Ads Top

Rahsia Menjadi Sabar Hanya Dengan Melakukan 2 Perkara Ini

Seringkali kita mendengar kata-kata bahawa – ‘bukan mudah untuk bersabar’. Namun pernahkah kita terfikir bahawa selain usaha daripada diri kita sendiri untuk bertahan dalam setiap ujian, bukankah sabar itu sebenarnya adalah kurniaan dan pemberian yang datang daripada Allah?

Ia bukan berasal daripada diri kita sebenarnya. Ia adalah rasa yang dicampakkan Allah ke dalam hati kita.

Dan rahsia yang paling mudah bagaimana kita boleh mendapatkan sesuatu adalah dengan meminta sendiri kepada Dia Yang Maha Kaya Memberi. Kata orang jika mahukan sesuatu, mintalah kepada Allah secara jelas dan spesifik. Hal ini termasuklah dalam hal sabar yang tidak berupa dan tidak berbentuk ini.

Hal ini ada disebutkan juga dalam hadis di bawah.

وعن أبي سعيد سعد بن مالك بن سنان الخدري رضي الله عنهما‏:‏ ‏”‏أن ناساً من الأنصار سألوا رسول الله صلى الله عليه وسلم فأعطاهم، ثم سألوه فأعطاهم ، حتى نفد ما عنده، فقال لهم حين أنفق كل شيء بيده ‏:‏ ‏”‏ما يكن عندي من خير فلن أدخره عنكم ، ومن يستعفف يعفه الله، ومن يستغن يغنه الله، ومن يتصبر يصبره الله‏.‏ وما أعطي أحد عطاءً خيراً وأوسع من الصبر‏”‏ ‏(‏‏(‏متفق عليه‏)‏‏)‏ ‏

Dari Abu Said iaitu Sa’ad bin Malik bin Sinan al-Khudri R.anhuma bahawasanya ada beberapa orang dari kaum Anshar meminta – sedekah – kepada Rasulullah SAW, lalu beliau memberikan sesuatu pada mereka itu, kemudian mereka meminta lagi dan beliau pun memberinya pula sehingga habislah harta yang ada di sisinya, kemudian setelah habis membelanjakan segala sesuatu dengan tangannya itu beliau bersabda:

“Apa saja kebaikan – yakni harta – yang ada di sisiku, maka tidak sekali-kali akan ku simpan sehingga tidak ku berikan padamu semua, tetapi oleh sebab sudah habis, maka tidak ada yang dapat diberikan. Barangsiapa yang menjaga diri – dari meminta-minta pada orang lain, maka akan diberi rezeki kepuasan oleh Allah dan barangsiapa yang merasa dirinya cukup maka akan diberi kekayaan oleh Allah – kaya hati dan jiwa – dan barangsiapa yang berlaku sabar maka akan dikurnia kesabaran oleh Allah. Tiada seorangpun yang dikurniai suatu pemberian yang lebih baik serta lebih luas – kegunaannya – daripada kurnia kesabaran itu.” (Muttafaq ‘alaih)

Jika diteliti perkataan يتصبر dalam hadis di atas, ia membawa makna yang cukup dalam dan besar iaitu – orang yang berusaha dengan sesungguhnya untuk sabar.

Mereka benar-benar menginginkan sabar. Mereka berusaha untuk bertahan dengan cabaran dan berdoa kepada Allah supaya menjadi seorang yang sabar. Maka Allah akan mengurniakan kepada mereka kemampuan untuk bersabar seperti yang disebutkan dalam hadis di atas.

Maka kunci kedua adalah keinginan yang tinggi untuk menjadi seorang yang sabar. Dan keinginan ini boleh dimanifestasikan melalui pelbagai cara seperti berdoa bersungguh-sungguh untuk menjadi sabar, mencari ilmu tentang manfaat dan kelebihan sabar yang banyak diceritakan dalam hadis-hadis, membaca kisah-kisah kesabaran dalam Al-Quran yang dilalui oleh Nabi-Nabi dan Rasul serta mengingatkan diri sendiri tentang sabar setiap kali berhadapan situasi yang menguji. Percayalah, di akhirnya, tanpa disedari ‘sifat sabar’ akhirnya menjadi pakaian bagi diri.

Lihat juga: IluvUAllah




No comments:

Powered by Blogger.