Ads Top

Adakah Berdosa Tidak Menyampaikan Ilmu

إِنَّ اللَّهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ الْعِبَادِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوْسًا جُهَّالاً فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

“Sesungguhnya Allah SWT tidak menghapus ilmu pengetahuan dengan cara mengambil sekali gus daripada hamba-hambaNya. Tetapi Allah SWT menghapus ilmu pengetahuan itu dengan kematian ulama sehingga tiada lagi orang yang alim. Ketika itu, orang ramai melantik ketua-ketua mereka dari kalangan orang yang jahil dan apabila mereka ditanya mreka memberi fatwa sewenang-wenangnya tanpa berpandukan ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat lagi menyesatkan.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sejak akhir-akhir ini kita dikejutkan dengan berita kematian ulama’. Pada minggu lepas umat Islam meratapi kematian Datuk Seri Abu Hassan Din. Mari kita sedekahkan al-Fatihah sejenak buat permata ummah yang telah pergi meninggalkan kita.

Pasti kita pernah mendengar mengenai hadis bahawa, salah satu cara Allah menarik ilmu adalah dengan mematikan para ulama’. Hal ini kerana, para ulama’ mempunyai ilmu yang cukup mendalam.

Perkataan ulama’ berasal daripada perkataan Arab, iaitu ‘alim yang bermaksud tahu. Dari segi istilah, ia bermaksud benar-benar mengerti atau mengetahui dengan mendalam sesuatu hakikat. Ulama’ ialah perkataan jama’ yang bermaksud golongan yang mengetahui sesuatu perkara.

Ulama’ ialah seseorang yang mengenali syariat Allah, faqih dalam agama, beramal dengan ilmu dan mengikut hidayah yang Allah kurniakan kepada mereka dengan hikmah. Mereka juga merupakan golongan yang dijadikan sebagai tempat untuk bersandar dan bergantung kepada manusia dalam permasalahan fikh, ilmu, urusan agama dan dunia.
Sebagaimana firman Allah yang berbunyi:

وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا ۖ وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ

“Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan kami.” (Surah As-Sajda, 32:24)

Ulama’ merupakan pemimpin yang telah Allah utuskan kepada manusia. Justeru, kita perlu mempelajari ilmu dari para ulama’ sebelum mereka meninggalkan kita. Hal ini kerana, ilmu merupakan sesuatu yang berharga. Ia tidak dapat diwarisi seperti harta namun perlu dicari dan dituntut.

Adab Menuntut Ilmu

Orang yang menuntut ilmu memperoleh banyak kelebihan yang akan diberi ganjaran oleh Allah SWT. Perbuatan ini sangatlah dituntut sejak dari zaman Rasulullah SAW lagi, tidak kiralah sama ada dengan para ulama’, ustaz atau mereka yang mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam sesuatu bidang.

Menuntut ilmu merupakan fardhu ain dan wajib dilaksanakan oleh setiap muslim. Contohnya ilmu berkait dengan solat, ia sangat penting bagi membolehkan seseorang itu beribadah kepada Allah dengan cara yang benar. Jika kita bersolat tanpa ilmu, maka itu adalah perbuatan yang jahil.

Menuntut ilmu yang umum seperti bidang sains, ekonomi dan sosial pula adalah fardhu kifayah. Sebagai contoh, tidak semua orang perlu menjadi doktor. Hanya mereka yang berkelayakan sahaja yang boleh menjadi doktor, maka jatuh fardhu kifayah dalam sesebuah golongan jika sudah ada yang menuntut ilmu mengenai itu.

Pernahkan kita mendengar sebuah kata-kata yang berbunyi, ‘tuntutlah ilmu dari buaian sehingga ke liang lahad.’ Ini bermaksud, menuntut ilmu tidak akan pernah habis walaupun kita sudah tamat zaman persekolahan atau universiti, malah kita digalakkan untuk menuntut ilmu sepanjang masa.

Ramai yang salah anggap, menuntut ilmu itu sifatnya cuma di pusat pendidikan yang formal. Ini merupakan fahaman yang salah. Hal ini kerana, syarat untuk menuntut ilmu adalah dengan berguru. Kita pergi ke masjid untuk mendengar ceramah juga dikira menutut ilmu, kita mendengar tazkirah yang disampaikan di lama Youtube juga dikira belajar.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قِيلَ لَكُمْ تَفَسَّحُوا فِي الْمَجَالِسِ فَافْسَحُوا يَفْسَحِ اللَّـهُ لَكُمْ ۖ وَإِذَا قِيلَ انشُزُوا فَانشُزُوا يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ ۚ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Mafhum: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Mujadila, 58:11)

Beberapa adab menuntut ilmu yang telah disyariatkan dalam Islam ialah:

#1 – Ikhlaskan Niat

Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang menuntut ilmu syar’i yang semestinya ia lakukan untuk mencari wajah Allah dengan ikhlas, namun ia tidak melakukannya melainkan untuk mencari keuntungan duniawi, maka ia tidak akan mendapat harumnya aroma syurga pada hari kiamat.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Setiap amal perbuatan kita dimulai dengan niat. Oleh itu, berniatlah dengan niat yang baik, iaitu menuntut ilmu kerana Allah dan bukan untuk mendapat pangkat atau nama.

#2 – Bersungguh-Sungguh Dalam Menuntut Ilmu

مَنْهُومَانِ لاَ يَشْبَعَانِ : طَالِبُ عِلْمٍ وَطَالِبُ دُنْيَا

“Ada dua orang yang begitu rakus dan tidak pernah merasa kenyang: (1) penuntut ilmu (agama) dan (2) pencari dunia.” (HR. Al Hakim dalam Al Mustadrok 1: 92. Disahihkan oleh Al Hakim dan disepakati oleh Imam Adz Dzahabi).

Melalui hadis ini, disebutkan bahawa betapa kita digalakkan untuk sentiasa mencari ilmu agama. Tidak cukup hanya bergantung kepada ilmu yang dipelajari kita masih kanak-kanak. Malah, menuntut ilmu itu memerlukan kesungguhan dan kerajinan supaya kita akan mendapat ilmu yang bermanfaat.

Menuntut ilmu juga memerlukan konsistensi. Sebagai contoh, ada segelintir orang yang hanya bersungguh dalam pelajaran apabila tiba musim peperiksaan sahaja. Namun, apabila berakhirnya musim peperiksaan, maka tiada lagi usaha yang dilakukan.

#3 – Meninggalkan Maksiat

Imam Syafi’e pernah memberi nasihat yang berbunyi: “Ilmu adalah cahaya dan cahaya Allah (hidayah) tidak diberi kepada ahli maksiat.”

Jika hati kita gelap kerana kotor akibat perbuatan dosa, bagaimana ilmu itu akan meresap masuk ke dalam hati. Oleh itu, tinggalkan maksiat dalam usaha kita untuk mendapatkan ilmu yang berkat.

Berdosa Menyembunyikan Ilmu

Ilmu itu merupakan hak setiap muslim. Sebagai seseorang yang berpengetahuan, kita perlu menyebarkan ilmu yang kita ada kepada manusia sejagat tidak kiralah melalui mana-mana platform seperti menjawab soalan yang diajukan, berkongsi penulisan di Twitter atau Facebook dan sebagainya.

Namun, baru-baru ini timbulnya persoalan berkaitan ilmu, adakah berdosa seseorang yang mengetahui sesuatu tetapi dia tidak menyampaikannya? Sebagai contoh, apabila ditanyakan mengenai sesuatu perkara dalam bidangnya, dia hanya berdiam diri atau tidak menyampaikannya dengan ikhlas, apa hukumnya?

Ilmu itu merupakan cahaya dan petunjuk, maka jika ia disembunyikan bermaksud manusia akan berada dalam kegelapan dan kesesatan. Allah melaknat golongan yang menyembunyikan ilmu berdasarkan firmanNya yang berbunyi:

إِنَّ الَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَا أَنزَلْنَا مِنَ الْبَيِّنَاتِ وَالْهُدَىٰ مِن بَعْدِ مَا بَيَّنَّاهُ لِلنَّاسِ فِي الْكِتَابِ ۙ أُولَـٰئِكَ يَلْعَنُهُمُ اللَّـهُ وَيَلْعَنُهُمُ اللَّاعِنُونَ

“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat sekalian makhluk.” (Surah Al-Baqara, 2:159)

Hatta, Rasulullah SAW sendiri tidak pernah menyembunyikan ilmu yang ada. Baginda sentiasa berusaha untuk menyampaikan ilmu dengan cara yang terbaik agar mudah difahami dan diterima oleh umatnya.

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ مَنْ حَدَّثَكَ أَنَّ مُحَمَّدًا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَتَمَ شَيْئًا مِمَّا أَنْزَلَ اللَّهُ عَلَيْهِ فَقَدْ كَذَبَ وَاللَّهُ يَقُولُ يَا أَيُّهَا الرَّسُولُ بَلِّغْ مَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ الْآي

Maksud: “Dari ‘Aisyah RA berkata: “Barangsiapa menceritakan kepadamu bahawa Muhammad SAW menyembunyikan sesuatu dari wahyu yang telah diturunkan oleh Allah kepada baginda, maka dia telah berdusta, kerana Allah telah berfirman: “Hai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari tuhanmu.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Malah, jika Allah pernah menegur ahli kitab (gelaran yang telah diberikan kepada golongan Yahudi dan Nasrani). Mereka ini mendapat ajaran tauhid, iaitu diturunkan Taurat melalui Nabi Musa dan Injil melalui Nabi Isa namun apabila datangnya Nabi Muhammad, golongan ini ada yang menerima dan menolak kerasulan baginda serta kebenaran al-Quran.

يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لِمَ تَلْبِسُونَ الْحَقَّ بِالْبَاطِلِ وَتَكْتُمُونَ الْحَقَّ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Mafhum: “Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu campur adukkan yang benar dengan yang salah dan kamu pula menyembunyikan kebenaran padahal kamu mengetahuinya.” (Surah Al-I-Imran, 3:71)

Dalam riwayat lain, Rasulullah SAW berkata Allah akan membalas dengan azab yang berat di akhirat kelak jika menyembunyikan ilmu.

مَنْ سُئِلَ عَنْ عِلْمٍ فَكَتَمَهُ أَلْجَمَهُ اللَّهُ بِلِجَامٍ مِنْ نَارٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksud: Barangsiapa ditanya tentang sesuatu ilmu tetapi menyembunyikannya, Allah akan mencambuknya dengan cemeti daripada api pada hari kiamat.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Berdasarkan dalil-dalil di atas, jelaslah bahawa menyebarkan ilmu itu wajib ke atas mereka yang berilmu, manakala berdosa ke atas mereka yang menyembunyikan ilmu.

Menyembunyikan ilmu di sini juga bermaksud tidak memberitahu perkara yang betul atau berbohong dalam sesuatu perkara. Apabila ditanya tentang sesuatu perkara yang diketahui jawapannya, kita tidak memberitahu dengan jujur atau berdiam diri, maka itu adalah berdosa.

Jika kita tidak mengetahui sesuatu perkara pula, maka jawablah tidak tahu. Berdosa hukumnya meletakkan fatwa sesuka hati tanpa berlandaskan ilmu yang betul dan tepat.

وَلَا تَقُولُوا لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَـٰذَا حَلَالٌ وَهَـٰذَا حَرَامٌ لِّتَفْتَرُوا عَلَى اللَّـهِ الْكَذِبَ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّـهِ الْكَذِبَ لَا يُفْلِحُونَ

Mafhum: “Dan Janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: “Ini halal dan ini haram,” untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya.” (Surah An-Nahl, 16:116)

Semoga kita tidak tergolong dalam kalangan mereka yang kedekut ilmu.

Kesimpulan

Menuntut ilmu itu adalah suatu kewajipan buat setiap muslim begitu juga menyebarkannya. Selagi nyawa dikandung badan, maka kita perlu berusaha dan bersungguh-sungguh untuk mencari ilmu dan berguru dengan mereka yang alim. Ilmu tidak seperti harta yang perlu kita jaga, tetapi ilmu lah yang akan melindungi dan menjaga kita di dunia dan akhirat.

Mufti Wilayah




No comments:

Powered by Blogger.