Ads Top

Adakah Dakwah Hanya Kerja Ustaz?

Apa jawapan kita apabila ditanya mengenai kerja dakwah? Siapa yang layak untuk melakukan kerja dakwah? Adakah golongan ustaz dan ustazah? Adakah dakwah ini hanya para nabi dan para rasul sahaja yang melakukannya?

Oleh sebab itu, penulis cuba berkongsi dan menulis artikel ringkas ini. Semoga dapat membuka mata kita mengenai makna dakwah yang sebenarnya. Istilah dakwah yang mungkin disalah tafsir dapat diperbetulkan semula. Insha Allah.

Apa Itu Dakwah?

Dakwah dari segi bahasa bermaksud mengajak. Menurut istilah pula, ada beberapa pengertian yang telah dibawa dan dikemukakan oleh para ulama. Antaranya:

1. Menurut Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah

Dakwah kepada Allah ialah mengajak untuk beriman kepada-Nya, berdasarkan apa yang telah dibawa oleh RasulNya, iaitu dengan membenarkan apa yang dikhabarkan oleh mereka serta mentaatinya. (Majmu’ al-Fatawa, jilid 15, halaman 157)

2. Dr. al-Sayyid Muhammad al-Wakil

Dakwah kepada Allah bermaksud menghimpunkan manusia pada kebaikan serta menunjukkan jalan kebenaran kepada mereka iaitu melaksanakan amar makruf nahi mungkar.

3. Syeikh Fathi Yakan

Dakwah adalah perbuatan meruntuhkan dan membina semula. Maksudnya ialah meruntuhkan segala bentuk jahiliah sama ada yang melibatkan pemikiran, akhlak, sistem dan sebagainya. Selepas itu dibina masyarakat Islam atas dasar dan acuan Islam sama ada dari segi luaran mahupun dalaman, juga dalam sistem perundangan dan cara hidup. (Al-Islam; Fikrah-Harakah-Inqilab, halaman 39)

Kesimpulan yang boleh diambil, dakwah adalah mengajak kepada jalan kebaikan dan juga usaha membina dan membentuk masyarakat ke arah Islam dalam mewujudkan pengabdian diri hanya kepada Allah swt.

Dakwah Hanya Kerja Ustaz?

Ada sesetengah daripada kita yang tidak yakin untuk melaksanakan kerja dakwah. Alasan dan hujahnya adalah tidak cukup ilmu, tidak layak, bukan dari keluarga yang beragama, tidak berserban dan pelbagai lagi.

Adakah dakwah syaratnya begitu? Perlu berserban dan berjubah putih? Mesti dari ahli keluarga yang beragama? Maksud dakwah telah disebut di atas adalah mengajak.

Mengajak kepada kebaikan adalah kerja kita bersama. Ia tidak khusus kepada para ustaz, ustazah, ulama dan guru sahaja.

Kita semua berkemampuan untuk melakukan dakwah. Dakwah itu tidak semestinya harus berilmu tinggi. Tetapi tidak dinafikan ilmu juga perlu ada dalam berdakwah. Mudah faham, mengikut kemampuan masing-masing.

Kita semua ada kemahiran dan kelebihan tersendiri. Gunakan kelebihan dan kemahiran yang ada ke jalan yang betul.

Berdakwah tidak bermakna kita mesti berceramah di masjid dan di surau. Berdakwah juga bukan bermakna kita harus ada gelaran ustaz atau ustazah. Orang biasa, orang awam, pekerja, boss dan siapa pun juga status dan jawatan layak untuk berdakwah.

Apa yang penting kita mempunyai pengetahuan yang benar dan sahih. Sebarkan dakwah dengan cara yang betul dan jangan sampai mengaibkan diri dan agama Islam. Jangan lemah dalam berdakwah kerana ujian itu pasti menjelma. Ujian itu adalah lukisan kehidupan kita yang perlu dihadapi.

Ini Juga Kerja Dakwah!

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”Surah Ali Imran 3:104

Disenaraikan beberapa perkara yang juga boleh dikategorikan sebagai kerja dakwah. Semoga dapat memberi semangat kepada kita bersama dalam melakukan kerja dakwah.

#1- Berkongsi Status Kebaikan Di Media Sosial

Setiap daripada kita mesti mempunyai akaun Facebook sekurang-kurangnya. Apa kata kita menulis status yang membawa ke jalan kebaikan. Contohnya:

“Jom solat Maghrib.”

“Jika berkelapangan marilah bersama-sama kita berpuasa sunat hari Isnin pada esok hari.”

Sekiranya kita tidak mampu menulis kata-kata dakwah di media sosial, kita boleh juga berkongsi status daripada orang lain yang yang mengajak kepada kebaikan.

Misalnya, hari ini kita dimudahkan dengan adanya facebook Mufti Wilayah Persekutuan yang banyak menghuraikan dan merungkai masalah dalam Islam. Kerja kita share apabila kita yakin ia adalah sahih. Mudah bukan?

#2- Memberi Hadiah Buku Dan Majalah Ilmiah

Sekiranya kita mempunyai buku atau majalah yang tidak digunakan atau berlebihan di rumah bolehlah diberikan hadiah kepada sesiapa yang memerlukan.

Jika ada duit lebih belilah majalah berbentuk ilmu dan keagamaan. Berikan kepada rakan-rakan kita atau kepada sesiapa sahaja yang dapat memperoleh manfaatnya.

#3- Berdakwah Dalam Bentuk Akhlak Yang Baik

Inilah dakwah yang paling berkesan dan tidak memerlukan wang ringgit. Akhlak yang baik akan membawa kepada suasana yang harmoni dan sejahtera.

Terkenang semula di zaman Rasulullah S.A.W, ada yang memeluk Islam kerana akhlak mulia dan keperibadian Rasulullah saw yang baik.

Kesimpulan

Setiap manusia mempunyai tanggungjawab masing-masing. Dakwah juga adalah tanggungjawab kita bersama. Jangan dibiarkan kemungkaran di depan mata bermaharajelala. Cegahlah mengikut kemampuan kita.

Jangan melepaskan diri dan meninggalkan kerja dakwah. Jika ada sedikit ilmu, sebarlah ia mengikut acuannya. Selain itu, tambahkan ilmu dari semasa ke semasa semoga kita lebih bersedia di hari kemudian.

Rujukan:
1. Dakwah Untuk Semua
2. Dakwah Kerja Ustaz Atau Ummah




No comments:

Powered by Blogger.