Bagaimana Kehidupan Boleh Menjadi Berkat
Cuba lihat diri anda pada hari ini. Masih punya nafas untuk menyambung sebuah hari yang baru. Masih diberi peluang oleh Allah untuk merasa nikmat bersarapan di pagi hari untuk menyambung beribadah kepadaNya. Masih boleh menyarungkan kasut untuk melangkah kaki untuk ke tempat kerja. Dan macam-macam lagi urusan yang mampu anda laksanakan untuk hari ini sehinggalah mata anda tertidur kepenatan di malam hari.
Itu semua merupakan nikmat rezeki yang telah diberikan oleh Allah kepada semua hambaNya tanpa kita sedar. Walau banyak mana dosa yang telah kita lakukan, namun Allah tetap menyayangi hambaNya dengan menurunkan rezeki kepada mereka.
Pernahkah walau sesaat, terdetik rasa syukur kepada Allah? Pernahkah anda mengucapkan Alhamdulillah walau hanya di dalam hati?
Jika belum, ayuh luangkan sedikit masa untuk menzahirkan rasa syukur kepadaNya. Ucaplah Alhamdulillah untuk segala nikmat. Segala puji-pujian itu hanya kepadaNya. Semoga rezeki yang diperoleh sentiasa berkat untuk kita.
Tahukah anda, sesebuah rezeki itu bukan hanya bergantung kepada duit semata-mata, namun juga rezeki kesihatan, rezeki mempunyai keluarga dan sahabat yang baik, rezeki penglihatan yang masih jelas untuk melihat dunia dan bermacam-macam lagi yang tidak dapat dihitung dengan jari mulusmu.
Maka, bersyukurlah. Jangan pernah merungut dengan setiap kekurangan, kerana rezeki dari Allah itu Maha Luas.
Jenis-Jenis Keberkatan
Setiap perkara yang berlaku dalam hidup ini, pasti kita mengharapkan keberkatan daripada Allah. Kenapa keberkatan itu penting? Hal ini kerana, jika hidup kita berkat, maka Allah akan sentiasa membuatkan hati kita tenang.
Terdapat banyak jenis keberkatan dalam kehidupan ini, antaranya ialah:
#1 – Keberkatan Dalam Hidup
Keberkatan dalam kehidupan merupakan sesuatu yang diimpikan oleh semua muslim. Bayangkan anda hidup selama 100 tahun, namun kehidupan anda menjadi sebuah kehidupan yang sia-sia kerana tidak mendapat keberkatan dan rahmat daripada Allah.
Seperti kisah seorang sahabat baginda SAW yang bernama Saad bin Muadz, beliau telah memeluk Islam ketika berumur 30 tahun, namun beliau juga telah meninggal ketika berumur 36 tahun. Bayangkan hanya enam tahun beliau berada dalam kenikmatan Islam, namun disebabkan oleh keberkatan hidupnya, beliau berjaya menjadi seorang mukmin yang bahagia.
Oleh itu, tidak kiralah anda hidup berapa lama, namun apa yang paling penting ialah keberktan yang telah diberikan oleh Allah kepada anda.
#2 – Keberkatan Waktu
Rasulullah SAW menyebut, antara tanda kecil kiamat ialah apabila waktu yang ada terasa semakin singkat. Hal ini ada disebut dalam sebuah sabda baginda daripada Abu Hurairah yang bermaksud:
“Tidak akan tiba hari kiamat hingga waktu semakin singkat. Setahun bagaikan sebulan, sebulan bagaikan seminggu, seminggu bagaikan sehari, sehari bagaikan satu jam. Dan satu jam bagaikan api yang membakar daun kurma.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad dan al-Tirmizi)
Berdasarkan hadis ini, para ulama’ telah membahaskan bahawa ia merupakan bukti keberkatan masa telah ditarik. Jika anda mendapat keberkatan waktu oleh Allah, maka setiap perkara yang dilakukan dalam kehidupan anda menjadi cukup masanya.
#3 – Keberkatan Dalam Rezeki
Jika setiap rezeki yang diberikan oleh Allah ada keberkatan, maka ia akan dirasakan cukup walau sedikit. Jika tiada keberkatan, rezeki yang banyak pun akan dirasakan tidak cukup. Rezeki yang ada untuk membayar hutang, untuk membayar sewa rumah, untuk membayar yuran sekolah anak-anak dan sebagainya. Kadang-kadang kita akan merasa terbeban dengan bebanan hutang yang ditanggung dan sebagainya.
Oleh itu, sentiasa berdoa dan meminta kepada Allah agar rezeki yang diberikan sentiasa berkat.
#4 – Keberkatan Dalam Ilmu
Dapat menuntut ilmu juga merupakan sebuah rezeki yang tidak ternilai bandingnya. Ilmu itu merupakan sebuah rezeki dan amal yang sangat bermanfaat, jika digunakan dengan sebaiknya, maka boleh menjadikan ia sebagai pahala yang mengalir.
Ilmu yang berkat boleh menjadikan seseorang itu manusia yang berguna dan beradab berbanding dengan ilmu yang tidak berkat, hanya sekadar belajar untuk menghadapi peperiksaan dan bukan niat kerana Allah. Oleh itu, baikilah niat anda sebelum menuntut ilmu.
#5 – Keberkatan Dalam Keluarga
Keluarga merupakan sebuah hadiah yang sangat bernilai dalam kehidupan seseorang. Kehidupan berkeluarga akan menjadi lebih indah sekiranya ia merupakan sebuah keluarga yang sakinah wamawaddah.
Keluarga yang berkat pasti akan sentiasa merasa bahagia walaupun banyak masalah yang dihadapi, namun pasti boleh menghadapinya bersama-sama.
Bagaimana Sesebuah Rezeki Menjadi Berkat
Untuk penulisan kali ini, penulis ingin menghuraikan mengenai keberkatan rezeki. Bagaimana sesebuah rezeki boleh menjadi berkat. Bukan senang untuk mendapat keberkatan daripada Allah namun bukan juga susah. Jika kita mengikut segala arahan Allah dan meninggalkan segala larangannya, maka Allah akan merahmati hidup seorang muslim itu.
Terdapat beberapa cara untuk menjadikan rezeki yang kita peroleh itu berkat, antaranya ialah:
#1 – Tidak Meninggalkan Sebarang Perintah Allah
Allah mengarahkan semua hambaNya untuk melakukan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Senang sahaja untuk mendapat keberkatan oleh Allah. Lakukan sahaja apa yang disuruh.
Sebagai contoh, Allah melarang hambaNya untuk memberi dan menerima rasuah. Oleh itu, sebagai hambaNya yang taat, maka jauhilah rasuah.
#2 – Mengeluarkan Zakat
Zakat bermaksud bersih dan subur. Mengeluarkan zakat bererti membersihkan rezeki daripada segala perkara syubhah dan was-was yang ada.
Dengan mengeluarkan zakat, kita telah melaksanakan fardhu Ain. Zakat mampu membantu ekonomi orang Islam kerana dengan zakat dapat menolong orang yang kurang berkemampuan.
#3 – Bersyukur
Apa yang paling penting dalam kehidupan ini ialah bersyukur sentiasa. Walau sekecil apa pun nikmat yang diberikan, ucaplah syukur. Zahirkanlah rasa syukur dengan membantu orang sekeliling seperti bersedekah atau memberi makan kepada golongan yang berkemampuan.
Dengan bersyukur, maka Allah akan tambahkan lagi rezeki untuk sekadarnya.
Kesimpulannya
Rezeki yang berkat itu boleh memberi kebahagiaan dalam kehidupan manusia. Kadang-kadang insan itu diuji dengan begitu banyak onak dan duri dalam kehidupan, namun disebabkan oleh keberkatan rezeki dan hidupnya, segala bebanan itu dirasakan tidak menjejaskan kehidupannya.
Carilah keberkatan di setiap celah-celah kehidupan, nescaya kamu akan menjumpainya dan boleh menjadi seorang mukmin yang bahagia.
No comments: