Mengapa Al-Quran Yang Dicetak Lebih Baik Daripada Al-Quran Digital
Di dunia teknologi hari ini, banyak perkara yang boleh didapati dengan mudah melalui aplikasi yang disediakan dalam telefon pintar. Contohnya di Google Play, anda boleh mendapatkan pelbagai aplikasi yang memudahkan urusan seharian seperti beli belah dengan Amazon, Shopee dan urusan pengangkutan pula boleh dilakukan dengan aplikasi seperti Grab.
Hal ini termasuklah urusan seharian sebagai seorang Muslim. Ada aplikasi yang menyediakan kemudahan seperti Al-Quran digital, kompas kiblat dan juga koleksi hadis.
Untuk artikel kali ini, penulis ingin fokus kepada penggunaan Al-Quran digital yang semakin banyak diguna pakai oleh Muslim di seluruh dunia. Berikut disenaraikan beberapa sebab mengapa Al-Quran yang dicetak lebih bagus daripada versi digital.
#1- Lebih Selesa Dipegang Dan Dilihat
Berbanding Al-Quran digital, Al-Quran yang dicetak lebih selesa dipegang dan mudah diselak. Al-Quran dalam bentuk digital paparannya agak terhad dan memerlukan ketikan yang berbeza untuk menyelak dan juga untuk melihat maksud ayat.
#2- Kurang Terganggu
Dengan menggunakan Al-Quran yang ‘sebenar’ juga dapat membantu kita untuk lebih fokus dengan bacaan dan juga makna ayat. Sebaliknya, dengan penggunaan Al-Quran digital , anda lebih cepat terganggu dengan bunyi notifikasi daripada aplikasi-aplikasi lain yang terdapat dalam telefon.
#3- Al-Quran Cetakan Dapat Menambah Fokus Ketika Membaca
Satu kajian yang dilakukan oleh Ziming Liu pada tahun 2005 di Universiti San Jose mendapati bahawa paparan skrin membuatkan kita mengambil jalan singkat ketika membaca. Kita lebih cenderung untuk membaca dengan laju dan kurang meneliti perkataan demi perkataan.
Sama juga dengan penggunaan Al-Quran digital, kita mungkin akan terlepas pandang dengan maksud ayat dan proses berfikir menjadi singkat, sedangkan kita dianjur membaca Al-Quran secara tartil (teratur), bertajwid, dan juga merenung makna di sebalik ayat yang dibaca. Maka menggunakan Al-Quran cetakan sudah pasti dapat membantu kita untuk lebih baik dalam membaca dan merenung tentang pesanan yang ada di dalam Al-Quran.
#4- Membantu Anda Mudah Mengingat Apa Yang Dibaca
Apabila kita memegang Al-Quran yang ‘sebenar’, kita menggunakan pancaindera lebih banyak melalui sentuhan dan juga penglihatan. Kita menyelak muka surat dengan tangan, merasai permukaannya, memegang sepenuhnya dengan kedua-dua tangan. Bahkan ada orang yang mencintai buku lebih suka membaca buku sebenar berbanding digital kerana dapat ‘bau’ kertasnya.
Menarik bukan? Kita juga dapat mengenal pasti kedudukan ayat sama ada di bahagian bawah, atas, kiri atau kanan dengan lebih mudah. Mengapa? Kerana pengguna pancaindera yang aktif dapat merangsang otak dengan lebih baik.
Kesimpulannya, kedua-dua versi Al-Quran ini – cetakan mahupun digital mempunyai kelebihan masing-masing. Gunalah mana-mana mengikut kemudahan dan kesesuaian. Tambahan pula, bulan Ramadan tidak lama lagi akan tiba, maka lebih elok lagi jika anda mempunyai kedua-duanya.
No comments: