Tragedi Christchurch : Kisah Parit Api Moden?
Kita sangat sedih atas pemergian saudara Islam kita yang menjadi mangsa serangan kejam Masjid di Christchurch, New Zealand, tetapi percayalah aturan Allah untuk orang beriman sangat indah.
Semua gerak kerja Allah penuh hikmah dan kita semua sudah menyaksikan sebahagian hikmahnya di New Zealand. Benar firman Allah:
كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ وَهُوَ كُرْهٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya Surah al-Baqarah 2:217
Ketika mengikuti perkembangan gugurnya 50 Muslim dalam serangan Masjid di Christchurch New Zealand, saya segera terlintas kisah ajaib seorang pemuda yang direkodkan sebuah hadith.
Kisah ini diceritakan Rasulullah S.A.W ketika menghuraikan kisah parit api yang menelan korban ribuan orang beriman di tangan seorang raja zalim. Firman Allah yang bermaksud:
Celakalah kaum yang menggali parit, (iaitu parit) api yang penuh dengan bahan bakar. (Mereka dilaknat) ketika duduk di sekelilingnya, sambil melihat apa yang mereka lakukan kepada orang beriman (yang dibakar hidup-hidup). Dan mereka (raja dan konco-konconya) menyiksa orang beriman itu hanya kerana mereka beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji! Surah al-Buruj 85:4-8
Kisah ayat ini berlaku sebelum Rasulullah S.A.W dibangkitkan. Si raja yang kejam memilih pemuda bijaksana untuk mewarisi ilmu sihir milik tukang sihir kesayangannya.
Pemuda itu pula dalam diam bertemu seorang rahib Nasrani dan mendalami dua bidang ilmu iaitu, ilmu sihir si tukang sihir dan ilmu Tawhid bawaan si rahib. Dalam satu peristiwa, laluan penduduk sebuah tempat terhalang oleh seekor haiwan buas. Si pemuda lantas menguji keyakinannya dengan berdoa:
“Ya Allah! Jika ilmu si rahib lebih benar berbanding ilmu si tukang sihir, makan bunuhlah haiwan buas ini dengan lontaran batu ini.”
Si pemuda itu dikurniai karamah seorang wali! Akibat lontarannya haiwan itu mati serta merta dan aksi si pemuda disaksikan ramai orang. Selepas peristiwa itu, dia menjadi tumpuan orang ramai untuk mengubati berbagai penyakit. Rawatannya pun sangat mujarab, banyak sakit kronik sembuh dengan doanya.
Dalam rawatan itulah si pemuda mula menyebarkan ajaran Tawhid. Dijelaskan kepada pesakit bahawa hanya Allah Tuhan Yang Esa yang memberi penyembuhan. Pengikut agama Tawhid pun bertambah saban hari. Akidah dan kegiatan si pemuda akhirnya diketahui raja.
Amarah raja mencanak naik kerana pemuda harapannya sudah menukar agama, lantas si pemuda cuba dibunuhnya sebanyak 2 kali dengan cubaan melemaskannya di laut dan menolaknya di gaung tinggi tapi tetap gagal kerana si pemuda dilindungi Allah.
Pemuda itu memberitahu raja, dia hanya mampu dibunuh jika raja memenuhi 2 syarat; iaitu mengumpulkan seluruh rakyat jelata pada hari hukuman dan raja mesti memanahnya dengan iringan nama Allah. Tanpa lengah, si raja yang gelojoh dan hauskan darah terus bertindak:
بِاسْمِ اللَّهِ رَبِّ الْغُلَامِ
“Dengan nama Allah, Tuhan budak ini!”
Akhirnya pemuda itu mati! Tambah menakjubkan, matinya menjadi sebab hidayah ribuan rakyat jelata negara ituSahih Muslim & Musnad Ahmad
Cubaan si raja untuk menutup agama Allah terhalang kerana kuasa Allah dan kebijaksanaan pemuda itu. Benarlah firman Allah:
يُرِيدُونَ أَنْ يُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَيَأْبَى اللَّهُ إِلَّا أَنْ يُتِمَّ نُورَهُ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ
Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka (usaha berterusan mempropagandakan keburukan Islam), sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang kafir tidak suka (akan yang demikian)Surah al-Tawbah 9:32
Apa yang saya lihat dalam tragedi Christchurch adalah “pancaran ajaib” cahaya hidayah yang dilimpahkan Allah kepada seluruh umat manusia terutama sekali di New Zealand.
Siapa sangka, bencana Islamphobia yang sudah sekian lama meracun pemikiran bukan Islam dibenam Allah dengan peristiwa itu. Hebat sungguh kuasa Allah.
Jika tragedi ini tidak berlaku, mana mungkin ribuan rakyat New Zealand termasuk Perdana Menterinya sanggup duduk mendengar laungan azan, menghayati lantunan khutbah dan menyaksikan solat Jumaat dengan santun dan hormat? Laporan tidak rasmi juga menyatakan ramai memeluk Islam selepas peristiwa itu.
Selain itu, tragedi ini juga memberi peluang kepada ahli keluarga yang tinggal menunjukkan keindahan akhlak Islam yang sejati. Pendek kata, yang pergi ada jasanya dan yang tinggal pun sangat tinggi jasanya. Benarlah sabda Rasulullah S.A.W:
عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
Menakjubkan sekali urusan orang beriman. Semua urusannya membawa kepada kebaikan dan ia tidak akan berlaku kecuali kepada orang beriman sahaja. Sekiranya dia beroleh kesenangan dia akan bersyukur, dan syukur itu baik untuk dirinya. Sekiranya dia beroleh kesusahan dia akan sabar, dan sabar itu juga baik untuk dirinya.Sahih Muslim
Siapa sangka manusia yang mati hati dihidupkan Allah dengan peristiwa itu. Seakan Allah mahu kita tadabbur ayat ini:
أَوَمَنْ كَانَ مَيْتًا فَأَحْيَيْنَاهُ وَجَعَلْنَا لَهُ نُورًا يَمْشِي بِهِ فِي النَّاسِ كَمَنْ مَثَلُهُ فِي الظُّلُمَاتِ لَيْسَ بِخَارِجٍ مِنْهَا كَذَلِكَ زُيِّنَ لِلْكَافِرِينَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dia dapat membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dia dapat) berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan (dari perbuatan kufur dan segala jenis maksiat).al-An’am 6:122
Soalan untuk kita, apa yang sudah kita lakukan untuk menjadi sebab hidayah orang lain? Jangan pula buruknya akhlak kita dengan berbagai aktiviti tidak senonoh menjadi sebab hidayah di negara kita tersasar jauh daripada mencucuri orang yang belum Islam.
Ya Allah! Islamkan orang New Zealand dan jangan kikis penghayatan Islam Muslim Malaysia.
No comments: