Ads Top

Jangan Main-main Kalau Isteri Dah Tawar Hati!

Payah sebenarnya isteri nak tawar hati tiba-tiba dalam hubungan, melainkan golongan suami selalu ulang-ulang benda yang dia tak suka dan sampai satu tahap dia dah penat nak hadap!

Sudah ditegur dan nasihat tapi tiada perubahan, peluang yang diberi dipandang remeh tak dipeduli.

Akhirnya jadilah masalah rumah tangga seperti yang Puan Intan Dzulkefli kongsikan ini.

Tetiba Isteri Tawar Hati?

“Saya nak bercerai dengan suami. Saya rasa tak bahagia. Saya rasa give up nak masuk syurga Allah sebagai seorang isteri. Susah sangat…”

Jika isteri asyik minta cerai & suami asyik marah-marah, marah anak, bentak isteri.. itulah tandanya sesuatu keberkahan di dalam rumahtangga kita telah hilang.

Bila Isteri Dah Berubah

Jangan main-main apabila isteri telah tawar hati. Dia yang dulu mungkin sangat suka tersenyum danl tergelak berubah menjadi seperti tidak pandai mengukir senyum. Dia yang dulu suka bercakap mungkin semakin lama semakin hilang butir bicara. Dia sudah tidak kisah apa yang hendak si suami lakukan, bicarakan. Kalau dulu pandangannya lekat sentiasa di wajah suami, kini memandang muka suami pun sudah tidak sudi.

Semuanya kerana dia sudah tawar hati, pelbagai hal yang terpendam akhirnya menyebabkan hatinya semakin menjauh.

Untuk para suami, sekiranya isteri berubah sikap jauh berbeza dari sifatnya semasa baru menikah denganmu, telitilah perkara ini,

1) Semaklah bagaimana hubunganmu dengan Ilahi. Bagaimana layanan isteri kepada kita seakan cerminan bagaimana layanan kita dengan Allah. Solat jaga atau tidak? Konsisten solat berjemaah atau tidak?

Jika kita sebagai hamba pun tak taat kepada Allah, bagaimana isteri nak taat kepada kita? Respect is earned, not given.

2) Kamu ambil berat atau tidak soal ibadah wajib isteri? Makan pakainya? Ada tanya isteri dah solat ke belum? Ada tanya isteri dah makan ke belum? Ada beri ruang untuk isteri solat, mengaji & makan dengan tenang tanpa perlu anak-anak mencelah sama? Atau langsung tak pernah beri ruang untuk isteri ber-Me Time?

3) Apabila isteri minta jagakan anak, bagaimana reaksimu? Marah? Membentak? Merungut?

Sebenarnya jika isteri dah mula mahu marah-marahkan anak-anak, peranan suami ialah untuk ambil tugas melayan anak-anak, biarkan isteri cool down. Bukannya si suami pergi menambah marahkan anak-anak pula. Itu hanya menambahkan stress si ibu.

Ketahuilah tiada ibu yang suka marah kepada anak-anak melainkan sebenarnya dia telah terlalu ‘tepu’.

4) Apabila isteri berkongsi cerita, dengarlah. Apabila isteri meluah perasaan, dengarlah. Bukan sekadar duduk di sisi tetapi tangan sibuk main fon, tidak mendengar dengan telinga & hati sekali. Akhirnya isteri hilang ‘rasa’ untuk meluahkan apa terbuku di hati lalu menjadi barah yang bakal merosakkan tautan hati sesebuah perkahwinan.

5) Apabila kita diminta untuk berubah, meninggalkan sesuatu perkara buruk yang menjejaskan kredibiliti kita sebagai suami di sisi isteri, berusahalah untuk berubah. Sekiranya isteri tidak suka kita asyik main game hingga terabai rumahtangga, ubahlah. Sekiranya isteri tak suka kita merokok, cubalah untuk berhenti. Sekiranya isteri tak suka kita terlalu melayan komen-komen kaum wanita di media sosial, respect permintaannya & berubahlah!

Apabila kita belum berubah tetapi isteri tidak lagi menegur untuk kita berubah, itu bukanlah tanda dia sudah menerima, melainkan sebenarnya dia sudah tawar hati & jauh hati!

Dua Belah Pihak Kena Berkorban

Rumahtangga adalah mujahadah. Kita tidak boleh expect hanya sebelah pihak sahaja yang berusaha keras untuk menjayakannya. Ia perlu pengorbanan & kerjasama kedua belah pihak.

Sekiranya perkahwinan itu adalah kenderaan, ia tidak cukup hanya bermodalkan cinta (petrol) untuk memastikan ia terus berjalan, melainkan perlu diservis enjin & sebagainya (toleransi, muafakat, hormat menghormati).

Usah Pendam, Luah Apa Yang Dirasa

Perbaikilah apa yang perlu di dalam diri & keluarga agar rumahtangga akan terus kukuh. Jangan pendam masalah hingga akhirnya apabila ditanya apa masalah, diri sendiri pun sudah tidak tahu bagaimana hendak menjelaskan.

“Tak tahulah. Yang saya tahu, saya dah tak boleh nak hidup dengan awak, nak pandang muka awak pun saya dah menyampah,”

Masalah rumahtangga ibarat anai-anai. Kita tak nampak ia memusnahkan di sebalik dinding, nampak seperti rumah masih kukuh, alih-alih rupanya semakin rapuh, tahu-tahu sudah runtuh!

The post Jangan Main-main Kalau Isteri Dah Tawar Hati! appeared first on Mingguan Wanita.




No comments:

Powered by Blogger.