Lepas Tiga Dekad, Ella Buktikan Vokal Masih Lagi Berbisa
Siapa mampu menafikan kehebatan Ratu Rock Negara, Nor Zila Aminuddin atau Ella. Di kala usianya kini mencecah 53 tahun, Ella masih lagi kekal bertenaga dan energetik sepanjang dua jam setengah Konsert Ella Unplugged In Kuala Lumpur yang berlangsung dari Jumaat hingga Ahad lalu.
Berkesempatan menonton pada Jumaat lalu, Ella memulakan konsert dengan segmen akustik menerusi seleksi lagu-lagu hits nyanyiannya seperti Nuri, Permata Pemotong Permata, Cinta Dusta, Esok Selamanya, Aku Kau Dia, Tiada Tangis Lagi, Penjara Misteri, Layar Impian, Demi Cinta, Cinta Selembut Sutera, Rama-Rama dan Sepi Sekuntum Mawar Merah.
Aksi manja yang sinonim dengan imej Ella dapat dilihat ketika dia berinteraksi dengan peminat yang teruja apabila dapat menonton persembahannya secara langsung.
Ella sesekali memberikan ‘flying kiss’ serta mengucapkan ‘I love you’ kepada peminat yang setia dengan perjalanan seninya sejak lebih tiga dekad lalu.
Memeriahkan konsert, Ella menjemput adiknya, Korie bersama-sama menyanyikan lagu berhantu mereka, Pergilah Sayang sebelum menjemput suaminya, Captain Azhar dengan lagu Mendung Tak Bererti Hujan dan lagu terbaharu mereka, Peace.Love.Rindu.
Sebelum memasuki segmen kedua, nyanyian lagu Asli, penonton di Panggung Sari, Istana Budaya dihiburkan dengan tarian tradisional penari cilik dari Permata Seni.
Menurut Ella, dia sengaja memilih segmen Asli dalam konsert kali ini bagi mengangkat unsur-unsur lagu tradisional yang makin dilupakan dari hari ke sehari.
“Irama asli ini merupakan lagu dari ratusan tahun lalu, kalau bukan kita yang pertahankan siapa lagi. Disebabkan itu saya mendedikasikan segmen lagu-lagu Asli pada konsert ini,” katanya.
Antara lagu-lagu yang didendangkan pada malam itu seperti Sayang Di Sayang, Keroncong Kemayoran, Tak Seindah Wajah, Sembilu dan Zapin Pematah Hati.
Segmen terakhir yang pastinya ditunggu-tunggu semua peminat Ella iaitu Rock N Roll. Membuktikan kemampuan vokalnya masih lagi sama seperti dulu, Ella memulakan segmen itu dengan lagu malar segar, Permata Biru dan Kitalah Bintang. Sebelum menghangatkan pentas dengan lagu Puteri Kota, Ella menjemput pemuzik Lord, Edrie Hashim dan Captain Azhar bagi mengiringi lagu tersebut dan lagu Dua Insan Bercinta, Cinta Berakhir serta Sujud.
Sebelum menamatkan persembahan dengan lagu Kesal, Bayangan, Pengemis Cinta dan Gemilang, Ella turut mengambil kesempatan memperkenalkan pemuzik-pemuzik yang bertungkus-lumus menjayakan konsert tersebut bersamanya. Antara yang terlibat ialah Pengarah Muzik, Roza @ Rio Rasul, Pengarah Konsert, Peah Rafie, , Aji (gitaris), Ritz (gitaris), Fly Halizor (bass), Ujang (drummer), Paang (percusionist), Ude Wahid (keyboard, violin) serta penyanyi latar, Baby, Jat dan Eja.
Sepanjang berlangsung konsert yang dianjurkan Projekt Ella Sdn Bhd itu, Ella menggayakan persalinan daripada pereka fesyen terkenal iaitu Syomir Izwa, Ezzati Amira, Kit Woo dan Joe Chia dengan dibantu stylist Jiman Casablanca.
Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah turut berkenan mencemar duli pada konsert tersebut selain kehadiran rakan artis yang hadir pada malam itu antaranya Datin Seri Umie Aida, Zahida Rafik dan Erma Fatima. – KopiPlanet.com
Kredit foto: Iqbal Rosli
The post Lepas Tiga Dekad, Ella Buktikan Vokal Masih Lagi Berbisa appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: