Ads Top

Buntu Apabila Isteri Selalu Marah-Marah

Pernah suatu hari saya pergi ke bank. Saya telah bertemu seorang lelaki yabg bekerja di situ. Dia kata pada saya;

“Ustaz, saya hormat dan kenal ustaz. Saya bergaduh dengan isteri dan 3 hari saya tak balik ke rumah. Isteri saya tak hormat saya. Saya tak faham perangai perempuan ni ustaz. Langsung tak faham. Pening kepala saya.”

”Dia sibuk kerja dan urus anak-anak. Dia tak pedulikan saya. Kuat marah jer. Jerit-jerit. Dia asyik menolak jika ajak bersama. Dia macam tak suka untuk bersama. Dia suka minta yang bukan-bukan. Dia kuat merajuk 24 jam dan tak reti urus diri.”

Saya terus mendengar dengan teliti keluhannya;

”Akhirnya dia minta bukan-bukan dan ingin bercerai bila tengah marah. Nak berjumpa perempuan yang baik susah sangat ustaz. Jauh berbeza dengan zaman mak kita dulu-dulu. Kenapa perempuan hari ini tak macam mak kita dulu-dulu.”

Saya diam, dia tanya lagi;

“Kenapa ya ustaz?

Allah sayang abang. Bila sebut wanita saya suka ingat ibu yang tercinta dan bidadari saya. Jika abang nak perkara ini selesai. Cuba fahami apa saya nak katakan ini. Kerana Allah dengarkan yer;

“Wanita hari ini diuji lebih besar dan berat. Suasana hari ini terlampau sibuk sama ada wanita bekerja atau suri rumah sepenuh masa. Keduanya tiada rehat. 24 jam kerja dan urus rumahtangga 24 jam tanpa rehat. Sekolah anak jauh.

Kita sebagai suami kerap tiada di rumah. Sibuk dengan tuntuan kerja mencari rezeki halal dan tanggungjawab luar. Di rumah kita hanya berada seketika tetapi macam terpisah sebab masing-masing sibuk kerja dengan telefon di tangan masing-masing atau menonton hiburan di kaca telefisyen.

Isteri kita tidak sempat uruskan dirinya pun. Isteri kita pergi ke tandas pun berlari-lari tengok anak. Kemas rumah 10 kali sehari. Anak sepahkan lagi. Kekangan di tempat kerja lagi.

Tiada istilah tidur dengan sempurna. Tidak ada makan dengan sempurna. Tidak ada berjalan dengan sempurna. Mereka cuma hidup buat suami dan anak-anak kerana Allah.

Kita tidak faham mereka sebab itu mereka tidak hormati kepada kita. Kita nak mereka layan kita. Kenapa tidak kita yang layan mereka. Cari kesukaan dan kegembiraan mereka.

Jika mereka salah dan berdosa. Kita ketua keluarga 2 kali salah dan berdosa jika tidak membimbing mereka. Mereka ialah amanah Allah buat kita lelaki.

Mereka tidak minta lebih. Cuma mahukan suami yang mendengar dengan rasa. Bila sudah suka semuanya mereka korbankan. Bila sudah sakit hati semua jadi tidak resah. Hati ini raja, hanya tawan di situ segalanya jadi manis.

Maafkan saya, bila seseorang cuma sebut buruk pasangan itu maknanya kita yang tidak baik. Orang baik selalu nampak dirinya salah. Itulah Islam. Bila kita rasa diri kita betul dan orang lain salah itu tandanya hati kita kena barah.

Bila hati bersih, terasa ini semua salah saya. Bertanyalah pada diri kita, bila masa mereka nak layan atau cantikkan diri? Masa ke tandas pun tidak sempat-sempat. Urus diri pun tiada masa.

Kita bantu dengan memberi mereka rehat dan waktu berjalan. Kita tolong jaga anak-anak, kerana anak-anak itu juga permata kita. Sekali sekala ambil masa keluar berdua.

Kita harap mereka senyum dan sambut kita. Namun kita tidak pernah memberikan kejutan hadiah dan lafazkan kata cinta pada mereka. Kita tak bahagiakan hati mereka dengan nur Al-Quran dan hadis Nabi S.A.W.

Kita tidak bawa mereka ke majlis-majlis ilmu dan belajar iman. Bagaimana mereka nak bahagia dan sentiasa senyum tanpa hati yang tenang. Jaga solat bersama. Buat Ta’lim bersama.

Jaga solat awal waktu berjemaah. Minta pertolongan Allah. Kita perlu bantuannya dalam membimbing isteri dan anak-anak. Malam-malam ada atau tidak kita sebut nama pasangan kita. Menangis doakan keampunan buat mereka. Itu cara bercinta sehidup semati.

Mereka perlukan rehat dan diisikan dengan makanan rohani, itulah ajaran Islam yang sebenar.

Saya lihat abang tadi sebak dan berkata;

“Bagaimana ustaz boleh sebut semua ini dengan banyak.”

Saya berkata;

“Sebab mak saya selalu pesan sayangi wanita dalam hidup ini. Kerana dengan itu kita akan disayangi di langit. Kita disayangi oleh Allah.”

Abang tadi dengan nada sebak berkata;

“Betul kata ustaz. InsyaAllah saya akan berusaha menjadi lebih baik. Saya rasa nak balik sekarang dan menjadi suami yang baik”




No comments:

Powered by Blogger.