Ads Top

Wajib Tonton, Jalan Cerita Segar Kekuatan Filem Fly By Night

Bak menonton filem aksi Hong Kong! Itu komen yang keluar daripada penulis sebaik selesai menonton filem arahan Zahir Omar yang berjudul Fly By Night ini.

Jalan cerita yang diketengahkan mengenai kegiatan jenayah licik yang dilakukan oleh beberapa pemandu teksi ternyata suatu idea yang segar dan jarang sekali dibawa ke layar perak.

Filem tri-bahasa Mandarin, Melayu dan Inggeris ini dibarisi pelakon yang berjaya membawakan watak mereka dengan berkesan sekali terutama sekali tiga pelakon utamanya, Sunny Pang, Fabian Loo dan Bront Palarae.

Sunny Pang yang membawakan watak Tai Lo memberikan lakonan yang cukup cemerlang sebagai seorang abang yang sangat melindungi adiknya sendiri. Menerusi riak wajahnya pun kita boleh merasakan kegusarannya memikirkan masalah yang telah dicetuskan oleh adiknya, Sai Lo lakonan Fabian.

Fabian pula berjaya mencorakkan watak seorang ‘bad boy’ yang sering menimbulkan masalah serta tidak berfikiran panjang. Aura dan pesona Fabian dapat menangkap mata penonton agar terus setia mengikuti apa yang ingin dilakukannya seterusnya sehingga mencetuskan kepada klimaks filem ini.

Sementara Bront pula, usah dipertikaikan lakonan aktor berbakat besar ini. Berilah apa sahaja watak kepada Bront, pasti mampu dilaksanakan sebaik mungkin olehnya. Membawakan watak seorang pegawai polis bernama Kamal, Bront bersahaja membawakan watak tersebut seolah-olah ia sebati dengan dirinya.

Fly By Night mengisahkan sekumpulan pemandu teksi yang melakukan jenayah memeras ugut pelanggan mereka yang kaya. Tindakan mereka diperhatikan unit pasukan polis yang diketuai Kamal selepas seorang mangsa bergelar Datuk (Iedil Putra) melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

Keadaan semakin memuncak apabila Sai Lo dan rakannya mahu mendapatkan duit dengan amaun yang lebih banyak sehingga menimbulkan masalah kepada Tai Lo yang sering berhati-hati dalam melakukan ‘kerjanya’.

Bertambah masalah apabila Sai Lo terjebak dengan merosakkan kelab malam seorang ketua kongsi gelap yang menuntut ganti rugi daripadanya.

Dapatkah Tai Lo membantu adiknya, Sai Lo daripada terus diburu oleh dua pihak iaitu pihak polis dan kongsi gelap? Garapan Zahir Omar ini wajar menjadi filem wajib tonton kerana ia mempunyai material yang diperlukan untuk bergelar Filem Terbaik dalam Festival Filem Malaysia yang akan datang. Tidak mustahil trofi itu akan digenggam pihak produksi filem ini kerana kelainan dan pembaharuan sinematik filem tempatan yang dibawakannya ke dalam industri ini. – KopiPlanet.com

The post Wajib Tonton, Jalan Cerita Segar Kekuatan Filem Fly By Night appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.