Kecerdasan 3 Bintang Kecil Yang Menarik Perhatian
Tiga orang kanak-kanak yang menghiasi media cetak, media elektronik dan media sosial ini menarik perhatian saya.
Saya pernah berkongsi tentang Teori Kecerdasan Pelbagai atau Multiple Intelligence yang dicadangkan oleh Howard Gardner. Beliau telah mengenalpasti 9 jenis kecerdasan atau intelligence.
Ketiga-tiga kanak-kanak ini memiliki kecerdasan yang berbeza-beza. Perbezaan inilah yang menjadikan mereka individu yang unik tanpa perlu dibanding-bandingkan.
#1- Adik Hana Aishah
Nama terkenalnya Aishah London, telah menarik perhatian ramai dengan kepetahannya berbahasa Inggeris.
Pertama kali menonton wawancara bersama adik Aishah, saya membuat andaian bahawa dia lahir dan pernah menetap dan bersekolah di luar negara.
Rupa-rupanya saya silap. Dia belajar Bahasa Inggeris dengan sendirinya atau ‘self taught’ dengan menonton video.
Adalanya kanak-kanak hanya boleh mengulangi (parrot) kembali perkataan-perkataan yang didengari di video tanpa boleh berkomunikasi tetapi adik Aishah boleh berinteraksi dalam Bahasa Inggeris dan juga Bahasa Melayu dengan baik.
Selepas dikenali dan tular, adik Aishah telah beberapa kali dijemput ke station radio dan tv untuk ditemubual.
Saya mendapati dia berupaya berbicara dengan fasih dan penuh keyakinan. Belajar bahasa dan menguasai bahasa adalah dua perkara yang berbeza.
Aishah London berkemungkinan memiliki Kecerdasan Linguistik yang menyebabkannya berupaya menguasai bahasa dengan cepat, mudah dan efektif. Dia juga berkemungkinan memiliki Kecerdasan Interpersonal.
#2- Adik Syukor Khamis
Adik Syukur bukan sahaja menjadi sebutan di dalam negara, dia juga terkenal di luar negara kerana foto-foto aksinya bersama kerbau mendapat liputan yang sangat meluas.
Syukor bukan sahaja berupaya untuk berinteraksi dengan kerbau, menurut jurugambar Nazri Sulaiman, Syukor juga mempunyai hubungan mesra dan bergurau dengan kerbau, lembu, kambing, angsa dan burung seperti ‘kawan-kawan sekolah’.
Ini diakui sendiri oleh ayah Syukor yang mengatakan walaupun adik beradik Syukor yang lain juga terdedah kepada persekitaran yang sama, Syukorlah yang paling cenderung dan mempunyai minat mendalam terhadap kerbau-kerbau peliharaan ayahnya.
Bagi saya adik Syukor adalah contoh yang baik bagi seorang kanak-kanak yang memiliki Kecerdasan Naturalis yang mudah berinteraksi dengan alam.
Bercita-cita ingin menjadi seorang ‘Circus Performer’ satu hari nanti adalah sesuatu yang tidak janggal bagi seorang anak yang memiliki kecerdasan naturalis.
#3- Adik Umar Wafi
Adik Umar mendapat liputan media kerana telah mencipta alat notifikasi anti buli yang boleh digunakan di sekolah-sekolah. Guru-guru akan mendapat notifikasi di telefon mereka jika ada pelajar dibuli.
Inovasi ini telah memenangi anugerah STEM di peringkat nasional dan juga peringkat antarabangsa.
Menurut ibu Umar, idea penciptaan alat ini tercetus kerana adik perempuan Umar pernah dibuli secara fizikal dan verbal oleh rakan yang sama-sama berada dalam Darjah 1.
Mereka sekeluarga berbincang bagaimana caranya untuk membantu kanak-kanak lain yang dibuli dan ciptaan ini adalah hasil sesi ‘brainstorming’ tersebut.
Umar seorang yang pendiam, namun kepakaran dan minat Umar dalam Programming telah memungkinkan ciptaan ini. Umar juga bercadang untuk menambahbaik alat anti buli ini dengan menyambungkannya ke CCTV.
Adik Umar adalah contoh kanak-kanak yang memiliki Kecerdasan Logikal Matematik yang berkait rapat dengan strategi, penakulan, matematik, sains dan teknologi.
Terdapat 9 jenis kecerdasan atau intelligence menurut Howard Gardner.
Setiap seorang kanak-kanak adalah unik dan memiliki kecerdasan atau intelligence yang berbeza-beza.
Kenalpasti kecerdasan tersebut dan sediakan persekitaran dan ruang untuk membina kecerdasan itu supaya bermanfaat buat anak tersebut dan juga untuk masyarakat.
No comments: