Ads Top

Miliki Syarikat Pengurusan Artis, Dr. Irma Pernah Ditipu Puluhan Ribu

Memiliki latar belakang sebagai doktor gigi, Dr Irma Shida mengakui pernah kerugian puluhan ribu ringgit gara-gara ditipu ketika baharu berjinak-jinak dalam bidang pengurusan artis.

Walaupun bidang baharu yang diceburinya itu berlainan dengan latar belakang akademiknya, namun disebabkan minat mendalam dalam bidang seni Dr Irma telah berjaya menubuhkan syarikat Dr. Irma Entertainment yang mana kini mereka menaungi tiga artis residen iaitu Akmar Natasha, Ray Asri dan Jiha Akhir.

Menyifatkan apa yang berlaku di awal-awal pembabitannya dalam dunia hiburan sebagai satu pembelajaran yang tidak ternilai, Dr Irma tekad meneruskan impiannya dan berharap Dr. Irma Entertainment boleh berdiri sebaris dengan syarikat pengurusan artis yang berjaya.

“Saya memang ‘zero knowledge’ dalam bidang seni dan sudah tentunya pada awal-awal pembabitan, saya ada juga ditipu bila saya dijanjikan benda yang tiada sedangkan sudah pun keluarkan modal dan ia telah menyebabkan saya kerugian puluhan ribu ringgit.

“Tapi ia tidak menjadikan saya putus asa dalam membangunkan syarikat dan Alhamdulillah, sekarang semua sudah berjalan lancar dan setakat ini kami sudah ada tiga artis residen dan ia akan dikembangkan lagi di masa akan datang,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama anak yatim anjuran Dr. Irma Entertainment yang berlangsung di D’Kayangan Steamboat & Grill, Shah Alam, baru-baru ini.

Dalam majlis itu, seramai 20 kanak-kanak kurang bernasib baik dari Pusat Jagaan Lambaian Kasih, Kampung Sungai Penchala, Petaling Jaya menerima sumbangan duit raya daripada Dr Irma Entertainment.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan pentas daripada Ray Asri, Jiha Akhir dan bekas finalis Mentor, AJ Azril. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Dr. Irma

The post Miliki Syarikat Pengurusan Artis, Dr. Irma Pernah Ditipu Puluhan Ribu appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.