4 Tanda ‘Kiamat’ Dalam Perhubungan
Setiap hubungan tidak akan terlepas daripada konflik. Namun hasil kajian yang sudah dilakukan selama bertahun-tahun tentang pasangan yang berkahwin menghasilkan konklusi bahawa perkara yang menjejaskan hubungan hingga membawa kepada perpisahan bukanlah kerana konflik dan masalah yang terjadi dalam perhubungan tetapi ‘bagaimana pasangan tersebut menguruskan konflik yang terjadi’.
Hasil daripada pelbagai teknik kaunseling yang dijalankan di barat, The Gottman Method yang dicipta oleh Drs John dan Julie Gottman berhasil menerangkan tentang empat perkara penting tentang cara komunikasi yang merosakkan perhubungan. Komunikasi negatif ini boleh membesarkan konflik yang ada dan membawa kepada perpisahan.
Mari teliti apakah empat perkara tersebut:
#1- Mengkritik (Criticism)
Kritikan di sini tidak sama dengan menegur. Ia membawa maksud yang lebih negatif seperti menyalahkan dan menyerang peribadi pasangan.
Contoh:
“Awak selalu sibuk dan tak ada masa. Awak memang orang yang pentingkan diri!”
Dialog di atas tidak akan menyebabkan pasangan sedar tentang sikap yang perlu diubah. Sekalipun ia mungkin benar, pasangan akan lebih rasa tercabar.
Antara antidot yang boleh dilakukan dengan berkata: “Fikiran saya kusut hari ni, boleh luangkan masa untuk dengar saya cerita?”
Perhatikan beza kedua-dua ayat di atas. Pertama ia lebih mengarah kepada kesalahan pasangan sedangkan ayat antidot lebih positif dan sihat.
#2- Menghina (Contempt)
Apabila seseorang berkomunikasi dalam keadaan menghina, ia benar-benar terlihat kejam dan bertujuan untuk merendah-rendahkan pasangan. Ia akan membuatkan pasangan berasa tidak bernilai (worthless) malah terhina.
Cara komunikasi sebegini termasuklah menyindir,mengejek, mempermain-mainkan, memanggil ‘gelaran’ nama yang tidak baik dan juga menggunakan bahasa badan seperti menjeling dan membuat mimik muka yang tidak menyenangkan.
Antidot bagi komunikasi seperti ini ialah dengan menyuburkan sikap hormat antara pasangan. Sebagaimana kita ingin dihormati dan dihargai, maka pasangan juga ingin dihormati dan dihargai.
#3- Bersikap Defensif (Defensiveness)
Bersikap ‘defensive’ di sini lebih kepada berlagak menjadi mangsa, mempertahankan diri malah menyalahkan pula pasangan atas kesalahan yang dilakukan.
Contoh : “Awak ada beritahu mak yang kita tak jadi balik rumah mak hari ni?”
Respon yang defensif: “Saya sibuk lah, awak pun tahu. Awak tak buat apa-apa kan, kenapa tak awak je yang beritahu?”
Respon yang defensif tidak akan menyelesaikan masalah yang ada bahkan membuatkan perasaan geram semakin terbuku setiap kali masalah terjadi.
Ia boleh dielakkan dengan mengambil sikap bertanggungjawab walaupun tidak sepenuh hati. Sekurang-kurangnya kita berfikir bahawa ia bukan salah pasangan seorang.
Antidot: “Ops, saya terlupa lah. Patutnya saya pesan pada awak pagi tadi supaya beritahu mak sebab jadual kerja saya penuh. Takpe, saya telefon sekarang”
#4- Stonewalling
Stonewalling di sini biasa terjadi ekoran daripada sikap defensif. Ia bermaksud seseorang menarik diri daripada situasi konflik yang sedang berlaku – sama ada berhenti bercakap secara tiba-tiba, berhenti memberi reaksi, respon, mengalihkan perhatian dengan ‘buat-buat sibuk’ atau reaksi pasif yang lain.
Tindakan ini menutup ruang untuk berbincang dan menyelesaikan konflik secara sihat. Malah pasangan rasa seperti ‘ditinggalkan’ sendirian dalam masalah tersebut.
Ramai yang mungkin pernah memberi reaksi seperti ini terutama apabila terlalu marah dan geram. Kadang-kadang ia menjadi perkara yang biasa dilakukan dan sukar di ubah.
Antara antidot yang boleh dilakukan ialah dengan menenangkan diri terlebih dahulu. Beri respon yang lebih positif seperti:
“Saya rasa marah sangat sekarang. Boleh tak kita bertenang sekejap dan bincang perkara ni sejam lagi”
Keempat-empat komunikasi negatif di atas nampak kecil dan tidak begitu penting. Namun jika ia sentiasa terjadi setiap kali masalah berlaku, maka lama kelamaan ia akan memberi kesan yang besar kepada perasaan pasangan, rasa tidak puas hati dan tidak bahagia dalam perhubungan.
No comments: