Ads Top

Hiburan Dalam Majlis Walimatul Urus?

أَوْلِمْ وَلَوْ بِشَاةٍ

Laksanakanlah walimah walau hanya dengan seekor kambing

Hadis Riwayat al-Bukhari

Begitu bunyi hadis tentang anjuran untuk meraikan pasangan yang baru sahaja mengikat ikatan pernikahan.

Perkataan walimah berasal daripada Bahasa Arab, iaitu walmun yang bermaksud berhimpun, manakala walimatul urus bermaksud pengumuman melalui sesebuah majlis untuk pernikahan yang telah menghalalkan sesebuah hubungan, iaitu suami isteri.

Tujuan walimatul urus adalah untuk menyebarkan kepada semua orang bahawa pasangan suami isteri telah selamat disatukan dalam ikatan yang halal. Ia juga bertujuan untuk mengelakkan fitnah jika berlakunya sesuatu yang tidak diingini.

Hukum melakukan walimatul urus ini ialah sunnah berdasarkan Imam Ahmad yang telah menyebut melalui hadis nabi yang berbunyi:

بَنَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِامْرَأَةٍ فَأَرْسَلَنِي فَدَعَوْتُ رِجَالًا إِلَى الطَّعَامِ

Ketika Rasulullah SAW menikahi seorang perempuan, beliau meminta aku supaya mengundang beberapa orang (lelaki) untuk makan.

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Maka, tidak salah untuk melakukan walimatul urus bagi sesebuah perkahwinan malah ia adalah dianjurkan. Namun, ia perlu mengikut syariat yang telah ditetapkan dan tidak boleh berlebihan sehingga melampaui batas dan terjadinya pembaziran. Hal ini telah diterangkan melalui firman Allah dalam kalam-Nya yang berbunyi:

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ

Mafhum: Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampaui; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.

(Surah al-A’raf, 7:31)

Sesebuah perkahwinan dan walimatul urus perlu mengikut syariat Islam, iaitu dilakukan secara bersederhana dan mengelakkan daripada adanya unsur-unsur maksiat serta hiburan yang melampaui batas.

Hiburan Dalam Walimatul Urus

Fenomena penganjuran sesebuah majlis perkahwinan dan walimatul urus dengan memasukkan unsur-unsur hiburan seperti muzik, tarian, kompang dan sebagainya bukan lagi suatu yang pelik dalam masyarakat mana pun.

Persoalannya, adakah ia dibolehkan dan apa hukumnya?

Berdasarkan firman Allah melalui kitab-Nya yang berbunyi:

وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللَّـهِ يُكْفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلَا تَقْعُدُوا مَعَهُمْ حَتَّىٰ يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ ۚ إِنَّكُمْ إِذًا مِّثْلُهُمْ ۗ إِنَّ اللَّـهَ جَامِعُ الْمُنَافِقِينَ وَالْكَافِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا

Mafhum: Dan sesungguhnya Allah telah pun menurunkan kepada kamu (perintah-Nya) di dalam kitab (al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik dan orang kafir di dalam neraka Jahannam.

(Surah an-Nisa’, 4:140)

Melalui sabda Nabi Muhamad SAW juga ada menyebut:

نَهَى رسُولُ الله صلَّى الله عليه وسَلَّم عَنِ الجُلُوسِ عَلَى مَائِدَةٍ يُشربُ عَلَيهَا الخَمْرُ

Maksud: Rasulullah SAW melarang duduk pada hidangan yang diminum arak di dalamnya.

Menurut Syeikh Rahimahullah, hadis ini jelas membuktikan bahawa sesuatu majlis yang dicampuri maksiat dan kebatilan perlulah dijauhi.

Berdasarkan kalam Allah di atas juga jelas membuktikan bahawa haram hukumnya sesebuah majlis yang baik-baik dicemari dengan kebatilan. Maka, sebagai penganjur, perlulah mengelakkan majlis tersebut daripada adanya unsur-unsur sedemikian.

Namun, jika sesebuah perkahwinan sunyi sepi tanpa muzik dan paluan kompang, maka tidak meriahlah sesebuah hari bersejarah buat sang mempelai. Oleh itu, dibolehkan untuk memainkan muzik seperti paluan kompang dan rebana mengikut adat masing-masing tetapi perlulah mengikut syariat. Hal ini ada dinyatakan melalui sebuah hadis nabi yang bermaksud:

“Umumkanlah perkahwinan dan selenggarakanlah di masjid dan dipukullah gendang dan rebana di hari perkahwinan itu.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Walau bagaimanapun, jika sesebuah hiburan itu melampaui batas seperti ada alunan nyanyian oleh perempuan, ada tarian yang tidak mengikut syarak dan banyak lagi perkara yang boleh melanggar hukum syarak, maka haram hukumnya. Pakaian yang tabarruj dan menampakkan aurat juga perlu dielakkan dalam sesebuah majlis.

Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

“Dan katakanlah kepada perempan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka …”

(Surah an-Nur, 24:31)

Hukum Menghadiri Walimatul Urus

Hukum asal menghadiri sesebuah walimatul urus yang dijemput adalah wajib. Ini berdasarkan hadis nabi yang berbunyi:

إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَى وَلِيمَةِ عُرْسٍ فَلْيُجِبْ

Maksud: “Apabila seseorang di antara kamu diundang ke majlis kenduri perkahwinan (walimatul urus), hendaklah dia menghadirinya.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Namun, jika berlakunya keuzuran, maka seseorang itu dibolehkan untuk tidak memenuhi jemputan tersebut, tetapi seeloknya, perlulah memaklumkan kepada pihak yang menjemput, bimbang jika pihak sana menunggu-nunggu.

Jika seseorang itu berpuasa, maka terpulang juga kepada insan tersebut untuk memenuhi undangan tanpa menjamu hidangan yang ada atau dibolehkan tidak menghadiri jemputan tersebut.

Ini adalah berdasarkan hadis nabi yang berbunyi:

ذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَى طَعَامٍ فَلْيُجِبْ فَإِنْ شَاءَ طَعِمَ وَإِنْ شَاءَ تَرَكَ

Maksud: “Apabila salah seorang di antara kamu diundang ke majlis makan, maka hendaklah dia menghadirinya. Jika mahu, dia boleh makan, jika tidak mahu, dia boleh untuk meninggalkannya (tidak makan).”

(Hadis Riwayat Ahmad)

Jika sesebuah majlis tersebut terkandung perkara-perkara yang haram, maka perlulah dielakkan. Ini berdasarkan firman Allah yang berbunyi:

وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ

Mafhum: Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.

(Surah al-Mu’minun, 23:3)

Doa Kepada Pengantin

Saat menghadiri sesebuah majlis perkahwinan, sunat untuk mengucapkan kata-kata baik seperti ‘tahniah’ disertai doa seperti di bawah.

بَارَكَ اللَّهُ لَكَ، وَبَارَكَ عَلَيْكَ، وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي خَيْرٍ

Maksud: “Semoga Allah melimpahkan keberkahan kepadamu dan keberkahan ke atas pernikahanmu, serta mengumpulkan kalian berdua dalam kebaikan.”

(Hadis Riwayat Ahmad, Abu Dawud, at-Tirmizi, An-Nasai dan Ibnu Majah)

Natijahnya, bersikaplah prihatin dalam mengurus dan merancang majlis perkahwinan. Agama tidak melarang kita untuk bergembira, namun perlulah diambil kira juga soal keberkatan, soal hukum dan juga pandangan orang ramai. Elakkan sesuatu yang boleh mengundang fitnah. Semoga, setiap perkara yang dilakukan dari awal perkahwinan sehingga akhir hayat diberkati Allah.

Mufti Wilayah




No comments:

Powered by Blogger.