Pegang Tangan Bukan Muhrim Dalam MV, Adira Sedia Dikecam
Penyanyi Adira Suhaimi, 28, berkata dia sudah bersedia menerima kecaman daripada netizen susulan muzik video (mv) single terbaharunya, Pujaan Hati ada menyelitkan aksinya berpegangan tangan dengan model lelaki MV tersebut.
Menurut Adira, dia bersetuju untuk menjayakan babak tersebut kerana mahu lakonannya kelihatan natural menerusi video tersebut.
“Saya dah bersedia dengan kecaman sebab hanya saya mengikut skrip MV tersebut.
“Itu antara saya dengan tuhan (bersentuhan dengan bukan muhrim).
“Saya hanya nak nampakkan lakonan kelihatan hidup sebab itu saya bersetuju dengan adegan terbabit.
“Suami saya belum tengok lagi muzik video itu tapi saya ada jelaskan kepadanya memang ada babak saya berpegangan tangan dengan pelakon lelaki dalam muzik video berkenaan,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Adira ditemui pada majlis muzik video dan single berjudul Pujaan Hati yang berlangsung di Redbox The Gardens Mall, Kuala Lumpur hari ini.
Pujaan Hati merupakan hasil ciptaan komposer Ikhwan Fatanna dan Ayden Ali. Lagu ini merupakan lagu runut bunyi untuk drama Pujaan Hati Kanda yang dilakonkan Remy Ishak dan Mira Filzah.
Sementara itu, Adira yang sudah lama menyepi dalam bidang hiburan melihat single ini sebagai langkah yang tepat untuknya membuat kemunculan semula.
“Saya memang nak buat comeback sebab jiwa saya adalah untuk menyanyi.
“Saya tidak jumpa lagi sebab yang berbaloi yang boleh buat saya tinggalkan bidang nyanyian.
“Suami pun beri keizinan untuk saya aktif semula asalkan saya tidak lupa tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu.
“Saya pun tidak sangka lagu Pujaan Hati ini boleh jadi fenomena dan tidak dinafikan ia juga adalah disebabkan drama Pujaan Hati Kanda yang kini sedang ditayangkan,” ujarnya lagi yang kini bernaung di bawah syarikat pengurusan baharu, Nova Music.
Untuk rekod, Adira mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Datuk Seri Adnan Abu pada 3 Disember 2015.
Hasil perkahwinan, penyanyi kelahiran Sabah ini dikurniakan sepasang cahaya mata, Anggrek, 2, dan Asan yang kini mencecah usia empat bulan. – KopiPlanet.com
No comments: