Ads Top

Penceraian Dalam Islam Dan Hukum-Hukumnya

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir)
(Surah Ar-Rum, 30:21)

Antara bukti kekuasaan Allah ialah, setiap yang berada di muka bumi ini dicipta secara berpasang-pasangan, iaitu malam pasangannya siang, mati pasangannya hidup dan lelaki pasangannya perempuan, iaitu sebagai suami dan isteri.

Walau bagaimapun, kita sering dikejutkan dengan berita-berita penceraian oleh orang sekeliling kita tidak kiralah sama ada muslim atau tidak.

Jabatan Kehakiman Syariah telah mencatatkan angka sebanyak 92 678 kes penceraian yang berlaku dalam masa tiga tahun lalu di Malaysia, iaitu antara 2012-2014 sekaligus mencatatkan angka tertinggi dalam isu penceraian ini. Itu adalah angka bagi 5 tahun yang lalu, penulis menjangkakan angka itu kini telah meningkat dengan lebih banyak.

Sebenarnya bolehkah sesebuah penceraian itu berlaku? Kita sering mendengar bahawa antara benda yang halal dilakukan namun dibenci oleh Allah ialah penceraian. Ini bermaksud ia merupakan jalan terakhir dalam sesebuah rumahtangga. Ini telah diceritakan dalam sebuah riwayat oleh Ibnu Umar RA yang berbunyi:

أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى الطَّلَاقُ

Maksud: Halal yang paling dibenci Allah adalah Talaq. (Hadis Riwayat Abu Daud)

Cerai bermaksud pembubaran hubungan suami isteri daripada ikatan pernikahan atau perkahwinan yang sah menurut syariat Islam. Talak akan menjadi sah jika dilafazkan oleh suami yang waras fikirannya dan tanpa paksaan sesiapa.

Dalam al-Quran, Allah telah menerangkan dengan jelas berkaitan penceraian melalui surah al-Baqarah pada ayat 227- 232.

وَإِنْ عَزَمُوا الطَّلَاقَ فَإِنَّ اللَّـهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Dan jika mereka berazam hendak menjatuhkan talak (menceraikan isteri), maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
(Surah Al-Baqarah, 2:227)

Islam tidak hanya terbatas kepada ibadah, fikah, muamalat malah Islam juga menceritakan dan menetapkan mengenai hukum-hukum bersosialisasi seperti hak terhadap jiran, adab dengan rakan sekerja dan juga isu penceraian.

Oleh itu, penceraian tidak boleh dilakukan sesuka hati, begitu juga dengan perkahwinan. Setiap yang kita ingin lakukan perlu berlandaskan ilmu, bukannya nafsu semata-mata.

Rukun Cerai

Terdapat tiga rukun cerai, iaitu suami, isteri dan lafaz talak.

#1 – Suami

Seseorang suami yang melafazkan talak perlulah di atas kemahuannya sendiri dan bukan di atas paksaan orang lain. Suami itu juga perlu berakal dan baligh. Jika tidak waras, maka talaknya tidak sah.

#2 – Isteri

Perempuan yang diceraikan mestilah isterinya sendiri yang telah dilafazkan akad nikah. Tidak sah hukumnya melafazkan talak kepada isteri orang lain.

#3 – Lafaz Talak

Lafaz talak yang diucapkan akan menjadi sah apabila ia diucapkan secara jelas. lafaz talak ada dua jenis, iaitu talak sharih dan talak kinayah

Talak sharih diucapkan secara jelas dan eksplisit oleh suami sehingga jatuhnya hukum talak. Sebagai contoh, “aku ceraikan kamu dengan talak satu” atau “aku ceraikan kamu.”

Manakala, talak kinayah ialah lafaz yang diucapkan secara tidak langsung tetapi mengandungi makna tersirat penceraian. Sebagai contoh, “pulanglah kamu ke rumah orang tuamu” atau “jika kamu keluar dari rumah ini, maka jatuh talak.” Jika talak tersebut ditulis melalui SMS atau aplikasi WhatsApp, ia juga termasuk dalam kategori ini.

Jenis Cerai

Terdapat lima jenis cerai yang telah dijelaskan di dalam Islam. Antaranya ialah cerai talak, cerai ta’liq, cerai khulu’, cerai fasakh dan cerai li’an.

#1 – Cerai Talak

Cerai talak merupakan uacapan talak yang telah diucapkan oleh si suami terhadap isterinya sama ada melalui lafaz talak sharih atau kinayah.

#2 – Cerai Ta’liq

Ta’liq merupakan lafaz atau perjanjian yang telah dibuat oleh si suami terhadap isterinya selepas akad nikah. Maka, jika suaminya melanggar ta’liq tersebut, jatuh talaknya. Lafaz ta’liq ini tidak wajib dilakukan namun boleh diterima pakai dalam Islam. Antara contoh lafaz ta’liq ialah:

“Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya (nama isteri) selama empat bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh yang tersebut pada hal ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada mahkamah syariah, dan apabila sabit aduannya di sisi mahkamah syariah, dan ia memberi kepada Mahkamah Syariah, yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak ia dengan cara talak khulu’.”

#3 – Cerai Khulu’

Cerai khulu’ ialah penawaran cerai oleh isteri untuk melepaskan ikatan perkahwinan. Si isteri perlu memberikan wang kepada suami sebagai pampasan terhadap penceraian tersebut. Penceraian ini berlaku apabila isteri merana dalam perkahwinannya atau merasakan perkahwinannya tidak dapat diselamatkan lagi.

Cerai ini termasuk dalam kategori talak ba’in sugho, iaitu isteri tidak boleh dirujuk walaupun dalam tempoh iddahnya. Jika ingin bersama semula, maka si suami perlu melamarnya semula dan menikahinya selepas tempoh iddah.

#4 – Cerai Fasakh

Cerai ini merupakan pembubaran perkahwinan yang telah diberi kuasa terhadap hakim apabila isteri dan suami bersetuju untuk bercerai jika merasakan perkahwinannya tidak dapat diselamatkan lagi.

Ia boleh berlaku apabila hakim memutuskan untuk memfasakhkan perkahwinan dengan alasan yang boleh memudaratkan pihak-pihak dalam perkahwinan tersebut dan ia tidak dapat diselamatkan lagi. Sebagai contoh, suami tidak memberi nafkah zahir dan batin selama empat bulan berturut-turut atau terdapat perlakuan buruk oleh suami seperti penganiayaan, penghinaan dan tindakan-tindakan lain yang boleh memudaratkan isterinya.

#5 – Cerai Li’an

Cerai ini berlaku apabila si suami tidak mengaku anak yang dikandungkan isterinya adalah miliknya atau menuduh isterinya berzina dengan lelaki lain tanpa dapat mengemukakan empat orang saksi.

Si suami perlu bersumpah dengan sumpah li’an sebanyak empat kali dan untuk kali kelima dia mengatakan bersedia untuk menerima laknat Allah jika dia berbohong. Manakala, isteri boleh membela dirinya sendiri jika mengaku tidak melakukan zina atau anak yang dikandung dan dilahirkan adalah milik mereka berdua dengan empat kali sumpah dan untuk kali kelima si isteri perlu mengatakan bersedia menerima laknat Allah jika dia berbohong.

Hukum Penceraian

Terdapat lima hukum penceraian yang perlu ditimbang-tara sebelum memutuskan sesebuah ikatan perkahwinan, iaitu wajib, sunat, makruh, mubah dan haram.

#1 – Wajib

Hukum penceraian boleh menjadi wajib apabila perkahwinan tersebut tidak dapat diselamatkan lagi. Jika ia diteruskan maka diyakini boleh membawa mudarat terhadap sesebuah pihak sama ada isteri atau suami atau keluarga masing-masing.

#2 – Sunat

Hukum sunat apabila si suami tidak dapat menanggung kemahuan isterinya sendiri atau isteri itu tidak menjaga maruah dan martabat diri sendiri dan suami.

#3 – Makruh

Makruh sesebuah penceraian apabila melepaskan isteri yang baik perangai dan pengetahuan agamanya, tidak bermasalah dan berakhlak mulia. Si suami melepaskan isteri tanpa alasan yang kukuh sedangkan perkahwinannya masih boleh diselamatkan.

#4 – Mubah

Mubah atau harus sesebuah perkawinan dibubarkan apabila terjadi beberapa perkara tertentu. Sebagai contoh, si suami sudah tidak memiliki nafsu terhadap perkahwinannya atau keadaan si isteri yang belum haid atau sudah putus haidnya.

#5 – Haram

Hukum penceraian menjadi haram apabila lafaz penceraian berlaku semasa isteri dalam haid atau nifas. Haram juga diceraikan untuk melarangnya daripada menuntut harta yang ada.

Kesimpulan

Sesebuah perkahwinan itu biasanya berlaku apabila adanya kasih sayang antara lelaki dan perempuan serta restu oleh kedua-dua belah pihak. Begitu juga penceraian. Ia perlu berlaku dengan alasan yang kukuh, bukan dengan sebab dan alasan yang tidak munasabah kerana perkahwinan merupakan sebuah perkara yang diredhai Allah dan penceraian pula merupakan sebuah perkara yang dibenci Allah.

وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa)
(Surah al-Furqan, 25:74)

Penulisan ini sekadar berkongsi beberapa perkara asas mengenai perkahwinan dan penceraian. Jika terdapat sebarang permasalahan yang lebih rumit, ia perlu dirujuk kepada Jabatan Kehakiman Syariah atau mana-mana pihak yang lebih mengetahui mengenai hukum dan undang-undang perkahwinan yang berfungsi di Malaysia.

Mufti Wilayah




No comments:

Powered by Blogger.