Apa Yang Terjadi Kepada Badan Anda Apabila Berpuasa
(Video di atas telah dibawakan oleh Merciful Servant)
Apa khabar para pembaca? Semoga semuanya dalam keadaan yang masih sihat, cergas dan bertenaga walapun pada bulan puasa.
Ketika kita mula berpuasa, badan juga mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan rutin makan yang baru – kita makan sahur sebelum subuh dan juga lewat petang apabila tiba waktu berbuka.
Kita hanya mempunyai waktu yang lebih singkat untuk makan, iaitu daripada waktu Maghrib hingga anda melelapkan mata sebelum bangun semula untuk sahur. Maka sebaiknya elakkan daripada mengambil makanan segera yang diproses pada bulan ini.
Untuk pengetahuan anda, badan kita mengalami beberapa proses perubahan sepanjang Ramadan. Proses ini boleh dibahagikan kepada empat tahap.
Tahap Pertama – Kadar gula dalam darah akan berkurang. Badan akan mula menjalankan proses ‘pembersihan’. Pada awalnya anda mungkin akan mengalami masalah sakit kepala, pening, mual dan rasa lapar yang ketara.
Tahap Kedua – Pada tahap ini, badan anda sudah mula dapat menyesuaikan diri dengan rutin puasa dan perut anda dapat berehat. Proses pencernaan pula berlaku dengan lebih efisen. Sel-sel juga menjadi aktif dan badan juga mula menjalani proses pemulihan.
Tahap Ketiga – Pada tahap ini, badan anda sudah kembali menghasilkan tenaga yang cukup untuk digunakan oleh badan hasil penukaran lemak kepada tenaga. Fikiran anda juga menjadi lebih jelas dan mampu ditumpukan kepada pekerjaan yang ingin dilakukan. Anda juga merasa lebih sihat dan cergas.
Tahap Keempat – Tiba sahaja di tahap terakhir, kira-kira sepuluh hari sebelum Ramadan selesai, badan telah menjadi terbiasa dengan rutin yang sihat. Memori anda menjadi lebih kuat dan tumpuan meningkat. Badan juga telah menjalani proses pemulihan sepenuhnya dan toksin juga dapat dinyahkan daripada badan.
Kesimpulannya, jalanilah Ramadan dengan seimbang. Makan pada waktu yang ditetapkan, usah melewatkan berbuka dan elakkan pula makan berlebihan pada waktu ‘moreh’ selepas Solat Sunat Tarawih. Berikan peluang dan ruang kepada badan anda untuk menjadi lebih sihat.
No comments: