Ads Top

Mungkin Ini Sebabnya Anda Rasa Takut Untuk Jatuh Cinta

Saya ada terbaca satu tulisan artikel dari sebuah laman sesawang The Patriots berjudul lebih kurang “Ketakutan Kita Untuk Jatuh Cinta” (boleh search di google jika masih ada). Di sana penulis ada menjelaskan teori dari tokoh falsafah Slavoj Žižek yang membahaskan kenapa apabila membicarakan soal jatuh cinta pada zaman ini suasananya agak kontang dengan makna cinta yang asal.

Dibawanya contoh suasana romantik seperti era 80’an tidak lagi sama sebagaimana tema percintaan pada hari ini. Katanya latar kepada perubahan kekontangan naratif cinta itu sendiri berasal dari kemelesetan ekonomi.

Pengaruh Kesejahteraan Ekonomi Negara Terhadap Cinta

Jika difikirkan semula hujahan beliau, pada saya ada asasnya kerana ekonomi antara faktor besar yang mempengaruhi sosio-budaya di sesuatu komuniti. Apabila jurang pemilikan harta antara si miskin dan si kaya bertambah lebar, ini akan menyebabkan ketidakseimbangan moral masyarakat setempat.

Ekonomi yang tidak stabil dan rakyat yang tidak harmoni akan mengundang lebih banyak jenayah, kesempitan hidup, pengabaian hak dan krisis perpecahan sesama komuniti.

Bila berlaku kekecohan sebegini masakan kita sempat untuk bercinta. Adakah ada ruang lagi untuk bercinta dengan aman. Sudah pasti tidak. Saya teringat dengan karya-karya Buya Hamka seperti Tenggelamnya Kapal Van Dar Wijck dan Merantau ke Deli yang mana latar penceritaan yang dibawa si penulis lebih kurang sama iaitu jurang antara kaya dan miskin sentiasa menjadi penghalang untuk mencapai cinta yang jujur dan harmoni.

Perbezaan pendapatan yang ketara waktu itu sedikit sebanyak menghakis kepercayaan umum masyarakat bahawa cinta tidak sepatutnya disepadankan dengan jiwa yang ikhlas, luhur, jujur dan berakhlak.

Sebaliknya cinta sentiasa dibaluti dengan nilai-nilai material yang sifatnya boleh lebur di masa akan datang dan bersifat sementara – kerana latar masa, tempat dan keadaan waktu itu memang betul-betul meleset ekonominya. Kita sendiri maklum bagaimana ekonominya di Indonesia ketika Buya Hamka masih hidup.

Rasulullah bersabda:

إذا جاءكم من ترضون دينه وخلقه فزوجوه إلا تفعلوه تكن فتنة في الأرض وفساد كبير

“Jika datang kepada kalian seorang lelaki yang kalian redha agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia. Jika tidak, maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar.” (Riwayat Tirmizi)

Islam sentiasa menekankan aspek agama dan akhlak dalam kempen mencari calon pasangan hidu. Kriteria sebegini sentiasa membekas dalam jati diri seseorang. Sikap adalah sesuatu yang sifatnya berpanjangan dan sukar untuk terhapus manakala harta benda pula sifatnya sementara yang boleh hilang sekelip mata sahaja. Personaliti seseorang adalah diri insan itu sendiri berbanding tindakan-tindakan sementara yang boleh dilakonkan sewaktu bercinta.

Falsafah Kaya & Miskin Dalam Percintaan

Saya teringat sebuah filem barat yang bertajuk “Snowpiercer” tahun 2013 sebuah filem arahan Joon Ho Bong iaitu mengenai latar tempat yang mana dunia sudah berakhir, iaitu bergenre post-apocalypse.

Di luar tiada sebarang kehidupan malah sesiapa sahaja yang berkelana seorang diri di luar maka akan mati kesejukan, kelaparan dan bermacam lagi. Jadi diringkaskan cerita, semua manusia waktu itu yang masih hidup dalam sebuah rel kereta api yang berpusing ke seluruh dunia.

Dalam kereta api yang sangat panjang itu ada tahap-tahap pengasingan kasta manusia sehingga ada bahagian hamba dan ada juga bahagian bangsawan. Siapa yang menetapkan demikian? Syarikat bernama Wilford yang bahagikan kelasnya begitu kerana dialah pengasas rel tersebut jadi manusia yang duduk dalam rel itu harus ikut ketetapan sedemikian kononnya untuk kekalkan keseimbangan kehidupan.

Akhirnya kasta hamba yang duduk di bahagian paling belakang menyusun strategi untuk bangkit dan melawan pihak paling atas sehingga berlakulah revolusi. Sehingga ada ayat yang agak dramatis ketika si Curtis Everett hampir menguasai rel tersebut iaitu beliau kata

“Yeah, we didn’t freeze to death, but we didn’t have time to be thankful. Wilford’s soldiers came and they took everything. A thousand people in an iron box. No food, no water…After a month, we ate the weak… You know what I hate about myself? I know what people taste like. I know that babies taste best…”.

“Ya, kami tidak mati kesejukan, tetapi kami tidak punya masa untuk bersyukur. Tentera Wilford datang dan mengambil semuanya. Beribu orang berada dalam kotak besi. Tak ada makanan, tak ada air…setelah sebulan, kami makan mereka yang lemah…Kau tahu apa yang paling aku benci tentang diri aku sendiri? – Aku tahu bagaimana rasanya daging manusia. Aku tahu daging bayi paling enak”

Moral dari filem ini saya dapati bila hidup kita terlalu susah, kita tidak sempat berfikir secara manusiawi, kita tidak sempat bersyukur, kita tidak sempat rasa bagaimana itu cinta, bagaimana hormat, bagaimana tanggungjawab dan hak sepatutnya. Memang sadis kalau tonton filem ini hingga tamat.

Sebab itulah Rasulullah SAW sebelum menyebarkan intipati dakwah baginda terlebih dahulu menyebarkan kempen mengenai kesedaran membantu orang susah, memberi makan, menjaga silaturahim dan sebagainya.

Bila diperhatikan perkara semudah ini sangat memberi kesan pada ekonomi. Apabila ekonomi terjaga dan stabil maka segala tuntutan fitrah manusia (seperti Hieraki Abraham Maslow yang kita belajar sewaktu bangku sekolah) itu dapat dilaksanakan.

Dalam falsafah maqasid syariah (tujuan syariat) pun begitu antaranya soal Dharuriyat (hak asasi), Hajiyyat (keperluan) dan Tashniyat (keselesaan & kesempurnaan). Semua ini kalau dibincangkan secara terperinci akhirnya akan kembali pada akar isunya semula iaitu kestabilan ekonomi punca kepada persoalan ”kenapa takut jatuh cinta”.

Ekonomi Dahulu Baru Yang lain

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ سَلَامٍ قَالَ: لَمَّا قَدِمَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِيْنَةَ ، اِنْجَفَلَ النَّاسُ إِلَيْهِ ، وَقِيْلَ : قَدِمَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَجِئْتُ فِي النَّاسِ لِأَنْظُرَ إِلَيْهِ ، فَلَمَّا اسْتَبَنْتُ وَجْهَ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَرَفْتُ أَنَّ وَجْهَهُ لَيْسَ بِوَجْهٍ كَذَّابٍ ، فَكَانَ أَوَّلَ شَيْءٍ تَكَلَّمَ بِهِ أَنْ قَالَ: (( يَا أَيُّهَا النَّاسُ ، أَفْشُوْا السَّلَامَ ، وَأَطْعِمُوْا الطَّعَامَ ، وَصِلُوْا الْأَرْحَامَ ، وَصَلُّوْا بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ ، تَدْخُلُوْا الْجَنَّةَ بِسَلَامٍ

Dari ‘Abdullah bin Salâm, ia berkata: “Ketika Rasulullah SAW datang ke Madinah, orang-orang segera pergi menuju beliau (kerana ingin melihatnya). Ada yang mengatakan: Rasulullah telah datang, lalu aku mendatanginya di tengah kerumunan banyak orang untuk melihatnya. Ketika aku melihat wajah Rasulullah, aku mengetahui bahawa wajahnya bukanlah wajah pembohong. Dan yang pertama kali beliau ucapkan adalah, ‘Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam, berikan makan, sambunglah silaturrahim, solatlah di waktu malam ketika orang-orang tertidur, nescaya kalian akan masuk Syurga dengan selamat.” ( Riwayat Tirmizi dan ad-Darimi)

Baginda tidak mulakan kempen dengan benda-benda bersifat ghaib iaitu keimanan terlebih dahulu. Tetapi Nabi mulakan dengan menstabilkan keperluan asasi manusia terlebih dahulu kerana baginda tahu untuk sebarkan Islam mestilah dalam keadaan yang kondusif dan dalam keadaan manusia sedang stabil dari aspek psikologi mereka.

Apabila ekonomi, sosial dan pendidikan terjaga dengan baik insyaallah yang lainnya mudah dididik. Malah dalam al-Quran sendiri menyatakan hal yang sama seperti dalam Surah al-Ma’un:

أَرَأَيْتَ الَّذِي يُكَذِّبُ بِالدِّينِ (1) فَذَلِكَ الَّذِي يَدُعُّ الْيَتِيمَ (2) وَلَا يَحُضُّ عَلَى طَعَامِ الْمِسْكِينِ (3) فَوَيْلٌ لِلْمُصَلِّينَ (4) الَّذِينَ هُمْ عَنْ صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ (5) الَّذِينَ هُمْ يُرَاءُونَ (6) وَيَمْنَعُونَ الْمَاعُونَ (7)

“Tahukah kamu (orang) yang mendustakan hari pembalasan? Itulah orang yang mengherdik anak yatim, dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin. Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya. Orang-orang yang berbuat riya’ dan enggan (menolong dengan) barang berguna.”
(Surah Al-Maa’uun: 1-7)

Menurut tafsir Imam Ibn Kathir maksud surah al-Ma’un ialah berkenaan dengan sikap orang yang enggan membantu orang lain dengan harta benda (ekonomi). Nampak jelasnya di sini Islam amat menitik beratkan soal kestabilan hak asasi kemanusiaan seperti makan, minum, tempat tinggal dan seumpamanya.

Lihatlah turutan ayat dalam surah tersebut, dimulakan dengan orang yang enggan memberi makan lalu disusuli pula dengan orang yang solatnya lalai.

Ini mambuktikan bahawa benarlah falsafah ekonomi dan kaitannya dengan takut jatuh cinta. Ekonomi banyak berkait dengan urusan kehidupan manusia yang asasi maka bila tak tertunai dengan elok manusia akan semakin melupakan soal cinta, ketelusan, akhlak, pedoman, agama dan sebagainya.

Ada sahaja kisah para sahabat yang hidupnya susah tapi jangan disamakan dengan waktu itu kerana zaman itu sahabat yang kaya raya sudah menganggap sahabat yang susah seperti kaum kerabat mereka hingga mereka mengamalkan konsep “kongsi sama rasa” kerana kejayaan baginda membawa semangat ukhuwah yang amat teguh dan padu.

Bagaimana pula dengan zaman hari ini. Adakah semangat itu kelihatan muncul di hadapan mata kita? Sudah tentu tidak! Maka penting sekali untuk kita cakna dengan ilmu yang memantapkan pengurusan ekonomi agar kita tidak ketinggalan ke belakang.

Justeru jagalah ekonomi diri dengan mengambil cakna pelbagai sumber ilmu pengetahuan mengenainya agar kita tidak begitu rakus hingga hilang nilai cinta dalam diri disebabkan susahnya hidup.




No comments:

Powered by Blogger.