Ads Top

Berwuduk Tapi Membazir

Islam sangat menitik beratkan soal kesederhanaan dalam perbuatan. Sederhana dalam Islam bukan bermaksud kurang atau bermudah-mudah tetapi pada tahap yang paling optimum, paling menguntungkan dan paling baik. Ia tidak semestinya pada kadar maksimum atau banyak.

Konsep begini juga terpakai dalam hal berwuduk. Mari kita teliti hadis penting di bawah.

عن عبدالله بن عمرو أن رسول الله صلَّى اللهُ عليه وسلَّم مرَّ بسعد وهو يتوضَّأُ فقال: ما هذا السَّرف فقال: أفي الوضوءِ إسرافٌ! قال: نعم وإن كنتَ على نهرٍ جارٍ.

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bahawa Rasulullah SAW melalui berhampiran Sa’d ketika beliau sedang berwuduk, lantas baginda menegurnya: “Apa pembaziran ini? Lalu Sa’d bertanya: Adakah dalam berwudhuk ada pembaziran? Sabda baginda: Ya, walaupun kamu berada dalam sungai yang mengalir” (HR Ibn Majah No 325/1 – Status Sahih)

Nah, lihatlah bagaimana Rasulullah SAW tidak memperkecilkan soal penjimatan air sekalipun kita berwuduk di tempat yang sangat banyak air seperti di sungai.

Apabila berwuduk di masjid atau di surau-surau awam, kerap kali kita melihat pembaziran air berlaku. Paip air dibuka dengan kuat dan air mengalir laju, tidak sepadan dengan basuhan anggota wuduk.

Perbuatan beginilah yang dipanggil ‘israf’ atau berlebih-lebihan, suatu perbuatan yang dikira ekstrem dalam hal berwuduk dan dilarang dalam Islam.

Sewajarnya bukalah paip air pada kadar yang perlahan sahaja, kira-kira air yang mengalir cukup untuk meratakan anggota wuduk. Sunnah dalam berwuduk ialah tiga kali sahaja. Tidak perlu berlebih-lebihan atau was-was sama ada rata atau tidak.

Seterusnya, dalam sela-sela masa antara anggota yang ingin dibasuh, tutuplah dahulu paip air daripada mengalir sia-sia. Contohnya antara sela waktu untuk membasuh kaki kiri dan kanan. Ia usaha yang nampak kecil namun kita sudah mengikut sunnah nabi seperti dalam hadis di atas.

Kesimpulannya, hal pembaziran air dalam berwuduk mahupun dalam hal-hal yang lain tidak seharusnya dipandang remeh. Seorang mukmin akan berusaha memperelok perbuatannya sehingga Allah redha dan suka.

Rujukan Hadis:
1 Hari 1 Hadis oleh Pertubuhan Ikram Negeri Johor



No comments:

Powered by Blogger.