Ads Top

‘Sebongkah Batu’ Dalam Hidup Kita

Tren tidak terlalu sesak pagi ini. Di hadapan saya duduk seorang wanita, berpakaian T-shirt dan jeans. Dia memegang beg kertas besar. Saya bakal tahu apa yang ada di dalamnya 10 minit nanti. Wajahnya tanpa secalit gincu – saya pandang sekilas sebelum menyambung The Missing Brick di tangan.

Sejenak saya dibawa ke dalam perbualan Paulo Coelho dengan pereka dalaman rumahnya. Ketika itu dia dan isterinya sedang ‘travel’ ke tempat lain. Dia mendapat pesanan ringkas daripada pereka dalaman rumahnya bahawa ada sedikit masalah dengan pengubahsuaian dapur.

Ada sebongkah batu bata yang tidak cukup bagi melengkapkan pengubahsuaian tersebut. Pereka tersebut lalu mengemukakan rekaan baru bagi meggantikan rekaan yang dibuat sendiri oleh isterinya.

Dia sedang menimbang-nimbang cadangan tersebut ketika isterinya berkata; “Beli sahaja sebongkah batu itu” – dalam erti kata lain- rekaan asal dapat dikekalkan.

Habis saya membaca ayat terakhir cerita itu, saya mengangkat semula wajah, memandang wanita di hadapan saya yang sedang khusyuk menyolek wajahnya. Dari dalam beg besar yang saya lihat tadi, dia mengeluarkan satu lagi beg yang berisi berbagai jenis alat solek.

Lelaki India ber T-shirt jenama FILA di sebelahnya langsung tidak dipedulikan, apatah lagi orang lain dalam tren tersebut. Dia mengoles foundation, bedak, eye-shadow, pemerah pipi, dan gincu. Dia berubah menjadi wanita cantik dalam masa 10 minit!

Seperti kesimpulan yang dibuat oleh Paulo Coelho dalam bukunya, saya juga ingin membuat kesimpulan yang sama – kadang-kadang kerana sedikit cabaran, serta keadaan yang tidak menyelesakan yang kita alami, kita berhenti melakukan apa yang perlu dilakukan.

Kita berhenti bertindak, kita berhenti bergerak. Kita menyalahkan keadaan kerana menghalang. Kita menyalahkan jam loceng yang tidak berbunyi, bekalan air yang tiba-tiba tidak ada, bas yang lambat, LRT yang rosak, LCD yang tidak berfungsi.

“When life gives you lemons, make lemonade!”

Jika hanya kerana wanita tersebut tidak sempat bersolek di rumah kerana mengejar tren, adakah dia tidak boleh bersolek dalam perjalanan?

Jika hanya kerana ‘sebongkah batu bata yang tidak cukup’, kita ingin berhenti, adakah ia berbaloi dengan persediaan dan usaha yang telah dilakukan.

Akan ada kesulitan yang tiba-tiba muncul, yang tidak kita jangkakan. Persoalannya, apa respon yang kita berikan?




No comments:

Powered by Blogger.