Rody Kristal Masih Tidak Percaya Bergelar Bapa Adithya Jabbar
Gitaris kumpulan kristal iaitu Rody atau nama sebenarnya Mohd Rodi Baharudin, 33, mengakui masih tidak percaya sudah bergelar bapa kepada bayi lelaki, Adithya Jabbar yang dilahirkan tiga hari lalu.
Rody memaklumkan bahawa dirinya cukup gementar dan risau apabila melihat sendiri keadaan isterinya, Niena Azman bertarung nyawa saat melahirkan anak mereka seberat 3.45 kg pada jam 9.45 malam, 14 Januari lalu.
“Sehingga sekarang, saya masih tidak percaya sudah bergelar bapa. Terasa baru saja kami diijabkabulkan, sekarang sudah ada anak.
“Saya rasa gementar dan risau tengok keadaan isteri pada masa itu. Saya temani isteri semasa bersalin dan doktor beritahu rambut anak dah nampak. Pada saat itu saya berasa gementar dan tidak berani melihat, saya hanya mampu berdiri di samping isteri dan memberi semangat kepadanya,” katanya pada KopiPlanet.com
Rody ditemui pada majlis sidang media live showcase XPDC di Restoran D’saji Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur semalam.
Selain itu, Rody turut berkongsi pengalaman memotong tali pusat anaknya serta perasaan sebak yang menyelubungi saat mengazankan Adithya.
Disamping itu, Rody turut mendedahkan pemilihan nama anaknya itu diambil dari nama tempat yang terletak di Mekah semasa menunaikan umrah dulu.
“Nama anak saya ialah Adithya Jabbar yang bermaksud orang yang bijaksana serta gagah perkasa.
“Adithya ini saya pilih sebab hendak bunyi macam nama Indonesia sikit sebab nama saya pun macam bunyi Indonesia bila sebut.
“Nama Jabbar ini pula sebenarnya saya perolehi dari Jabbar Rahmah sebab sebelum saya kahwin dulu saya ada mengerjakan umrah sekali gus mengabadikan kenangan ketika saya berada di situ,” ulasnya.
Sementara itu, Rody turut berkata bahawa kini dia dan isteri masih cuba menyesuaikan diri dan saling membantu antara satu sama lain dalam mengasuh anak mereka.
Rody dan isteri, Nur Izwani Azman atau lebih dikenali sebagai Niena berkahwin pada tanggal 27 April tahun lalu. -KopiPlanet.com
Artikel oleh: Fatin Marzuki
Pelajar Praktikal Uitm Puncak Perdana
The post Rody Kristal Masih Tidak Percaya Bergelar Bapa Adithya Jabbar appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: