Ads Top

Tak Perlu Buat Target Besar Pada Bulan Ramadan

(Perkongsian dalam video di atas telah dibawakan oleh ILuvUAllah)

Tinggal lebih kurang dua minggu sahaja lagi, Ramadan akan tiba dan umat Islam di seluruh dunia akan mula berpuasa. Persoalan yang biasa diajukan, adakah kita telah bersedia?

Kata penceramah dalam video di atas, kita sebenarnya tidak perlu melakukan target yang besar pada bulan Ramadan tetapi bermulalah dengan menanam azam dan niat. Ingatkan diri bahawa Ramadan tidak lama lagi akan tiba dan tanamkan juga keinginan untuk melaluinya dengan lebih baik pada tahun ini.

Hal ini dapat membantu otak dan badan supaya bersedia dan mula mengumpul tenaga serta kekuatan dalaman.

Rancang dengan bijak, pilih sekurang-kurangnya satu atau dua perkara sahaja yang ingin diperbaiki di bulan Ramadan, supaya anda tidak rasa terbeban dengan apa yang ingin dilakukan. Biar sedikit tetapi berterusan.

Contoh yang boleh diambil ialah – jika kita jarang solat jemaah di surau atau masjid, maka jadikan Ramadan tempoh latihan untuk mula konsisten berjemaah di masjid. Jika jarang membaca Al-Quran, jadikan ia pemula untuk lebih mendekati dan mengenal Al-Quran. Jika jarang bersedekah, semoga hadirnya Ramadan dapat meringankan pemberian.

Hingga di akhirnya, kita lulus daripada madrasah Ramadan dengan hati yang lapang, puas, jauh sekali menyalahkan diri sendiri kerana tidak mencapai target yang banyak.

Semoga apabila tiba di penghujungnya, kita menjadi seorang yang lebih dekat dengan Tuhan.

Sesungguhnya amalan yang lebih disukai ialah suatu yang sedikit tetapi berterusan dilakukan.




No comments:

Powered by Blogger.