Hati Itu Sifatnya Berbolak-Balik
Sifat hati adalah berbolak-balik. Kadang ke kiri dan kadang ke kanan. Ada kala menuju kebaikan dan ada kala menyukai keburukan. Itulah hakikat hati.
Hati perlu diberikan perhatian selalu. Hati perlu dipelihara dan dijaga. Jangan dibiar usang menjadi lubuk dosa. Bersarang kegelapan dan merosakkan keimanan.
“(Mereka berdoa dengan berkata): ‘Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.'”Surah Ali-Imran 3:8
Jadikan Hati Sentiasa Bersangka Baik
“Sesiapa yang mahu dilayan baik, maka hendaklah dia bersangka baik dengan orang.”Imam Syafie
Hati harus ada beberapa nilai kebaikan, salah satunya adalah nilai bersangka baik kepada orang lain. Jangan mudah memandang serong dan bersangka buruk kepada mereka. Bersangka buruk menyebabkan hati tidak tenang. Terasa resah dan menjadi lemah.
Belajar untuk bersangka baik kerana ia akan menyebabkan kehidupan kita lebih baik dan teratur. Hati akan menjadi tenang tatkala sangka baik menjadi satu kebiasaan.
“Tidak halal seorang Muslim yang mendengar suatu perkataan daripada saudaranya, lalu dia terus bersangka buruk dengannya sedangkan dia mampu mengandaikan sesuatu maksud yang baik sebagai jalan keluar.”Umar Al-Khattab
Lihatlah orang lain lebih baik daripada diri kita. Hal ini dapat menjaga hati dari dihinggap penyakit hati seperti dengki, sombong, riyak dan sifat-sifat mazmumah yang lain.
Hati Juga Perlukan Makanan
Kita sering menitikberatkan makanan dari segi jasmani. Namun makanan rohani pula bagaimana? Rohani kita juga turut memerlukan makanan yang cukup. Jangan dibiarkan berlapar dan tidak terisi.
Makanan kepada jasmani, kita semua sudah tahu. Malah, tiap-tiap hari bermacam jenis makanan yang disediakan dan cukup lengkap untuk jasmani kita.
Apa kata kita seiringkan juga makanan untuk rohani kita. Supaya hati kita lebih kuat dan berkualiti. Antara makanan untuk rohani kita adalah:
#1- Membaca al-Quran
#2- Berzikir
#3- Berpuasa sunat
#4- Berselawat
#5- Bersedekah
#6- Berbakti kepada kedua ibu bapa
#7- Memelihara anak yatim
#8- Membantu orang miskin
Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Dan Kami telah menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka; dan Kami jadikan padanya celah-celah sebagai jalan-jalan lalu-lalang, supaya mereka dapat sampai kepada mencapai keperluan rohani dan jasmani.”Surah Al-Anbiya’ 21:31
Hati juga perlukan kekuatan. Jangan hanya menfokuskan kepada kekuatan jasmani semata. Rohani dan jasmani saling berkait dan tidak boleh hanya salah satu sahaja yang ada kekuatan.
Hati Jangan Sombong!
Jangan mengikut sifat Iblis yang sombong dan tidak mahu untuk sujud kepada Nabi Adam A.S. Perintah tersebut adalah perintah dari Allah S.W.T, namun kerana ada sifat sombong pada Iblis, dia ingkar.
Sombong hanya menyebabkan diri kita di dalam kerugian. Tidak ada apa yang patut kita banggakan kerana semua yang kita ada adalah milik Allah S.W.T. Semuanya hanya pinjaman. Ia akan ditinggalkan juga pada suatu hari nanti. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Sebenarnya, bahawa Allah mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan; sesungguhnya Ia tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur.”Surah An-Nahl 16:23
Sifat sombong bukan sifat yang layak untuk kita yang berstatus hamba kepada Allah S.W.T. Bersihkan hati dari sifat sombong kerana ia dapat merosakkan segala kebaikan. Rugi sahaja kebaikan dibuat tetapi terselit dengan secebis kesombongan.
Kesimpulan
Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
“Tuhan kamu lebih mengetahui akan apa yang ada pada hati kamu; kalaulah kamu orang-orang yang bertujuan baik mematuhi perintahNya, maka sesungguhnya dia adalah Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat.”Surah Al-Isra’ 17:25
Jangan biarkan hati terus mati dan gelap. Sinarilah ia dengan cahaya keimanan. Cucilah dengan kalimah zikir dan alunan al-Quran.
Semoga hati kita semua ditetapkan dalam Islam dan iman. Amin. Hati yang suci menghadirkan ketenangan walau dalam kesusahan. Waallahua’lam.
Rujukan:
1. Al-Quran Terjemahan
2. Sekalipun Benar Dia Pendosa (Penulis: Ustaz Muhammad Luqman Makhtar)
No comments: