Ads Top

Estranged Bantu Kampung Pedalaman Di Sabah Dapatkan Bekalan Hidroelektrik

Kumpulan Estranged mengambil inisiatif dengan menjalankan kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR), Jelajah Misi Elektrik Borneo bagi membekalkan elektrik kepada penduduk-penduduk di kawasan pedalaman Sabah.

Menurut vokalisnya, Rich, selain mahu dikenali sebagai sebuah kumpulan muzik, Estranged turut mahu dikenali sebagai selebriti yang mahu membantu masyarakat di luar sana.

“Menerusi kempen yang kami jalankan sejak hujung tahun 2017, setakat ini sebanyak dua buah kampung di Ranau, Sabah sudah mendapat kemudahan hidroelektrik.

“Kami mencari dana untuk tujuan ini menerusi penjualan merchandise rasmi Estranged seperti t-shirt, topi, jaket, aksesori yang dijual menerusi atas talian serta kami juga akan buka booth sekiranya terlibat dalam mana-mana persembahan.

“Dari situ, dana dapat dikumpulkan dan memang 100 peratus hasil jualan merchandise itu, kami salurkan kepada kempen kebajikan ini.

“Kami memang tidak membuat keuntungan daripada projek ini sebaliknya memang sudah sampai masa untuk kami berbakti kepada orang lain yang memerlukan.

“Penduduk kampung sebelum ini hanya guna generator untuk dapatkan bekalan elektrik yang mana mereka terpaksa berjalan jauh untuk beli minyak dari pedalaman ke pekan.

“Bila dah sampai di pekan pula, ada pula individu tidak bertanggungjawab jual minyak pada harga yang mahal.

“Itu sebabnya kami terpanggil untuk membantu membina stesen hidroelektrik mereka sendiri bagi memudahkan kehidupan seharian mereka,” kata Rich kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu Estranged di Drum Asia Studio, Kota Damansara semalam.

Single duet berjudul Mau itu merupakan hasil kolaborasi Estranged bersama penyanyi dangdut Indonesia, Jenita Janet. Selain Rich, Estranged yang popular dengan lagu Itu Kamu turut dianggotai Din dan Hanafi.

Setakat ini, kempen tersebut telah berjaya membekalkan elektrik kepada Kampung Koyep, Ranau yang mana ia menelan kos sebanyak RM40,000 pada 2017.

Manakala pada tahun lalu, Kampung Paus, Ranau menerima sumbangan sebanyak RM60,000 daripada kumpulan ini bagi tujun sama.

Sementara itu, Din menjelaskan Estranged tidak mempunyai sebarang agenda untuk memasuki bidang politik. Matlamat mereka melaksanakan program tersebut hanyalah untuk membantu masyarakat luar bandar agar dapat menjalani kehidupan yang lebih mudah dengan adanya stesen hidroelektrik di kampung masing-masing.

“Kami memilih Sabah disebabkan mempunyai kemudahan logistik di sana selain Rich memang anak jati negeri itu yang lebih tahu mana kampung-kampung yang memerlukan bantuan tersebut.

“Kami turut berharap ramai pihak dapat tampil membantu bagi kami merealisasikan kempen ini malah kami mengalu-alukan sukarelawan yang mahu bersama-sama dalam program kebajikan ini,” kata Din. – KopiPlanet.com

No comments:

Powered by Blogger.