Ads Top

Siti Nurhaliza Ingatkan Selebriti Jangan Lari Dari Bayar Cukai

Penyanyi No.1 negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengingatkan rakan-rakan selebriti agar tidak culas membayar cukai pendapatan tahunan.

Menurut Siti, ia adalah tanggungjawab yang perlu dilunaskan dan golongan selebriti harus sentiasa diingatkan oleh individu di sekeliling mereka agar tidak terlepas pandang untuk membayar cukai.

“Bagi saya senang sahaja, apa-apa masalah atau persoalan yang tidak difahami kita boleh berkomunikasi secara terus dengan pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Saya juga percaya ada di kalangan selebriti yang mungkin terlepas pandang untuk jalankan tanggungjawab disebabkan komitmen kerja yang sibuk.

“Disebabkan itu, golongan selebriti lebih-lebih lagi buat artis baharu, mereka harus ada individu yang perlu sentiasa mengingatkan untuk menjalankan kewajipan tersebut. Yang penting, jangan lari dan pergi sahaja ke pejabat mereka atau buat sahaja melalui online.

“Saya pun ada pernah terlepas pandang, tapi saya beruntung kerana individu di sekeliling sentiasa mengingatkan kewajipan untuk membayar cukai,” kata Siti kepada KopiPlanet.com sewaktu ditemui pada majlis pelancaran koleksi raya Creacion dan kosmetik SimpySiti Red Collections yang diadakan di Kuala Lumpur, semalam.

Selain itu, Siti turut menasihatkan agar mana-mana selebriti yang mungkin berhadapan masalah seperti disenarai hitamkan agar segera bertemu empat mata dengan pegawai LHDN agar perkara itu dapat diselesaikan sebaik mungkin.

“Saya tak boleh nak komen mengenai kes orang lain sebab kita tak tahu apa masalah yang dihadapi mereka cuma apa yang saya boleh cakap membayar cukai adalah suatu kewajipan dan kita memang tidak boleh lari.

“Berbincanglah hati ke hati dengan pihak LHDN kerana setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya,” kata Siti lagi.

Sebelum ini, pelakon Datin Diana meluahkan rasa tidak puas hati di akaun Instagramnya terhadap tindakn LHDN yang didakwa mengenakan sekatan ke luar neara akibat mempunyai tunggakan cukai pendapatan yang dianggarkan sebanyak RM350,000.

Isteri kepada Datuk Farid Kamil itu mendakwa LHDN tidak berhak memintanya membayar tunggakan cukai pendapatan itu sehingga agensi terbabit membayar lebihan cukai miliknya sebanyak RM100,000 yang telah dituntut oleh Diana sejak setahun lalu. – KopiPlanet.com

No comments:

Powered by Blogger.