Ads Top

Betulkah Hadis Ramadan Terbahagi Kepada Tiga Bahagian

Berdasarkan sebuah riwayat oleh Al-Mahamili dalam Amaliyyah (293), Ibnu ‘Adi dalam Al-Kamil Fid Dhu’afa (6/512):

Maksud: Sa’d bin Muhammad bin Isawab menuturkan kepadaku, Abdul Aziz bin Abdillah Al Jud’ani menuturkan kepadaku, Sa’d bin Abi ‘Arubah berkata kepadaku, dari Ali bin Zaid, dari Sa’id bin Musayyib, dari Salman Al-Farisi, ia berkata: Rasulullah SAW berkhutbah kepada kami di akhir hari bulan Sya’ban atau di awal hari bulan Ramadhan, baginda bersabda:

“Wahai manusia, bulan yang agung telah mendatangi kalian. Di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Allah menjadikan puasa pada siang harinya sebagai sebuah kewajipan dan menghidupkan malamnya sebagai ibadah sunnah.

Barangsiapa pada bulan itu mendekatkan diri (kepada Allah) dengan satu kebaikan, ia seolah-olah mengerjakan satu ibadah wajib pada bulan yang lain. Barangsiapa mengerjakan satu perbuatan wajib, ia seolah-olah mengerjakan 70 kebaikan di bulan yang lain. Ramadan adalah bulan kesabaran, sedangkan kesabaran itu balasannya ialah syurga. Ia (juga) bulan tolong-menolong. Di dalamnya rezeki seorang mukmin ditambah-tambah.

Barangsiapa pada bulan Ramadan memberi hidangan berbuka kepada seorang yang berpuasa, dosa-dosanya akan diampuni, diselamatkan dari api neraka dan memperoleh pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa tadi sedikit pun.”

Kemudian para sahabat berkata: “Wahai Rasulullah, tidak semua dari kita memiliki makanan untuk diberikan kepada orang yang berpuasa.”

Rasulullah SAW berkata: “Allah memberikan pahala tersebut kepada orang yang memberikan hidangan berupa sebutir kurma, atau satu teguk air atau sedikit susu. Ramadan adalah bulan yang permulaannya rahmat, pertengahannya maghfirah (ampunan) dan akhirnya pembebasan dari api neraka.” (Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah, Ali bin Hujr)

Setiap kali hampirnya Ramadan, kita akan diingatkan untuk sentiasa beribadah dengan ikhlas dan berlipat kali ganda kerana di bulan Ramadan, kita akan mendapat rahmat yang tidak terkira serta pahala yang melimpah-ruah.

Sering juga kita mendengar ceramah-ceramah yang disampaikan di surau atau masjid-masjid berkenaan dengan ruginya mereka yang mensia-siakan Ramadan kerana di awalnya terdapat rahmat, di tengahnya ada pengampunan serta di akhirnya ada pembebasan daripada api neraka.

Namun, timbulnya persoalan, apakah status hadis di atas? Betulkah pengampunan hanya terdapat di tengah-tengah Ramadhan dan bolehkah untuk beramal dengan hadis di atas?

Berdasarkan pakar hadis seperti Al-‘Aini dalam kitab ‘Umdatul Qari (10/383), Al Mundziri dalam kitab At-Targhib Wat Tarhib (2/115), Al-Albani dalam Takhrij Al Misykah (1906) dan Syaikh Ali Hasan Al Halabi melalui Sifatu Shaumin Nabiy (110), hadis ini adalah dhaif.

Hal ini kerana terdapat perawi, iaitu Ali bin zaid bin Jud’an, iaitu perawi yang lemah. Menurut Yahya bin Ma’in, ia adalah hadis yang lemah dalam segala hal.

Abu Hatim ar Razi dan Al Albani berpendapat bahawa hadis ini adalah munkar kerana matan hadis adalah bertentangan dengan riwayat-riwayat lain.

Bolehkah Beramal Dengan Hadis Ini

Berdasarkan pendapat para ulama’, hadis ini boleh diamalkan di dalam al-Fadhail al-Amal tetapi bukan dalam perbahasan hukum. Namun, ulama’ juga berpendapat bahawa hadis ini tersangatlah lemah.

Terdapat sebuah hadis hasan berkenaan dengan pembebasan dari api neraka dan umat Islam boleh beramal dengannya, iaitu:

إنَّ للهِ في كلِّ يومٍ وليلةٍ عُتَقاءَ مِنَ النَّارِ في شهرِ رمضانَ وإنَّ لكلِّ مسلمٍ دَعوةً يدعو بها فيُسْتجابُ له

“Sesungguhnya di setiap hari dan malam bulan Ramadan dari Allah ada pembebasan dari api neraka, dan bagi setiap muslim, ada doa yang jika ia berdoa dengannya akan diijabah.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Dalam hadis lain, At-Tirmizi juga ada meriwayatkan:

إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ صُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ، وَمَرَدَةُ الجِنِّ، وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ، فَلَمْ يُفْتَحْ مِنْهَا بَابٌ، وَفُتِّحَتْ أَبْوَابُ الجَنَّةِ، فَلَمْ يُغْلَقْ مِنْهَا بَابٌ، وَيُنَادِي مُنَادٍ: يَا بَاغِيَ الخَيْرِ أَقْبِلْ، وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقْصِرْ، وَلِلَّهِ عُتَقَاءُ مِنَ النَّارِ، وَذَلكَ كُلُّ لَيْلَةٍ

“Pada awal malam bulan Ramadan, syaitan dan jin jahat telah dibelenggu, pintu neraka ditutup, tidak ada satu pintu pun yang dibuka. Pintu syurga dibuka dan tidak ada satu pintu yang ditutup. Kemudian, Allah menyeru: “Wahai penggemar kebaikan, raihlah sebanyak mungkin, wahai penggemar keburukan, tahanlah dirimu.” Allah pun memberikan pembebasan dari neraka bagi hamba-Nya. Dan itu terjadi pada setiap malam.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Melalui hadis di atas, jelaslah bahawa pengampunan Allah ada di sepanjang bulan Ramadan, begitu juga dengan rahmat dan pembebasan api neraka, bukan hanya pada satu-satu fasa sahaja.

Sebagai muslim, kita perlu beramal dengan hal yang sahih agar iman dan akidah sentiasa teguh terhadap-Nya. Justeru, kita perlu percaya bahawa Allah melimpahkan rahmat dan pahala yang berlipat kali ganda di sepanjang bulan Ramadhan.

Muslim.Or.Id




No comments:

Powered by Blogger.