِ الكَوَاكِبِ
Maksud: “Sesungguhnya kelebihan orang yang alim dibanding dengan ahli ibadah adalah seperti bulan pada malam purnama atas seluruh bintang-bintang.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
#2 – Ulama (Orang Yang Alim Dalam Ilmu Agama) Diibaratkan Seperti Pewaris Nabi
وَإِنَّ العُلَمَاءَ وَرَثَةُ الأَنْبِيَاءِ ، وَإِنَّ الأَنْبِيَاءَ ، لَمْ يُوَرِّثوا دِيْنَارًا ، وَلَا دِرْهَمًا ، إِنَّمَا وَرّثوا العِلْمَ ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ
Maksud: “Sesungguhnya ulama’ adalah pewaris para nabi. Sungguh pun para nabi tidak mewariskan dinar atau dirham tetapi mereka telah mewariskan ilmu. Barangsiapa yang mengambil warisan tersebut maka dia telah mengambil bahagian yang banyak.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
#3 – Lebih Daripada Ahli Ibadah
فَضْلُ العَالِمِ عَلَى العَابِدِ كَفَضْلِيْ عَلَى أَدْنَاكُمْ
Maksud: “Kelebihan orang yang alim dibanding dengan ahli ibadah adalah seperti kelebihanku atas orang yang paling rendah di antara kamu semua.” (Hadis Riwayat Al-Tirmizi)
#4 – Semua Berselawat Kepadanya
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكتَهُ وَأَهْلَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ حَتَّى النَّمْلَةَ فِيْ جُحْرِهَا وَحَتَّى الحُوْتَ لَيُصَلُّوْنَ عَلَى مُعَلِّمِ النَّاسِ الخَيْرَ
Maksud: “Sesungguhnya Allah SWT, para Malaikat dan semua penduduk di langit dan di bumi, sehinggakan semut di sarangnya dan ikan (di lautan) pasti berselawat (mendoakan) kebaikan bagi orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)
#5 – Pahala Yang Melimpah-Ruah
مَنْ عَلَّمَ عِلْمًا فَلَهُ أَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهِ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ العَامِلِ
Maksud: “Barangsiapa yang mengajarkan sesuatu ilmu maka dia akan mendapat pahala orang yang mengamalkannya tanpa mengurangi pahala orang yang mengamalkannya sedikit pun.” (Hadis Riwayat Ibn Majah)
Kesimpulan
Hargailah setiap orang yang pernah menjadi guru dalam hidup anda. Mereka mungkin akan semakin dimamah usia, atau semakin berjauhan daripada diri anda namun manfaat dari ilmu yang disampaikan pasti akan kekal selamanya.
No comments: